Bismillahirrahmanirrahim,
Assalamualaikum W.B.T, Salam Sejahtera dan
Salam 1 Malaysia,
Y.Bhg Puan Pengerusi Tetap,
Y.Bhg. Puan Timbalan Pengerusi Tetap,
YAB/YB Wakil Ahli Majlis Tertinggi,
Naib Ketua Pergerakan Puteri UMNO Malaysia,
YB/Y.Bhg Naib Pegawai, Exco dan Ketua
Pergerakan Puteri UMNO Negeri,
Para Perwakilan, Pemerhati dan rakan-rakan Media
yang dikasihi,
Seterusnya saudari-saudari yang dihormati.
Saya suka memulakan ucapan ini untuk kita
bersama-sama menyelak keagungan beberapa kisah dalam sejarah. Mungkin ramai
yang tidak menyedari, sudah banyak hikayat dan riwayat yang dikisahkan kepada
kita tentang kehebatan insan bernama ‘Puteri’ dan kelembutan mereka dalam
mengubah dunia.
Kisah pertama. Atas wadah perjuangan, Hang
Li Po adalah puteri yang menyatukan kesantunan budaya Melayu dan keunikan
tradisi Cina. Kehebatan wadah perjuangan Puteri Hang Li Po menukilkan sejarah
kejayaan, menyatukan 2 bangsa, mengeratkan dua bahasa.
Kisah kedua. Atas wasilah keikhlasan,
Balqis, adalah satu-satunya Sang Puteri yang diundang menjadi saksi kemahsyuran
istana kaca Nabi Sulaiman. Kerendahan hati dan pekerti Puteri Balqis menjadi
asbab seluruh rakyat tunduk dan tawadhuk kepada Pencipta, dan Pemilik seluruh
semesta.
Kisah ketiga, atas hikmah kebijaksanaan,
Gusti Putri Raden Adjeng Retno Dumilah adalah Puteri Gunung Ledang yang bisa
menundukkan keangkuhan seorang sultan yang bersemayam di singgahsana kebatilan.
Sebalik santun beradab, Puteri Gunung Ledang menggunakan hikmah kebijaksanaan
untuk membuktikan kepada sebuah pemerintahan, betapakuasa wanita bukan pada
rupa, sebaliknya kuasa sebenar wanita pada tajamnya akal minda, padahalusnya kuasa
fikir yang sukar dibaca dan ditafsir.
Sebagai Puteri, saya percaya kesemua
peristiwa ini lebih daripada sekadar satu rakaman sejarah lampau atau mitos
rakyat. Ini adalah satu bingkisan peristiwa yang akan mengajar kita tentang
wadah, wasilah dan hikmah perjuangan seorang wanita muda. Mereka bukan Puteri
pada nama, tetapi Puteri pada jiwa. Mereka bukan Puteri pada pangkat, tetapi Puteri
pada semangat. Mereka bukan Puteri untuk ditatang, mereka adalah Puteri yang
bisa turun ke medan juang. Inilah roh perjuangan dan semangat sebenar seorang Puteri.
Tamsilan dari kisah ini, dan mengambil roh
semangat setiap watak-wataknya, saya dengan rasa rendah diri berdiri sebagai
Ketua Puteri, mengambil setiap bait-bait harapan, semangat, impian, dan daya
juang yang tertanam dalam setiap roh perjuangan ahli-ahli Puteri, untuk kita
bersama-sama merungkai dan menilai, makna disebalik wadah, wasilah dan hikmah
sebuah perjuangan.
Kita sudah melalui sebuah perjalanan yang
panjang. Justeru, ucapan saya pada hari ini, ingin mendekatkan kita untuk
menyusur semula wadah perjuangan kita, merasai setiap nafas perjuangan yang
menghela wasilah keikhlasan dan bertulang sendikan hikmah kebijaksanaan.
Srikandi – srikandi bangsa,
TAHUN
PERJUANGAN PERGERAKAN PUTERI UMNO.
Tahun ini adalah ulangtahun Pergerakan
Puteri yang ke 10. Apa ada pada angka sepuluh? 10 Zulhijjah, adalah saksi
peristiwa Nabi Allah Ibrahim mengorbankan anaknya sebagai lambang kepatuhan
kepada Yang Maha Esa. 10 Muharram, Hari Asyura yang menyaksikan Nabi Nuh dan
seluruh pengikutnya menghulurkan segala yang mereka ada demi menjamin
kelangsungan dan survival kehidupan. Dan surah ke 10 dalam Al Quran adalah
Surah Yunus, yang menceritakan tentang kebesaran dan kekuasaan Allah yang
menuntut pengorbanan dan ketakwaan hamba pada Khaliknya.
Angka sepuluh ini membawa siginifikan
tentang pengorbanan dan segala sifat yang terkandung di dalamnya. Angka sepuluh
ini hadir sebagai petanda dan aksara keramat, betapa setiap yang dikerjakan
atas roh perjuangan perlu bertunjangkan pengorbanan. Dan uniknya, tahun ini
adalah tahun ke sepuluh pengorbanan Pergerakan Puteri sebagai sayap UMNO, yang
berjuang meladeni ketuanan Melayu.
Syukurlah, rahmat dan redha Allah tidak
pernah putus mengiringi perjuangan kita. Diturunkan kepada kita ujian untuk
kita belajar dan sedar, betapa besarnya harga dan nikmat sebuah perjuangan.
Sedar atau pun tidak, sepanjang 10 tahun ini juga telah lahir pejuang, wirawati,
srikandi dan perevolusi dalam Pergerakan Puteri. Malah dalam mana-mana
kepimpinan pun akan lahir yang khianat, yang dengki, yang iri hati, yang tamak
haloba, namun dengan matang kita bangun
dan berkata, inilah resam, adat dan lumrah berjuang, kerana apabila kita
mendaki puncak kejayaan, jalannya pasti berliku, ranjau pasti akan kita ketemu.
Kesemuanya hanya sekadar menyediakan kita kepada satu jawapan, “Kita kini
dipuncak perjuangan.”
Namun, apa yang kita miliki hari ini, tidak
menjadikan kita buta, bisu dan pekak dari terus memperhalusi garisan panjang
perjuangan bangsa. Kerana setiap dari kita harus punya semangat Melayu tulen.
