17/10/2014

Ancaman ISIS Rendah Tapi Kita Pantau! @HishammuddinH2O #IsisHaram




KUALA LUMPUR: Perbuatan segelintir kecil rakyat Malaysia yang dilaporkan bersama-sama mengikuti pertubuhan pengganas Negara Islam Iraq dan Syria (ISIS) adalah tidak wajar dan haram untuk diteruskan.

Mufti Perak Tan Sri Harussani Zakaria berkata demikian ketika mengulas kenyataan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak yang bimbang dengan konflik di Iraq dan Syria selain penglibatan aktiviti militan yang menghakis kestabilan di negara berkenaan.

"Mereka (pengikut ISIS) tidak dikategorikan sebagai mati syahid kerana pertubuhan ini menentang orang Islam dan membunuh orang Islam sendiri. Ia merupakan satu pemberontakan dalam negara," katanya ketika dihubungi Bernama.

"Rakyat Malaysia yang pergi ke sana dengan niat untuk berjihad juga akan jadi sia-sia sahaja kerana tujuan ISIS ini bercanggah dengan tujuan Islam, jadi ia haram di sisi syarak," katanya.

Dalam pada itu, Mufti Kelantan Datuk Muhammad Shukri berkata umat Islam di negara ini perlu memahami terlebih dahulu apa itu maksud jihad.

"Adakah jihad dengan berperang sesama sendiri itu berlaku secara begitu sahaja, secara bersungguh-sungguh, atau serius? Memang kita disuruh melakukan jihad namun apa yang menjadi persoalannya kini apakah penyertaan kita pada sesuatu pertubuhan itu tepat atau tidak.

Menurut Muhammad, keputusan untuk berjihad itu perlu dipastikan sama ada ia berlandaskan syarak atau tidak kerana jika berjihad tanpa mengikut syarak dari segi Islam mereka tidak seharusnya turut serta.

"Kita sesama umat Islam sendiri tak boleh berperang, kalau kedua-duanya bergaduh ia memang diharamkan tetapi jika jihad itu bertepatan dengan kadar syarak jadi niat untuk menyertainya adalah betul," katanya.

"Saya menasihatkan mereka yang ingin menyertai sesuatu pertubuhan itu perlu memantau, membuat penelitian, dan berhati-hati supaya tidak terjebak dengan pertubuhan yang tidak bertepatan dengan syarak.

Sementara itu, Dekan Kolej Undang-undang, Kerajaan dan Pengajian Antarabangsa Universiti Utara Malaysia (UUM) Prof Madya Dr Ahmad Marthada Mohamed berkata tidak ada keperluan untuk rakyat Malaysia turut serta berjuang dalam pertubuhan itu memandangkan ia dilihat bersifat geopolitik.

"ISIS tidak berpegang kepada ajaran Islam yang betul, mereka mungkin lebih melihat perjuangan membentuk satu kerajaan atas nama yang disebut kerajaan Islam di Iraq, dan Syria mungkin lebih kepada agenda politik berbanding agenda agama," katanya.

Jelas Ahmad Marthada, perjuangan pertubuhan itu tidak mendapat sokongan masyarakat Islam hampir di seluruh dunia terutamanya masyarakat Islam di Timur Tengah malah kurang mendapat bantuan dari sudut kewangan.

Beliau mencadangkan agar kerajaan memberi penerangan untuk menyedarkan rakyat mengenai apa itu ISIS dari segi perjuangan, matlamat dan hala tuju pendekatan pertubuhan yang bertentangan dengan Islam supaya mengurangkan penglibatan masyarakat secara langsung atau tidak langsung.

Selain itu, kerajaan perlu membanteras gerakan yang cuba merekrut rakyat Malaysia untuk menjadi pengganas memandangkan ISIS mula melebarkan aktiviti merekrut ke peringkat akar umbi.

"Tindakan keras mesti diambil kepada mereka yang cuba merekrut, ini kerana kita mempunyai peruntukan (undang-undang) pada hari ini yang boleh dilaksana kerana ia bersifat mengancam," katanya lagi.

Dekan Institut Antarabangsa Pemikiran dan Tamadun Islam (ISTAC) Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) Prof Emeritus Datuk Dr Mahmood Zuhdi Abdul Majid pula menegaskan bahawa perjuangan jihad di sesebuah negara atau wilayah adalah berbeza-beza.

Sehubungan itu beliau menyarankan agar Malaysia mempunyai satu perundangan Islam (fikah tempatan) kerana katanya fatwa yang diberikan ulama dunia adalah betul bagi sesebuah negara dan tidak betul pula bagi konteks sesetengah negara yang lain.

Beliau berkata ia terutamanya menyentuh fatwa yang dikeluarkan oleh ulama dari Timur Tengah yang mungkin sesuai dilaksanakan sesetengah negara tetapi tidak sesuai di negara ini kerana Malaysia mempunyai pendekatan berbeza dalam menyelesaikan masalah.

Sebelum ini, sebuah portal berita melaporkan sebuah keluarga empat beranak yang terdiri daripada ibu bapa, anak perempuan berusia 18 tahun dan anak lelaki berusia 14 tahun merupakan keluarga Malaysia pertama dipercayai menyertai ISIS bersama 30 rakyat Malaysia yang lain.

Pada Sabtu lepas, Perdana Menteri berkata dalam sidang medianya bersama Perdana Menteri Australia Tony Abbott bahawa Malaysia akan bekerjasama dengan masyarakat antarabangsa untuk memerangi pertubuhan militan dan pengaruhnya kerana ISIS tidak mewakili Islam, tidak sepadan dan tidak membawa keadilan kepada Islam. - BERNAMA

2 ulasan:

  1. ISIS sebenar
    ISIS - Israel Secret Intelligence Services

    Kita orang Islam perlu pantau

    ReplyDelete
  2. Berhati-hati itu perlu, walau rendah tapi membahayaken

    ReplyDelete

Nak Pesan Awal-Awal

Keris 7 Lok kata :
korang sume nak komen apapon..aku tak kisah..tapi kalau komen tu boleh didakwa di mahkamah..aku akan bekerjasama dengan pihak berkuasa dan tidak akan bertanggung jawab ke atas komen yang korang buat..anda tulis..anda dapat...

Arkib Keris 7 Lok

busuk