Sudah dekat sangat dah. Untuk 95,000 anggota polis termasuk anggota PGA serta pasangannya, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) telah pun memulakan taklimat mengenai pengundian awal di Bukit Aman 27 Januari lalu. Kemudian, ia akan pergi secara berperingkat ke Ibu Pejabat Polis (IPD) dan Kontinjen Polis (IPK) setiap negeri. Ini untuk urusan logistik penggunaan pejabat IPD dan IPK dalam pengundian itu.
Bagi seluruh 225,000 anggota tentera serta pasangan masing-masing, perbincangan dengan ketua-ketua kem sedang dilakukan untuk kelancaran urusan tersebut.
Di sebalik kesibukan SPR itu, dua minggu lepas pula, seorang pegawai SPR di Selangor mengakui ‘wujud penghijrahan pengundi yang amat besar’ ke beberapa bahagian pilihan raya di negeri itu. Shah Alam dan Klang, dibisikkan pegawai itu kepada pihak atasannya. Difahamkan, puluhan ribulah.
Jika dua minggu lepas, pembangkang menguar-uarkan ia antara strategi parti pemerintah untuk menguasai kembali Selangor namun kelmarin nada itu berbeza. Tuduhan itu dipalitkan pula sebagai strategi berganda DAP dan PKR untuk mengekalkan Selangor. Tetapi yang pasti, jika prosedurnya betul mengikut tatacara pertukaran alamat si pemohon yang setiap suku tahun termasuk antara 300,000 pemohon pendaftar pengundi baru, ia bukanlah satu kesalahan di bawah akta pilihan raya. Tambah-tambah lagi Selangor sebuah negeri yang terletak di kawasan perindustrian Lembah Klang, yang mengundang peluang ribuan pekerjaan untuk menarik migrasi penduduk dari negeri-negeri lain.
Ya, bahang PRU-13 kian hangat apabila ‘peramal segar’, Tun Daim Zainuddin mula masuk ‘gelanggang’. Kata Daim, BN perlu mengambil inisiatif untuk mendekati golongan muda dalam menarik minat mereka kepada BN. Kata bekas Menteri Kewangan itu juga, kerajaan perlu menyelesaikan isu yang berbangkit seperti kontroversi berkaitan Perbadanan Fidlot Nasional (NFC) untuk mengelakkannya daripada dipolitikkan oleh pihak pembangkang.
Seorang ahli sains politik, Ong Kian Ming pula pada satu forum di Bangsar meramalkan, PRU-13 tidak akan menyaksikan tsunami seperti yang diharapkan oleh pakatan pembangkang bagi membawa mereka ke Putrajaya.
Bagaimanapun keputusan PRU itu nanti, kata Kian Ming, akan menyediakan pentas bagi pembangkang mengambil alih kerajaan pada PRU14.
Tetapi walau apa pun perkiraan dan congakannya, PRU-13 amat bermakna kepada parti pemerintah dan pembangkang. Do or die. Kalau BN menang dalam ibu segala pilihan raya ini, maknanya ia suatu kemenangan mutlak yang juga titik noktah untuk kesemua kepemimpinan pembangkang.
Cuma penulis difahamkan daripada sumber tertentu, program-program bukan melibatkan UMNO amat sedikit ketika ini. Kalau UMNO 10 program, rakan-rakan komponen yang lain cuma satu. Sepatutnya, MCA, MIC, Gerakan, PPP serta parti-parti di Sabah dan Sarawak melipatkan gandakan usaha mereka. Ambil sahaja contoh di Shah Alam yang mana puluhan ribu pengundi baru dikatakan dipindahkan ke situ. Justeru, amat wajar dipersoalkan, mengapa cepat sangat?
Trend seperti ini masih belum diambil tindakan yang segar oleh sebilangan komponen BN.
Penulis dimaklumkan juga keadaan di Felda waktu ini lebih memihak kepada BN. Maka tidak perlulah gundah-gulana. Meskipun ada yang menentang penyenaraian Felda Global Ventures ke Bursa Malaysia, namun akhirnya nanti akan dilihat hasil keuntungannya. Suara ‘hiruk-pikuk’ pembangkang itu akan lenyap. Di sini, diyakini pihak berkuasa Felda akan memberi penjelasan setelah urusan penyenaraian selesai.
Dikatakan secara keseluruhan, keadaan untuk dilangsungkan pilihan raya sekarang adalah baik untuk BN. Meskipun sokongan kaum Cina di tahap bawah 30 peratus namun akhir-akhir ini dilihat imej Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak semakin lama semakin diterima oleh mereka.
Dalam kalangan kaum India pula, ia amat ketara sekali dengan sokongan berlipat ganda. Diharapkan sokongan kaum Tionghua melepasi 35 peratus untuk BN mengepalai sekali lagi negara. Dan jika PRU-13 diadakan sekarang, diyakini BN akan menang tetapi persoalannya beroleh majoriti dua pertiga atau tidak.
Namun, soal BN menang sudah boleh dilihat dan dipegang atas beberapa faktor.
Di Kelantan dan Pulau Pinang sudah dilihat perubahan sikap rakyat negeri-negeri itu. Ini kerana di Kelantan, pendekatan dan sentimen feudal Pas walaupun masih tinggi, UMNO sudah nampak masuk dalam celahan mempengaruhi keadaan. Tempoh hari, lima kawasan DUN sudah ternampak perubahan sikap terutama susulan lawatan Perdana Menteri dan timbalannya, Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Dikatakan bukan mudah untuk BN bertapak di Kelantan tetapi jika tempo sentuhan rakyat terus dilaksanakan termasuk kenampakan penyaluran Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M), ia tentu terkesan di hati pengundi negeri itu.
Di Pulau Pinang, pastinya tidak semudah itu buat BN memandangkan kaum Tionghua ternampak ‘selera tajam’ mereka untuk berperanan dalam politik selain ekonomi. Justeru, kedudukan sentuhan rakyat di negeri itu harus diperkukuhkan lagi.
Di Kedah pula, perubahan sikap rakyat banyak dilihat memihak kepada BN. Ini ketara di Sungai Petani.
“Memang isu NFC masih dalam kepala sebahagian besar pihak yang mengkritik tetapi tidak nampak isu ini ‘mendera atau mencederakan’ BN sehingga menyukarkan usaha meraih sokongan rakyat. Namun, ia tetap satu isu yang diperdebatkan ketika ini,” kata seorang pemerhati.
Cuma, gesaan Perdana Menteri supaya semua pemimpin UMNO pelbagai peringkat menukar corak dan gaya di akar umbi agar terus bergaul dengan masyarakat pelbagai kaum harus diteruskan. Ia perlu lebih kosmopolitan lagi.
Dan sekarang sifat-sifat lama kepimpinan bahagian harus diketepikan. Memanglah lebih cepat diperkenalkan calon, lebih baik. Namun, soal winnable candidate mempunyai pelbagai penjuru perkiraannya. Tidak boleh diambil satu penjuru sahaja.
Gandingan muka baru dan lama mesti ada walaupun yang lama itu tidak boleh ‘memajoritikan’ pilihan yang baru.
Oleh ZULKIFLI JALIL
pengarang@utusan.com.my
pengarang@utusan.com.my
K7L : Keris bersetuju dengan artikel ini...tolong tukar gaya boleh?..kalau boleh tukar yang 'usang' tu sekali...
0 ulasan:
Post a Comment