Semangat yang pantang menyerah sebelum kalah, semangat membujur lalu melintang
patah, berpantang maut sebelum ajal. Atas semangat inilah, maka sudah sampai
masanya kita memperkukuhkan wadah, wasilah dan hikmah perjuangan kita. Saya
ingin mengambil seketika masa saudari-saudari untuk kita memahami memahami
terlebih dahulu, 3 perkataan keramat yakni wadah, wasilah dan hikmah, yang akan
menjadi azimat perjuangan kita.
Wadah, secara bahasanya membina maksud
asas, tempat, platform, saluran dan medan yang paling berkesan dalam menggapai
sesuatu sasaran. Justeru, kita hari ini sudah punya wadah. Malah belum ada
dalam sejarah mana-mana bangsa, wadah ini bertahan merentas zaman ke zaman.
UMNO dan Pergerakan Puteri adalah wadah kita, saluran kita, asas tempat kita,
dan di sinilah medan kita berjuang, berperang dan menyediakan kehidupan kepada
generasi masa hadapan. Inilah satu-satunya wadah keramat orang Melayu dan wadah
perjuangan ini yang akan kita pertahankan, walaupun terpaksa dipertaruhkan
sehingga bercerai nyawa dari badan. Biar putih tulang jangan putih mata.
Wasilah secara hurufiahnya adalah
kedudukan, perantara dan sesuatu yang menyambung dan mendekatkan sesuatu dengan
yang lain, atas dasar keinginan yang kuat untuk mendekati. Di dalam Al Quran
sendiri, perkataan wasilah ini disebut sebanyak dua kali iaitu di dalam Surah
Al Maidah ayat 35 dan Al Isra’ ayat 57, yang mengunjurkan pengertian tentang
seruan untuk umat manusia mencari wasilah atau kedudukan dan jalan, yang mampu
mendekatkan diri dengan Allah Yang Maha Esa. Pemahaman yang lebih tajam,
wasilah dalam konteks kehidupan adalah suatu kedudukan, perantara dan jalan
yang seharusnya kita redahi untuk mencapai redha Ilahi, serta sebagai usaha
yang istiqamah dalam meneruskan kelangsungan agama, bangsa dan negara.
Wasilah dalam konteks perjuangan kita,
seharusnya lebih terarah pada kedudukan dan jalan yang tepat, agar kita
benar-benar berjuang dari jiwa yang waja dan hati yang tidak berbelah bagi.
Kita mencari wasilah keikhlasan kerana yang menjadi perantara di antara apa
yang kita juangkan dengan sesuatu yang dicari dalam perjuangan, hanya satu
perkataan iaitu keikhlasan. Keikhlasan
tidak penah membanding bezakan pangkat dan jawatan, juga keikhlasan tidak
pernah buta dan bebal dalam mengenal
emosi dan rasional.
Hikmah pula, adalah mengetahui dan mencari
sesuatu yang terbaik, melaksanakan dengan cara yang terbaik untuk memperoleh
hasil yang terbaik. Hikmah adalah keadilan dalam menghakimi dan ia dipasakkan
atas kekuatan pengetahuan dan ilmu. Secara khulasahnya, perkataan roh hikmah
ini mengajak kita untuk mendasari sesuatu kebenaran melalui ketajaman akal
fikir, kekuatan rasional, keluasan sudut pandang, ketinggian ilmu serta
keberanian mengambil tindakan. Maka dalam konteks perjuangan Pergerakan Puteri,
hikmah ini tersimpul mati dalam satu erti iaitu, kebijaksanaan. Inilah hikmah
yang akan mendasari perjuangan kita sampai bila-bila.
Bertitik
tolak dari pemahaman wadah, wasilah dan hikmah inilah, maka setiap dari kita
perlu untuk bermuhasabah semula, mengingati dan menginsafi setiap denai
perjuangan selama 10 tahun yang telah kita lalui.Perubahan zaman, telah
menjadikan Puteri semakin matang, terbuka dan optimis untuk kehadapan bersuara
dan memberi pandangan. Bangsa yang bertamadun lazimnya percaya, bahawa syarat
asas membina sebuah ketamadunan ialah apabila tidak ada seorang pun dari rakyat
yang dinafikan haknya untuk berjuang, dan haknya untuk bersuara. Atas
kepercayaan itulah, maka usaha ke arah penubuhan Pergerakan Puteri Umno
bermula, bagi menyediakan satu jawapan kepada 1001 persoalan, dimanakah wadah
perjuangan wanita muda? Syukurlah, Hari ini 10 tahun Puteri berdiri kerana
pemimpin terdahulu tidak pernah berputus asa berjuang menyediakan wadah untuk
kita. Pada tahun awal penubuhan Puteri, kita dikecam, kita dipandang rendah dan
kita dicabar oleh banyak pihak. Tetapi semangat dan kemahuan kita untuk bangun
berjuang telah membawa satu isyarat, bahawa wanita muda juga ada hak dan tidak
mahu hak mereka dipinggirkan.
Tiada yang lebih berharga selain dari penghargaan
terima kasih buat Datuk Azalina Othman, Ketua Pergerakan Puteri yang pertama
yang lantang menentang semua suara-suara sumbang, dan tegar berdiri menyediakan
kita wadah perjuangan ini. Juga penghargaan terima kasih buat Datuk Noraini
Ahmad, Ketua Pergerakan Puteri UMNO yang kedua, dengan semangat dan kerja kuat
beliau akhirnya telah merintis Pergerakan Puteri dalam memahami erti perjuangan
melalui wasilah keikhlasan. Dan hari ini, tugas dan tanggungjawab ini terpikul
di pundak kita. Kita punya wadah dan sudah bertemu wasilah, dan kini kita perlu
belajar berjuang dengan asas hikmah kebijaksanaan.
Ibn Khaldun dalam karya agongnya Muqaddimah
pernah menegaskan, “Kebijaksanaan itu adalah asas untuk membangunkan
kesejahteraan rakyat.” Justeru itu, bijaksana dalam berjuang, menuntut kita
untuk mengenal siapa diri kita yang sebenar. Cara kita mendidik dan membesar
juga menjadi petanda kematangan kita mendepani zaman. Contohnya, dalam kitab
Tarbiyatul Aulad karangan Abdullah Nasih Ulwan, jelas menerangkan betapa kanak-kanak
berusia 7 tahun perlu diajar bersolat dan kalau enggan mereka perlu dinasihati.
