14/03/2016

Kenapa Perlu Rahsiakan Rahsia Kerajaan?




Apa perlu ditakutkan? Hanya individu berniat negatif dan buruk sahaja 'risau' dengan cadangan pindaan Akta Rahsia Rasmi 1971 (pindaan 1986), sedangkan setiap akta dipinda mengikut kesesuaian masa dan keperluan supaya hukuman lebih berat boleh dikenakan terhadap mana-mana pihak yang membocorkan rahsia negara. 

Rasionalnya, dengan hukuman berat diharap kegiatan membocor maklumat sesuka hati tidak akan terlepas begitu sahaja dan kegiatan negatif ini dapat dibendung. Segelintir individu, seperti tidak gentar dengan akta atau undang-undang sehingga membocorkan maklumat rasmi yang boleh mengancam ketenteraman dan keselamatan. 

Mereka menyebar surat atau dokumen yang belum disahkan pihak berwajib, hingga menjadi 'viral' dalam media sosial. Apatah lagi dengan kepelbagaian kecanggihan teknologi alam maya melalui media sosial, wujud 'wartawan' dalam blog tertentu yang menjadi medium pembocor rahsia rasmi. 

Sesetengahnya mencabar kewibawaan akta sedia ada. Ibarat melempar batu, sembunyi tangan dan sikap enggan mendedahkan sumber boleh dianggap bekerjasama dengan pihak yang sengaja mensabotaj kerajaan. 

Wujud pula tindakan terancang menjatuhkan imej dan reputasi agensi, jabatan dan kementerian demi laba politik. Cara mereka berkarya dalam media sosial amat jelas bertentangan dengan Akta Rahsia Rasmi dan boleh didakwa. 

Menurut Peguam Negara, Tan Sri Mohamed Apandi Ali, pindaan itu antara lain mencadangkan hukuman penjara seumur hidup dan 10 sebatan dikenakan ke atas pesalah. Malah, di sesetengah negara, tindakan membocor rahsia rasmi adalah satu kesalahan berat seperti di China, sehingga membawa hukuman mati. 

Tindakan tegas 

Pindaan ini membabitkan tindakan pendakwaan terhadap mana-mana pengamal media yang enggan mendedahkan sumber dengan berselindung di sebalik alasan menjaga etika kewartawanan. 

Undang-undang Malaysia Akta A660, Akta Rahsia Rasmi (Pindaan) 1986, mentafsirkan 'rahsia rasmi' adalah apa-apa suratan dan apa-apa maklumat dan bahan berhubungan dengannya dan termasuk apa-apa suratan rasmi, maklumat dan bahan lain sebagaimana yang boleh dikelaskan sebagai 'Rahsia Besar,' 'Rahsia,' 'Sulit' atau 'Terhad,' mengikut mana yang berkenaan oleh seorang Menteri, Menteri Besar atau Ketua Menteri sesuatu negeri atau mana-mana pegawai awam yang dilantik di bawah seksyen 2B. 

Asas penggubalan Akta Rahsia Rasmi 1972 bertujuan menjaga keselamatan negara, pertahanan dan hubungan antarabangsa. Anggota dan kakitangan kerajaan, sama ada dalam pentadbiran pusat dan negeri sudah memahami maksud 'rahsia' terutama sewaktu mengangkat ikrar perkhidmatan. 

Kerja 'orang dalam' 

Namun, berlaku insiden di beberapa agensi kerajaan membabitkan kebocoran maklumat dikaitkan dengan 'orang dalam' yang memberi, menyebar dan memanjangkan maklumat kepada pihak berkaitan.

Di pihak lain pula, warga media seperti wartawan, editor, penolong editor dan ketua editor, terikat dengan Akta Rahsia Rasmi berkenaan. Sesuai kata-kata wartawan veteran, A Samad Ismail, seorang wartawan sebelah kakinya terikat di penjara, manakala satu kaki bergerak untuk berkarya.

Ini membuktikan bahawa mereka yang bekerja dalam dunia kewartawanan terdedah dengan pelbagai akta yang melingkari kerjayanya. Mereka tidak boleh sebebasnya menulis apa sahaja yang terlintas di benak pemikiran. 

Maka, sudah tentu mereka memahami untuk memilih langkah positif dan mengamalkan kewartawanan pembangunan demi pembentukan bangsa yang bermaruah. Buat masa ini, Akta Rahsia Rasmi memperuntukkan hukuman antara setahun hingga tujuh tahun penjara ke atas mana-mana individu yang didapati membocor dan menyebarkan rahsia rasmi kerajaan. 

Pada masa sama, mana-mana individu yang melindungi pihak melakukan kesalahan di bawah akta itu juga boleh diheret ke muka pengadilan. Sampai masanya pihak berwajib dan kerajaan tidak lagi berkompromi terhadap perbuatan pihak tertentu mendedahkan dokumen atau maklumat yang boleh mengancam keselamatan serta keamanan negara. 

Tindakan yang berleluasa pada masa ini merosak dan merasuk pemikiran rakyat. Pelaksanaan pindaan ini amat penting bagi membendung pihak tertentu mengambil kesempatan memutar belit sesuatu maklumat. 

Sesuai amalan antarabangsa, setiap negara ada kerahsiaan tersendiri. Rancangan, program dan dasar dibuat sesebuah negara perlu ada perancangan teliti untuk membangunkan negara dan sesetengah dokumen adalah kerahsiaan yang perlu dilindungi. Malaysia mempunyai banyak akta dan undang-undang bagi memastikan kerahsiaan dan pelbagai aspek keselamatan dokumen utama negara tidak bocor kepada pihak tertentu. 

Namun, punca utama adalah pelaksana dan pihak yang dipertanggungjawab memastikan kerahsiaan terpelihara. Maka, pindaan Akta Rahsia Rasmi ini diharap bukan sebagai dokumen semata-mata, yang lebih penting adalah penguatkuasaan menyeluruh. 

Jika pihak kerajaan serius menangani masalah kebocoran rahsia rasmi, mungkin ramai yang boleh didakwa dengan menguatkuasakan akta sedia ada. 

Penulis ialah Pensyarah Kanan Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media, Universiti Teknologi MARA (UiTM)
K7L : Kena tahu.. semua nak dedah.. musuh negara tengok je...

0 ulasan:

Post a Comment

Nak Pesan Awal-Awal

Keris 7 Lok kata :
korang sume nak komen apapon..aku tak kisah..tapi kalau komen tu boleh didakwa di mahkamah..aku akan bekerjasama dengan pihak berkuasa dan tidak akan bertanggung jawab ke atas komen yang korang buat..anda tulis..anda dapat...

Arkib Keris 7 Lok

busuk