Dalam keghairahan itu, ada yang terlajak laris menonjolkan diri. Ada pula sudah terbayang mimpi indah jika dipilih pucuk pimpinan sebagai calon. Tidak kurang pula cemas dan panas punggung jika diketepikan.
Yang menarik untuk ditonton kali ini ialah keberanian untuk menampilkan bakat-bakat muda dengan daya kepimpinan segar, dinamik dan relevan dalam landskap politik semasa yang dipengaruhi sekelilingnya terutama golongan muda. Calon baharu dan muda walaupun tiada track-record untuk dinilai, boleh mencetuskan kebangkitan kesedaran politik era global.
Isu pemilihan calon warlord atau calon muda bukanlah baharu. Walaupun masih belum diuji kemampuan dan kekuatan, pengaruh calon baharu dan muda dalam politik amat signifikan dan perlu.
Cuba kita imbas kembali sejarah keberanian UMNO era 70-an 80-an yang berani menampilkan calon muda termasuklah Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang menyandang jawatan Menteri Besar Pahang dalam usia 29 tahun.
Tan Sri Shahril Samad umpamanya, dianggap sebagai warlord rakyat yang mempunyai track-record baik dan masih berpengaruh kuat. Yang penting kita mahukan warlord yang sedia berkhidmat untuk masyarakat dan bukan ‘warlord bermusim’.
Warlord atau ‘otai’ politik ini sudah mempunyai track-record dan sudah masak dengan permainan politik.
Sebagai contoh, untuk kawasan mempunyai komposisi pengundi muda yang tinggi, calon-calon orang muda berwibawa hendaklah diutamakan. Contohnya, Ahli Parlimen Sungai Besar, Budiman Mohd. Zohdi yang boleh disinonimkan dengan watak ‘Jawa Kampung’ yang kelihatan lebih bersahaja, bersederhana serta mudah dirapati pengundi dan rakyat di kawasan beliau.
Dalam memilih calon bertanding, pemimpin di peringkat atasan perlu memiliki sikap tegas dan konsisten terhadap pujukan dan desakan pihak yang melobi untuk menjadi calon khususnya dalam kalangan ketua bahagian.
Jangan sampai di saat akhir, pemimpin berlembut hati dan menerima calon ‘payung terjun’. Dalam konteks menetapkan kriteria calon bertanding, faktor ‘sure menang’ mesti diambil perhatian kerana yang hendak kita pilih ini bukannya wakil parti tapi wakil rakyat.
Persoalannya, beranikah pucuk pimpinan untuk tidak mencalonkan mereka yang ‘terdesak’ dan ‘mendesak’ ini tetapi menampilkan calon mempunyai pesona dan karakter pasti menang?
Justeru semua perlu mengambil sikap ‘ukur baju di badan sendiri’. Ketepikan soal merajuk dan membawa diri kerana yang penting ialah kemenangan parti. Seseorang yang tidak berpotensi tinggi untuk menang tidak akan terkejar-kejar melonjakkan diri untuk dipilih.
Berdasarkan analisis di atas, UMNO perlu mempertimbangkan beberapa saranan iaitu:
Pertama, UMNO perlu menampilkan wakil rakyat yang mendukung inspirasi parti dan dekat dengan pengundi sehingga perasaan rakyat begitu terikat dengan perjuangan kepimpinan. Justeru, tidak mustahil mencalonkan muka baharu yang memiliki kehebatan dan keunikan tersendiri untuk menang dan tidak rugi menampilkan warlord yang peratus kemenangan amat jelas.
Kedua, individu dipilih bertanding nanti harus faham bahawa yang ingin dicari dalam pilihan raya ialah watak sebagai wakil rakyat bukannya sekadar calon. Wakil rakyat yang dipilih memikul amanah perjuangan untuk membangun dan menjayakan bangsa Melayu menjadi bangsa besar dan bermaruah tinggi.
Ketiga, jangan ‘kitar semula’ formula mencari wakil rakyat. UMNO harus terima hakikat, ketua bahagian yang pernah kalah dalam PRU sekurang-kurangnya dua kali bertanding serta tidak mempunyai ciri-ciri winnable dan likeable, perlu ditolak dahulu oleh parti sebelum disingkirkan oleh pengundi pada PRU nanti.
Keempat, pastikan UMNO berani mengemukakan calon baharu, muda dan popular bagi menggantikan tempat warlord. Mesti bertanding di kawasan putih atau ‘sure menang’. Bukannya sekadar ‘asalkan bertanding’ sahaja bagi memenuhi permintaan kuota orang muda. Pendek kata, jangan sabotaj calon baharu bertanding di kawasan hitam.
Kelima, warlord atau ketua bahagian yang hendak dipilih perlu diterima rakyat terlebih dahulu. Bukannya layak kerana jawatan ketua bahagian. Congakan atau perkiraan seumpama itu tidak boleh diguna pakai dalam PRU ke-14 (PRU-14). Mereka harus menerima perkara ini dengan hati yang terbuka kerana seluruh jentera dan peruntukan parti di bawah kawalan ketua bahagian. Jangan pula apabila tidak terpilih, ada ‘gerombolan’ ke Putrajaya untuk cubaan pujuk rayu.
Justeru, ketua bahagian yang tidak terpilih dalam PRU-14 kelak harus menerima sesiapa sahaja bakal wakil rakyat ditetapkan pucuk pimpinan parti. Sejujurnya, seluruh ahli parti lebih-lebih lagi pengundi muda memerhatikan sahaja dengan dekat sikap, watak dan gelagat warlord berjiwa besar ini adakah berani melakukan pengorbanan demi parti yang sedang diuji dan berada di persimpangan jalan yang amat getir.
Berdepan PRU-14 bukannya masa untuk berbangga dengan jenama parti. Yang utama adalah memberi sokongan padu dan membantu berkempen untuk calon yang dipilih pucuk pimpinan sama ada warlord atau muka baharu.
DATUK MOHD. NIZAR SUDIN ialah Penganalisis Politik merangkap Pensyarah Kanan Universiti Putra Malaysia.
Sumber : © Utusan Melayu (M) Bhd
0 ulasan:
Post a Comment