Dan pastinya ada sebab kenapa apabila 10
tahun baru Islam mewajibkan merotan anak yang enggan bersolat. Apakah
signifikan dengan 10 tahun? Maka Tuhan mengajar kita bahawa pada usia ini kita
sudah boleh menentukan halatuju hidup dan berhak menerima hukuman dan
bertanggungjawab atas segala tindakan kita.
Andai
kita ingin mengibaratkan perjuangan ini seperti kisah hidup seorang Muslim,
maka Pergerakan Puteri UMNO sudah cukup dewasa dan benar-benar merdeka dalam
memahami tanggungjawab dan halatujunya. Kita sudah mumaiyiz yang sudah bijak
menentukan baik buruk dan tidak lagi mengharap sepenuhnya pada sayap-sayap yang
lain dan kepimpinan tertinggi parti. Kita sudah bijak bertindak dalam membuat
keputusan demi menjaga kesarwajagatan bangsa Melayu. Kita sudah selayaknya
berjuang dan bertindak untuk mengangkat martabat dan darjat bangsa kerana ia
bukan hanya tanggungjawab parti tetapi ia juga tanggungjawab kita setiap
ahli-ahli Puteri.
Mari kita fahami semula asas perjuangan
Pergerakan Puteri.Tujuan asal penubuhan Puteri sebagai salah satu sayap utama
parti ialah menjadi perintis kepada perubahan terhadap dua perkara, iaitu
Teknologi Maklumat dan Generasi Muda. Kedua-dua elemen ini kita bangunkan
sebaik mungkin sebagai asas dan matlamat perjuangan kita. Dan hari ini
Pergerakan Puteri UMNO jelas dihadapan dalam menyediakan keperluan teknologi
maklumat dalam arus media baru sehingga kita telah dikenali sebagai pemegang
kunci azimat maklumat maya.
Pengenalan ‘Cyber Troopers’ adalah lambang
betapa kita dihadapan dalam usaha merakyatkan penggunaan teknologi dan semua
maklumat ini diurus tadbir dengan berhikmah.
Puteri juga sentiasa terbuka dalam memahami dan mendekati secara
berhikmah keperluan dan kehendak generasi muda. Khulasahnya, media baru dan
generasi muda memang sudah sinonim dan Pergerakan Puteri sebagai wadah untuk
kedua-dua bergerak atas wasilah dan berhikmah.
Perubahan akan lebih terkesan, andai ia
bermula dari dalam dan persoalan bagaimana cara mengubah harus di fahami secara
berhikmah. Kita harus berubah dan bersedia untuk diubah. Dengan ini
transformasi yang lebih dinamik akan terus menggerakkan perjuangan. Dengan ini
saya mencadangkan Gagasan Tranformasi Puteri ( GTP ) yang digerakkan melalui 5
asas utama.
Pertama, transformasi akhlak. Puteri akan
kehadapan dalam menyediakan contoh akhlak terpuji yang harus diteladani.
Kedua, peradaban. Semua usaha dan
pendekatan kita, akan lebih terarah kepada pembinaan sebuah peradaban bangsa
yang berjaya.
Ketiga tranformasi perenggu minda atau mind
set. Sudah tiba masanya kita membuka kotak fikir kita, untuk melihat perjuangan
dalam bermacam sudut pandang dan perspektif. Lebih terbuka dalam menerima
kritikan dan lebih berani menegakkan kebenaran.
Keempat, tindakan. Tindakan kita harus
lebih agresif, proaktif dan lebih mengutamakan kepentingan parti dari
kepentingan indidvidu.
Kelima pemikiran. Inilah tranformasi paling
utama dan setiap dari kita harus percaya, semuanya harus bermula dengan asas
pemikiran yang sihat dan terarah. GTP inlah yang menjadikan kita lebih
berhikmah dalam berdepan cabaran perjuangan. Akhlak, peradaban, perenggu minda,
tindakan dan pemikiran, inilah tranformasi asas YAB Dato Seri Presiden, dan
kesemua transformasi ini harus didahulukan sebelum transformasi lain kita
laksanakan. Masa kita kini adalah untuk setia bersama Dato’ Seri Presiden untuk
merealisasikan tranformasi beliau, dan ini jugalah masa untuk kita bersama Dato
Seri Presiden agar beliau tidak bersendirian melakukan perubahan ini. Itu janji
kita di Pergerakan Puteri.
Puteri-puteri pejuang bangsa,
RESMI PERJUANGAN
Masyarakat Jepun percaya, bahawa ubat
paling mujarab untukseseorang pesakit adalah pesakit itu sendiri. Kerana itulah, sejak di awal usia,
kanak-kanak Jepun diajar memakai kasut yang nipis, supaya mereka dapat menahan
bahang dan rasa sejuk lantai tempat berpijak, sekalipun suhu badan panas mereka
dihambat ke pintu sekolah kerana disitulah bermulanya sifat survival dalam jiwa
kental setiap rakyatnya. Mereka percaya, ubat yang terbaik adalah kekuatan
minda, jatidiri dan antibodi untuk terus berdiri secara mandiri. Malah pakar
psikologi begitu percaya, separuh daripada pesakit di hospital sebenarnya tidak
sakit sebaliknya tewas kepada mentaliti sendiri.
Mengambil semangat itulah, kita harus kuat
untuk terus mandiri berdepan dengan kesakitan dan keperitan perjuangan. Benar
resmi berjuang itu sakit, pedih, perit dan adakalanya mengecewakan, namun itu
bukan alasan untuk kita bacul dan lari dari perjuangan. Puteri harus punya
ketahanan untuk berdepan perit sakit perjuangan. Semua ini adalah bekal dan
kekuatan kita untuk menakhodai arus perubahan selari dengan hasrat YAB Dato’
Seri Presiden yang mahukan kita menakhodai zaman.
Zaman sudah berubah. Justeru pemikiran juga
harus berubah. Hanya melalui tranformasi pemikiran yang sihat kita mampu
mengubati penyakit yang melarat. Syukurlah hari ini, kita sudah meninggalkan
budaya canggung dalam politik. Tiada lagi budaya separuh masak orang Melayu.
