Percubaan terbaik Democratic Action Party atau Dap adalah bila meletakkan seorang calon Melayu bernama Dayna Sofya berumur 27 tahun sebagai calon parti tersebut dalam pertandingan dua penjuru merebut kerusi parlimen P076 Teluk Intan.
Sudah pasti, keperluan meletakkan calon Melayu di P076 Teluk Intan bukanlah kehendak pimpinan Dap kawasan Teluk Intan sebaliknya kehendak pucuk pimpinan tertinggi Dap, dalam konteks ini Lim Kit Siang.
Perbalahan dalaman dikesan namun ditutup serapat mungkin demi kelangsungan agenda Kit Siang terhadap lanskap politik Dap yang memerlukan parti itu dilihat lebih terbuka berbanding PKR dan Pas.
‘Tsunami Cina’ yang pernah dilemparkan oleh Pengerusi Barisan Nasional (BN) sewaktu mengumumkan kemenangan ‘simple majority’ dalam pilihan raya umum ketiga belas tahun lalu digunakan sebaik mungkin oleh Dap untuk menunjukkan bahawa parti mereka bukan setakat mendapat sokongan padu dari kaum Cina sebaliknya kaum-kaum lain terutama Melayu.
Sebab itu, P076 Teluk Intan menjadi satu ‘test case’ yang amat bermakna kepada Kit Siang dan Dap.
Kit Siang sebagai penasihat utama Dap sudah tidak peduli dengan kehendak pemimpin akar umbi sebaliknya menggunakan kaedah ‘kuku besi’ agar agenda besar beliau berjaya.
Di sebalik pemilihan calon Melayu yang boleh merobekkan pengundi Melayu keluar dari stigma – Umno parti mewakili kaum Melayu, sebenarnya Kit Siang juga meragui pakatan Dap-PKR-Pas yang mana peranan Pas bagi menjaga dan meraih undi kaum Melayu seolah-olah tidak mendapat kepercayaan Dap apatah lagi Pas sudah mula kelihatan ‘mesra’ dengan kepimpinan Umno terutama berkaitan isu agama Islam dan hudud.
Kempen P076 Teluk Intan menyaksikan antara bahan yang popular adalah berkaitan isu hudud.
Calon Melayu muda Dap kelihatan terperangkap apabila tidak konsisten menjawab isu berkenaan hudud. Bukan satu perkara yang baharu, calon muda Dap tersebut akan memberi jawapan berbeza mengikut ‘audience’ yang dihadapi beliau sewaktu berkempen.
Isu utama yang menarik perhatian rakyat Malaysia dibawa oleh calon muda ini tidak lain tidak bukan adalah desakan membuka Universiti Teknologi Mara Malaysia atau UiTM kepada umum tanpa mengira bangsa.
Umum mengetahui bahawa UiTM adalah sebuah institusi pengajian tinggi yang istimewa terpelihara dengan baik di bawah peruntukan perlembagaan persekutuan khas bagi kaum Melayu dan bumiputera.
Desakan bagi membuka UiTM kepada selain dari Melayu dan bumiputera bukanlah suatu yang baharu bahkan demi menjaga hati komponen BN terutamanya MCA, kerajaan persekutuan telah mewujudkan sebuah universiti khusus bagi membela kaum selain Melayu dan bumiputera – dalam konteks ini kaum Cina terutama – iaitu Universiti Tun Abdul Razak atau UTAR, UNITAR dan kini lebih dikenali sebagai UNIRAZAK pada tahun 1997.
UNITAR mendapat status MSC dan adalah pusat pengajian tinggi swasta julung-julung kali diwujudkan dan sehingga kini peluang pendidikan terbuka luas dengan berpuluh lagi pusat pengajian tinggi swasta diadakan demi menampung keperluan dan pengambilan pelajar dari berbagai bangsa dan latar belakang.
Bahkan, pusat-pusat pengajian tinggi swasta ini juga terbela dengan berbagai peruntukan dan geran diberikan oleh kerajaan pusat di bawah kementerian yang berkaitan dengannya.
Justeru, apabila calon muda Dap begitu teruja membawa isu UiTM dalam siri kempennya, beliau tidak lari dari bayang usang perjuangan Dap di bawah Kit Siang yang mahu bukan sahaja UiTM dibuka kepada bukan Melayu dan bumiputera tetapi lebih menjurus kepada penghapusan kekal hak-hak istimewa Melayu dan bumiputera seperti termaktub dalam perlembagaan persekutuan.
Tidak hairan jika pro-BN menganggap suara anak muda ini bukanlah suara ‘asli’ atau jati-dirinya tetapi hanyalah suara Kit Siang yang menjadikan beliau sebagai boneka.
Berbalik kepada soal pengundi Teluk Intan, nampaknya tumpuan pemerhati politik adalah terhadap pengundi Cina.
Kecenderungan pengundi Cina dalam PRK P076 Teluk Intan akan menguatkan lagi hujah bahawa ‘Tsunami Cina’ yang pernah disebut oleh Datuk Seri Najib Razak suatu waktu dahulu itu sebenarnya ‘betul’ atau ‘salah’.
Tidak dinafikan, jika menyusuri akar umbi masyarakat kaum Cina di Teluk Intan tidak begitu pusing akan perkara nasional seperti hudud dan UiTM sebaliknya memikirkan apakah faedah bakal diiterima kepada mereka dalam memilih wakil rakyat parlimen.
Manifesto yang dizahirkan oleh calon BN, Datuk Mah Siew Keong amat memberangsangkan dengan berbagai akujanji pembangunan Teluk Intan yang boleh diterima secara langsung oleh pengundi.
Bahkan, dua pemimpin utama BN iaitu Naib Presiden Umno, Datuk Seri Dr Haji Ahmad Zahid Hamidi dan Ketua Pergerakan Pemuda Umno Malaysia, Khairy Jamaluddin ada menyebut bahawa kebarangkalian Mah diangkat menjadi menteri penuh begitu tinggi sekiranya menang PRK ini atas kapasiti beliau selaku Presiden Gerakan dan kekosongan sebuah kementerian yang dominan kini dipangku oleh Naib Presiden Umno iaitu Datuk Seri Hishamuddin Tun Hussein.
Mungkin keyakinan pengundi masyarakat kaum Cina Teluk Intan akan lebih tinggi sekiranya pengumuman itu dibuat sendiri oleh Pengerusi BN atau timbalannya menjelang hari pembuangan undi Sabtu ini.
Jika Mah menjadi menteri, faedahnya sudah pasti turun ke Teluk Intan SERTA kepada masyarakat kaum Cina yang kini tiada pembelaan dalam kabinet menteri persekutuan.
Sebaliknya jika Dyana yang menang, maka benarlah seperti apa yang pernah dikatakan oleh Najib Razak bahawa ‘tsunami Cina’ itu benar-benar wujud walau pun meletakkan calon Melayu mewakili parti yang dianggap sebagai parti rasis atau ‘chauvinist’ oleh segelintir pemimpin lama Umno.
Dap, di bawah kepimpinan Kit Siang tidak kisah siapa calon mereka agar sahaja agenda mereka untuk pemerkasaan parti itu berjaya. selaku wakil rakyat, Kit Siang amat jarang kelihatan di Gelang Patah, itu tidak mengapa. Yang penting, Dap punyai kerusi bagi memperkukuhkan parti mereka sama ada di dewan rakyat mahu pun dewan undangan negeri.
0 ulasan:
Post a Comment