Kalau kita ada pisau kita tak tikam belakang orang, kalau ada gunting kita tak
potong rambut orang. Kita berani berkata benar demi menegakkan hak dan manfaat
perjuangan. Tiada lagi adu domba. Tiada lagi pura-pura didepan bikin kerja,
tapi dibelakang bikin cerita. Di depan ketua, dia serendah-rendah ahli, di
depan ahli, dia setinggi-tinggi ketua. Tiada lagi budaya selak menyelak. Semua
dia yang tahu, semua dia yang betul. Tiada lagi watak Bawang Merah dalam
Puteri, jiwanya dengki, hatinya iri dan raganya berdendam benci. Tiada lagi
watak Kassim Pantalon dalam Tiga Abdul, bila disuruh urus kerja, semuanya 25
percen.
Kalau masih ada yang mahu dikipas dan
mengipas, yang dengki dan iri hati, yang dendam tak bertepi, yang cemburu
membuta tuli, sama-sama kita bilang pada mereka, UMNO bukan parti mereka.
Perjuangan UMNO suci, yang kotor hanya tangan-tangan mereka. Perjuangan UMNO
bersih, yang tercemar hanya politik murahan mereka. Tiada lagi gunting dalam
lipatan, tiada lagi musuh dalam selimut, tiada lagi lidah bercabang dua dan
tiada lagi kepalanya ular, ekornya belut kerana kita bukan seperti Pakatan
Rakyat, satu bahtera tiga nakhoda.
Akibat kita terlalu memikirkan parasit-parasit
parti, kita lupa ribuan ahli yang lain jauh lebih ikhlas dalam berjuang.
Sepanjang saya menjadi Ketua Puteri, telah banyak cerita yang saya dengar dan
saya temui sendiri, kegigihan pejuang-pejuang Puteri yang tidak punya apa-apa
jawatan dan pangkat dalam parti, tetapi berjuang seikhlas hati.
Tahukah adik-adik, di dalam dan diluar sana
ramai ahli-ahli kita yang sanggup lakukan apa sahaja untuk perjuangan ini.
Pernah ada ahli Puteri yang sarat mengandung, pada malamnya masih lagi turun ke
mesyuarat Puteri, dan esoknya dia bersalin. Pernah ada ahli Puteri yang dengan
penuh gigih mengambil ahli-ahlinya untuk hadir ke mesyuarat sampai 4, 5 trip,
dan kemudian menghantar semula mereka pulang selepas mesyuarat tanpa meminta upah
satu sen pun. Dan kerana terlalu penat, sewaktu pulang awal pagi, beliau ditimpa
kemalangan. Ada yang sampai hilang kerja kerana terlalu bekerja untuk parti.
Saya percaya di luar dewan ini, lebih
ribuan ahli Puteri lain yang tak dapat peluang menjadi perwakilan masih datang
ke PWTC. Makan tak menentu, tidur tak bertempat, tinggalkan keluarga
semata-mata sayangkan perjuangan parti. Sebenarnya, mereka ini kalau kita tewas
mereka yang sedih dan menangis, kalau kita dihina dan dicaci mereka yang tampil
ke hadapan bersuara.
Merekalah wirawati yang tak pernah
didendang, wirawati yang sebenar dalam berjuang. Jiwa mereka besar, semangat
mereka besar, keberanian mereka besar walaupun mereka tidak memegang apa-apa
jawatan besar.
Pada saya mereka umpama sebutir mutiara
yang lebih berharga dari pasir sepantai. Biar mereka tidak cantik di mata
penduduk bumi, tapi nama mereka menjadi bualan penduduk di langit. Mereka lah
semangat dan kekuatan kita untuk terus berjuang.Janji saya, selagi saya berdiri
di dalam Puteri, selagi itu doa saya, semangat saya akan mengiringi tiap jerih
perjuangan mereka. Biar mereka bukan jutawan dunia tapi mereka lah jutawan
akhirat. Jasa mereka hanya Allah yang mampu menghitungnya.
Sidang perwakilan yang saya kasihi,
Umum maklumi, Jepun adalah sebuah bangsa
yang hebat. Dari debu runtuhan Nagasaki dan Hiroshima, mereka membangun sebagai
bangsa yang benar-benar merdeka. Dari runtuhan Kobe dan bencana radioaktif Fukushima,
mereka berdiri membina semula peradaban dan keyakinan.
Pemikiran mereka merdeka. Tindakan serta
keberanian mereka, menjadi perintis kepada semua perubahan. Kita mungkin lazim
mendengar semangat kamikaze yang sudah sejiwa dengan darah pejuang mereka.
Namun ramai yang mungkin tidak mengetahui, bahawa bangsa Jepun punya satu lagi
prinsip yang besar yang diterapkan dalam setiap denyut nadi bangsanya iaitu
‘Gambaru.’
Gambaru membawa makna berjuang
bermati-matian sehingga titik darah penghabisan atau bertahan sampai kemana pun
juga. Apa juga yang ditegakkan dari pangkal menjadi tanggungjawab untuk
diperjuangkan sehingga ke hujungnya. Persoalan yang hadir adalah sebuah
kewajaran dalam hidup dan semuanya hanya bisa dihadapi dengan semangat Gambaru
kerana perjuangan bukan soal menghitung menang dan berserah kalah, perjuangan
adalah soal prinsip yang perlu ditegakkan dengan segala kudrat dan kekuatan
yang ada. InsyaAllah rahmat dan berkat Tuhan acapkali rapat dengan mereka yang
ikhlas dalam berjuang.
Maka benarlah kata-kata pujangga Arab, ‘Manjadda
wajada,’ Sesiapa yang berusaha maka dia akan berjaya. ‘Man Zara’a Hasada’ Siapa
yang menanam, maka dialah yang mendapat hasilnya.
Justeru, menggenggam aspirasi dari semangat
inilah, setiap dari kita perlu memahami asas dan wadah perjuangan Pergerakan
Puteri UMNO. Dimana kita bermula dan kemana harus kita teroka. Maka ‘jadda’
yakni berusaha bersungguh-sungguh menyeru untuk kita dengan hati dan seluruh
kudrat memahami prinsip perjuangan, wadah yang digunakan, matlamat yang ingin
dicapai serta manfaat yang mampu ditebarkan.
Cuma satu pesan saya, ingat, bukan resmi berjuang
jika semuanya mudah dan indah. Bukan berjuang namanya, jika yang lalu adalah
seperti apa yang kita mahu. Benar, berjuang adalah untuk mencari kemenangan,
benar berjuang ialah soal menundukkan ego lawan, tetapi adalah lebih benar,
berjuang adalah untuk mempertahankan hak, prinsip dan kebenaran.
Jangan sesekali kita lupa, berjuang tidak
semestinya kita sentiasa menang, berjuang bukan bererti kita perlu berada di
atas, berjuang juga bukan bererti bekerja hanya apabila menerima ganjaran,
kerana itu, hari ini, ramai yang menang sorak kampong tergadai. Berjuang kita
akan tetap berjuang menentang kebatilan menegak kebenaran. Kita akan tunduk
menghormati dan angguk membenarkan tiap sesuatu yang pasti. Tapi kita takkan
sesekali kaku dan lemah mengiyakan semua perkara dengan pasrah dan berserah.
Sudah-sudahlah kita menjadi seperti Mahsuri,
bila difitnah dia mengalah dan duduk mengharap simpati menyebelah.
Cukup-cukuplah kita bersimpati dengan watak Si Bawang Putih. Apabila difitnah, dicaci, di hina hanya
tunduk dan mengiyakan maruahnya dipijak-pijak. Hari ini, semangat Puteri harus
mengalir sepekat darah Tun Fatimah. Yang bangun berjuang kerana prinsip, tajam
lidah bersuara kerana kebenaran dan keberanian menongkah arus kerana percaya
kalau bukan dia yang pertahankan Melaka, habis itu siapa?
Maka benarlah seperti yang pernah
dikhabarkan sejarah, betapa Portugis lebih takutkan Tun Fatimah dari suaminya
Sultan Mahmud Syah. Iktibar dari kisah inilah, maka bangunlah berjuang dan
menegakkan kebenaran. Kalau yang dijuangkan adalah kebenaran, maka yang
tertegak juga adalah kebenaran. Kalau diperjuang adalah kebatilan, maka
akhirnya yang akan menimpa adalah kebatilan.
Saudari dan saudari yang dihormati,
SUDUT PANDANG SEJARAH
Sebagai sebuah sayap pergerakan politik, Puteri
hari ini sudah semakin matang dalam menilai dan menghadam setiap isu yang
berlaku saban hari. Kita punya asas rasional yang kukuh untuk melihat sesuatu
isu serta berpasak pada prinsip dan pendirian kita sendiri. Kalau benar kita
katakan benar dan kita sokong, tetapi kalau batil kita tidak pernah gentar
untuk katakan batil dan kita tentang habis-habisan.
Dalam
kehidupan manusia, banyak perkara yang boleh kita pilih, tetapi hanya satu yang
tak boleh kita pilih. Iaitu asal usul kita. Sejarah kita. Hari ini semua orang
bercakap tentang sejarah. Signalnya setiap dari kita sayangkan perjalanan
sejarah kita. Sejarah adalah tentang hak milik, kepunyaan yang membesar sebagai
lambang dan pusaka satu bangsa.
Tetapi, sejarah boleh sahaja jadi alat
politik bagi mereka yg meletakkan kepentingan peribadi mengatasi dari harga
diri dan nilai yang dilalui oleh sejarah itu sendiri. Soalnya rakyat bukan lagi
buta sejarah. Mereka tersepit antara memahami pengajaran dari kulitnya dan
menerokai kebenaran yang tersembunyi dalam intinya.
Kita takut untuk bercerita tentang
kebenaran walhal sejarah adalah sejarah. Dalam perjalanan sejarah mana-mana
bangsa di dunia, fakta sejarah pasti bergaul antara indah untuk dikenang dan
yang perit untuk ditatang. Laluan sejarah juga boleh sahaja bercerita tentang
kesilapan kita sebelumnya dan kita harus matang dan terbuka berhadapan
dengannya untuk dipetik tiap bait pengajaran. Jangan sekali-kali kita paranoid
dan takut pada bayang-bayang sendiri. Natijahnya, maka akan hadir pihak tidak
bertanggungjawab yang hanya menangguk di air keruh, melukut di tepian gantang,
mengambil kesempatan atas situasi seperti ini, untuk mengasak cara berfikir
masyarakat agar pendirian mereka terhadap persepsi sejarah boleh dibeli dan
dijual sesuka hati.
Jika dahulu pembangkang memecah belahkan
perpaduan kita melalui sentimen perkauman, melalui sentimen bahasa, sentimen
kuota bumiputera, hingga kepada sentimen agama tetapi hari ini kerana niat
kotor politik mereka, kita dipecahbelahkan menggunakan sentimen sejarah.
Ironinya, jika soal agama, kuota
bumiputera, isu kaum adalah isu tentang perjuangan tunggal sesuatu kaum tetapi
sentimen sejarah hari ini cubadigaris pisahkan antara ideologi pembangkang dan
kerajaan. Mereka sanggup jual cerita, bina persepsi membabi buta, mengasak
emosi rakyat dengan kaedah retorik dan logik tanpa asas untuk royalti politik
murahan. Akhirnya sedikit demi sedikit mereka mengajar rakyat membenci sejarah,
dan sedikit demi sedikit kebencian terhadap kerajaan berakar.
Justeru itu, Pergerakan Puteri UMNO
bertegas bahawa perlu adanya satu gerakan yang komprehensif untuk menyelak
semula pendekatan dalam matapelajaran Sejarah yang sudah digunapakai sejak
sekian lama. Bukan bermakna apa yang kita buat selama ini salah, tetapi kita
seharusnya matang untuk menerima bahawa sesuatu yang betul tidak bermakna ia
relevan untuk setiap zaman dan generasi.
Sudah tiba masanya, pendekatan dan daya
sampai subjek Sejarah mampu untuk mengubah persepsi pelajar untuk tidak melihat
Sejarah sebagai satu subjek apatah lagi mengasaki mereka melalui helaian kertas
peperiksaan. Selain dari pendekatan pengajaran dan pembelajaran yang lebih
terbuka, merangsang pelajar untuk bereskpresi rasa tentang perjalanan sejarah
bangsa mereka, disamping membuka ruang pelajar untuk berdebat sesama mereka
tentang pandangan terhadap sejarah dengan dipimpin oleh kematangan guru dalam
mengendalikan isu.
Sejarah hanya benar-benar akan rosak,
apabila disebut tentang subjek sejarah, pelajar hanya terfikir tentang nama
tokoh, tarikh ,tempat, peristiwa, punca dan kesan. Kita tutup pintu mereka
untuk berekspresi, bereksplorasi, bertanyadan tampil dengan pandangan dan
pendapat mereka sendiri. Akhirnya, kegagalan untuk mengekspresi nilai inilah
menyebabkan kita jumud dengan kebenaran.
Saudari-saudari sekalian,
Fakta adalah hakikat.Manakala interpretasi
terhadap fakta membentuk persepsi. Tetapi cara interpretasi itu yang menjadikan
sudut pandang sejarah menjadi hitam atau putih. Soalnya yang benar-benar ingin
kita fahami adalah pengajaran yang di bawa bersama sejarah. Percayalah, dalam
dunia yang semakin terbuka sekarang,ditambah dengan lonjakan cara fikir rakyat
yang semakin matang, kita akan tewas jika kita sering takut dengan kesilapan
silam.
Apa yang kita harus lakukan ialah memberi
interpretasi baru tentang kesilapan silam untuk kita menjadi lebih berani dan
bermaruah mendepani perjuangan. Inilah yang dikatakan belajar daripada sejarah,
kerana sejarah bukan hanya sekadar mengangkat kemegahan dan kekuatan,
disebaliknya matang mencedok pengajaran dari kesilapan masa silam.
Justeru, Puteri dengan lantang menentang
sekeras-kerasnya tindakan Mat Sabu yang telah memberi interpretasi separuh
masak fakta sejarah dalam isu Bukit Kepong. Mereka boleh sahaja meletakkan
anggapan keganasan komunis sebagai lambang perjuangan, tetapi kita harus yakin
dan percaya sampai bila-bila, bahawa pengganas tidak akan pernah menjadi pejuang.
Perompak harta rakyat, perogol anak dara tidak akan pernah menjadi pembela
bangsa, dan keganasan bukan cara bangsa bermaruah untuk bertempur dimedan
perang.
Pejuang yang sayangkan tanah air tidak akan
memporak-perandakan tanah air sendiri, mengugut, membunuh hanya kerana kehendak
mereka tidak dilunasi. Kerana itu bila ditanya antara perjuangan Perikatan yang
menyatukan rakyat dan keganasan komunis mana yang lebih baik, seikhlasnya, saya
tahu rakyat menyimpan jawapannya. Natijahnya, tindakan tidak bertanggungjawab
Mat Sabu telah meracuni segelintir generasi muda untuk mula mempertikaikan
kebenaran sejarah.
Justeru, sebagai muqaddimah dalam
mensinergikan semula matapelajaran sejarah agar ia mampu menarik minat pelajar
disekolah, Puteri berbesar hati untuk mencadang pendekatan yang lebih muda dan
terbuka. Fakta adalah hakikat dan buku teks hadir melalui olahan dan
interpretasi terhadap fakta yang membina sesuatu sudut persepsi bagi memimpin
pelajar memahami susur galur sejarah melalui jalan yang seragam. Malangnya,
hari ini persepsi itu sudah menjadi seakan sebuah fakta bagi pelajar. Disinilah
momentum mereka terhadap penerokaan sejarah terbantut aklibat sudut pandang
mereka yang mula dikotak-kotakkan.Untuk tujuan itu, Puteri mencadangkan,
Pertama, Buku Teks Sejarah dimurnikan cara
dan daya penyampaiannya. Hakikatnya, kebenaran adalah hak yang perlu dipaparkan
kepada rakyat. Jika kita masih mahu berkompromi dengan hakikat ini,kita hanya
mampu melihat dan melatah apabila anasir luar hadir membawa kebenaran bersama
persepsi yang membabi buta.
Kedua, menggalakkan budaya percambahan
fikiran di bilik darjah melalui aktiviti perdebatan mengenai isu-isu sejarah
yang dipelajari. Ini memberi ruang kepada pelajar untuk hadir bersama sudut
pandang berbeza supaya mereka lebih dekat dengan sejarah mereka sendiri. Tidak
salah jika akhirnya ada yang ingin menyatakan Jebat itu benar dan Tuah telah
melakukan kesilapan, selagi mana proses berfikir ini dipimpin oleh guru dengan
berhikmah.
Ketiga, silibus dan orientasi peperiksaan
perlu dirombak secara holistik. Tiada lagi soalan yang mengasak pengahafalan
pelajar pada persepsi sejarah yang dibina di dalam buku teks mereka. Contohnya,
disebalik soalan seperti, ‘Apakah faktor-faktor kejatuhan Melaka ketangan
Portugis?’ dan ia boleh diperbaharui dengan soalan yang lebih terbuka.“Pada
pandangan anda, seandainya Melaka tidak dijajah Portugis, bagaimana keadaan
kita hari ini?” Maka pelajar akan mula berekspresi dengan memetik setiap jalan
cerita sejarah mereka untuk membentuk pandangan mereka. Selagi mana ianya
jawapan yang rasional, maka tidak ada betul dan tidak ada salah kerana akhirnya
kita mahu mereka faham sejarah adalah perjalanan masa lalu mereka.
Natijahnya, apabila kebenaran tidak
disembunyi, apabila asas itu difahami, maka jika pembangkang hadir dengan
persepsi yang lain, mereka ada jawapan kerana mereka diajar memahami sejarah
dari proses berfikir dan bukan proses menghafal cerita. Generasi yang terbentuk
dari perubahan ini adalah generasi berprinsip dan bersebab, dan tidak bertindak
kerana kebencian terhadap sesuatu pihak.
Atas dasar itulah, jangan biarkan generasi
muda melihat sejarah dari garisan luar dan hanya memerhati perkara yang lalu,
walhal mereka juga berada dalam garisan sejarah itu. Jangan kita tutup kehendak
mereka untuk merasai sifat memiliki sejarah sendiri, melalui pendekatan subjek
ini yang berisiko membunuh minda pelajar untuk mendalaminya.
Sejarah bukan ditulis oleh pasukan yang
menang. Sebaliknya sejarah adalah perjalanan cerita yang dirakam oleh susur
galur sejarah itu sendiri. Kita bukan bacul seperti Mat Sabu, yang sanggup
menipu sejarah untuk senjata politik parti. Kita juga bukan anak-anak kecil,
yang mudah ditakut-takutkan dengan cerita karut dan sejarah ciptaan mereka
sendiri. Kita sedar, rakyat punya prinsip, rakyat punya pendirian, dan rakyat
tahu siapa yang benar dan siapa yang membelit seperti ular.
Rakyat tahu siapa yang iklhas dan siapa
yang culas, siapa yang jujur dan siapa yang mengumpul fitnah untuk ditabur.
Pergerakan Puteri akan terus berdiri di barisan paling hadapan, untuk menentang
siapa juga petualang yang cuba mengubah jalan cerita perjalanan kita. Ingat,
apa yang tertulis dalam sejarah, bukan hak milik UMNO atau hak milik MCA, MIC,
PAS, PKR atau DAP, tetapi adalah hak milik rakyat, kerana sejarah itu adalah
sejarah bersama. Selagi nyawa dikandung badan, kita yang akan pertahankannya.
Saudari-saudari yang dikasihi,
PARTISIPASI GENERASI MUDA
Anak muda laksana tiang sebuah negara. Jika
betul cara ia dipasak, maka tapaknya kuat, dasarnya erat dan mercunya adalah
buah-buah rahmat. Jika salah cara tiang ini dipasak, maka tapaknya pincang,
dasarnya berliang dan mercunya pasti kecundang dan terbuang. Maka benar kata
bijak pandai, kalau mahu untung sehari, tanamlah jagung, kalau mahu untung
setahun, tanamlah padi, dan kalau mahu untung beratus tahun, maka didiklah
generasi muda. Sejarah telah menyaksikan, Negara bisa terbina kerana keampuhan
tangan anak-anak mudanya, dan negara bisa binasa juga kerana kealpaan mereka.
Walaupun hari ini kita adalah puteri, saya
suka meminjam kisah seorang putera, bernama Putera Muhammad Al Fateh, Putera
Raja Murad 2, yang keberanian dan kebijaksannanya telah acap kali diulang sebut
dalam lipatan sejarah. Baginda Rasulullah pernah bersabda, bahawa pada satu,
ketika akan lahir seorang pemimpin muda terbaik dunia, yang akan memimpin
bersama gerombolan tentera terbaik dunia. Sehinggakan Abu Ayob Al Ansari,
dipenghujung hayatnya berpesan, agar jasadnya dimakamkan di antara dua bukit
pintu masuk Selat Bosforus, semata-mata kerana beliau ingin menjadi sebahagian
daripada mereka, yang berpeluang mendengar derapan tapak kaki kuda, yang
membawa pemimpin terbaik yang memimpin bala tentera terbaik. Pada usia 21 tahun,
Muhamad Al Fateh telah berjaya menawan Constantinopel setelah 19 usaha dari 19
kerajaan besar yang lain menemui kegagalan. Hikmah perjuangan seorang anak muda
berusia 21 tahun ini, meruntuhkan keangkuhan dan kezaliman empayar
Byzantine.
Tahukah anda,nama putera ini hanya Sultan
Muhamad. Manakala Al Fateh, adalah gelaran yang diberi dan membawa makna
pembuka. Menyeru semangat inilah, maka kita mahu generasi muda hari ini menjadi
pembuka kepada peradaban berteraskan hikmah kebijaksaan.
Bukan lagi soal umur, soal jawatan, soal
pangkat, tetapi ia soal tanggungjawab yang terpikul di bahu setiap generasi
muda. Soal bagaimana harus kita bangun dan berjuang untuk agama, bangsa dan negara.
Justeru, Pergerakan Puteri harus menjadi tulang belakang utama dalam
menggerakkan perubahan cara fikir dan bertindak generasi muda. Berfikir,
bertindak dan beraksi selari dengan aspirasi yang dimahukan oleh generasi muda.
Saudari – saudari sekalian,
Generasi muda dahulu dan generasi muda hari
ini sebenarnya berbeza. Generasi muda hari ini, menitik beratkan tentang cara
kita memandang mereka, mendekati mereka, mendampingi mereka dan yang penting
menjadi sebahagian dari mereka. Mungkin untuk satu ketika tindakan mereka sukar
untuk kita fahami dan maknai, tetapi itulah generasi muda. Mereka kaya dengan
pandangan dan persepsi serta sifat eksplorasi yang tinggi.
Saya suka mengambil ibarat pada satu
situasi pemerhatian politik. Generasi pasca awal kemerdekaan, memang mempunyai
semangat juang parti yang tebal. Malah ada dalam kalangan nenek moyang kita
yang tidak mahu turun mengundi kalau yang bertanding itu bukan parti kapal
layar. Malah sifat menerima mereka terhadap semua usaha parti juga lebih
bersantun dan terbuka. Umpamanya, jika ke kedai mamak, yang mereka pesan teh
panas, tetapi yang dihantar kopi panas, mereka tetap tersenyum dan minum rezeki
yang ada di depan mata.
Generasi pertengahan yang banyak didorong
oleh sifat memberontak pembangkang, lain pulak lagaknya. Kalau yang dterima
tidak sama seperti apa yang dipesan, maka dimaki-hamunnya si mamak itu. Silap
haribulan terbalik meja-meja.
Tetapi generasi alaf baru hari ini sangat
berbeza cara mereka beraksi dengan situasi. Jika yang dipesan teh panas dan
yang dihidang adalah kopi panas, mereka tidak meminumnya, tidak juga memaki,
tetapi dengan senyap dan perlahan mereka berpindah ke kedai mamak sebelah. Dan
itulah yang kita alami pada tsunami pilihanraya yang lalu. Kegagalan kita untuk
memahami mereka, boleh sahaja membawa makna kita sebenarnya meninggalkan
mereka.
Daripada situasi ini, tidak bermakna mereka
tidak ada pendirian, tidak berprinsip. Cuma kita harus lebih matang untuk duduk
bersama mereka memahami situasi yang berlaku. Kita seringkali percaya, umur
lazimnya membezakan kematangan berfikir manusia, tetapi kematangan di alaf baru
diukur dari sudut siapa yang dapat mengejar perubahan zaman. Boleh sahaja orang
yang semakin berusia, yang kurang menguasai capaian media baru tidak seiring
dengancara fikir dan kematangan generasi yang jauh lebih muda, yang ghairah
meneroka maklumat dari segenap penjuru. Maka mereka mula percaya, yang mereka
juga boleh mempunyai pandangan dan prinsip mereka sendiri. Maka disitulah
mereka perlu dirai dan dihormati.
Saya sejujurnya percaya, permulaan dalam
usaha mendampingi mereka adalah dengan meraikan idea dan pandangan mereka
melalui santun yang betul. Sudah sampai satu tahap, mereka mahu pandangan
mereka bukan hanya didengar, tetapi diambil pertimbangan untuk tindakan. Mereka
juga mahu berjasa dan berada dalam barisan pejuang kita, dari mula strategi
perang itu dirangka, sehinggalah kebarisan depan di medantempur, mereka mahu
bersama. Kata – kata bahawa pandangan mereka mentah, tidak boleh dipakai, ikut
emosi, tidak berfikir panjang, radikal, hanyut dalam teknologi, dan tidak
berasas, hanya menjadikan kita dan mereka belayar dalam kapal yang berbeza.
Menyedari akan keperluan inilah, Pergerakan
Puteri sentiasa dihadapan, bersama program-program yang dekat dan mesra dengan
generasi muda. Penubuhan Biro NGO dan Profesional Muda, adalah bukti betapa
kita serius menjalin hubungan dan kerjasama dengan generasi Y. Biro Penggerak
Belia dan Biro Usahawan dan Pemantapan Ekonomi juga, selari dengan usaha Puteri
untuk menjadi tulang belakang dan penggerak kepada aktiviti keusahawanan
generasi muda. Kita lancarkan skuad VOGUE untuk menarik generasi muda menjadi
sukarelawan dan turun padang memberi
khidmat kepada rakyat. Skuad ini turun menjayakan program Ziarah Kasih, Sinar
Kasih, Jelajah Sinar Kasih Ramadhan, Konvoi Kebajikan Menyusur Akar, Projek
Puteri Prihatin, dan banyak lagi program-program utama Puteri yang digerakkan
oleh generasi muda.
Kita mahu generasi muda memahami dan
mengerti, orang-orang politik tidak pernah kesampingkan mereka, tidak pernah
membuang mereka dan tidak pernah pinggirkan hak dan usaha mereka. Kita mahu
mereka sedalamnya memahami, perjuangan kita adalah perjuangan mereka, sakit
kita adalah sakit mereka, kejayaan kita adalah kejayaan mereka, kerana generasi
muda adalah sebahagian dari perjuangan kita.
Saudari-saudari sekalian,
Pandangan generasi muda, terhadap politik
juga semakin matang. Mereka bukan lagi generasi yang angguk angguk
geleng-geleng. Budaya Witch Trial tidak lagi wujud. Sebelum angguk mereka
berfikir, dan sebelum geleng pun mereka akan berfikir. Kita tidak mahu mereka
penat dengan politik sebelum sampai masanya. Siapapun mereka, penyokong kita
atau penentang kita, mereka aset politik negara. Jangan fikir apabila mereka
diam, mereka tidak tahu apa-apa, jangan fikir apabila mereka memberi pandangan
tidak sama dengan kita, mereka mahu menentang kita, jangan fikir apabila mereka
punya prinsip sendiri, mereka tidak menyokong kita.
Orang muda kurang selesa dengan idea semua
sudah tersedia untuk mereka, semuanya sudah diperjuangkan untuk mereka, dan
mereka terhutang budi dengan generasi sebelumnya. Sudah sampai masanya, kita
semarakkan suara mereka, kita raikan idea mereka, kita bangunkan roh dan jiwa
pejuang mereka.
Buat pemimpin parti, pimpinlah mereka
dengan tangan kasih sayang, dekati mereka dengan suara keprihatinan dan
kepekaan, bela mereka dengan jiwa yang ikhlas dan jujur seperti yang dilakukan
oleh YAB Dato’ Seri Presiden, kerana kita mahu mereka matang dalam berjuang.
Saudari - saudari sekalian,
Ketamadunan sebuah bangsa adalah
bersendikan kepada ruang fikir dan gerak politiknya. Dengan memisahkan politik
dan generasi muda, sama seperti kita memisahkan busur dan anak panahnya.
Akibatnya, anak muda semakin jauh dengan politik dan minat mereka terhadapnyapun
semakin mati.
Mengupayakan hak dan suara mereka tidak
bermakna kita mengiyakan mereka turun ke jalan, berdemonstrasi macam orang
hilang fikiran. Kita tahu generasi muda kita bukan seperti itu. Cuma ada
petualang yang membutakan mata mereka, memekakkan telinga mereka dengan
menjadikan mereka tukang sorak dan perusuh jalanan. Kerana itu kita mahu
menghak upaya suara dan idea mereka, melalui garis panduan yang matang dan
bertamadun.
Umum mengetahui, kelompok terbesar yang
berpengaruh dalam kalangan generasi muda pastinya golongan mahasiswa. Kita
mungkin boleh mengawal kebebasan mereka bertindak, kita mungkin boleh mengawal
kebebasan mereka untuk bersuara, tetapi kita tidak akan boleh menyekat
kebebasan mereka untuk berfikir, dan disitulah lazimnya prinsip dan kubu
pendirian mereka terbina. Mendoktrinasikan pemikiran generasi muda, samalah
seperti kita meracun akar.
Sebab itu, Puteri mahukan sebuah transformasi
minda, untuk lebih terbuka terutama apabila kita menangani isu mahasiswa.
Persepsi terhadap mereka perlu berubah dan diubah. Setegasnya, saya mahu katakan,
AUKU bukan senjata kita, AUKU bukan perisai kita, bukan peluru kita. Malah
kalau kita kekal begini AUKU bisa menjadi liabiliti buat kita. Perlu diingat, kebebasan
wujud secara relatif dan tidak bersifat mutlak. Sebab itu, mahasiswa pada
hakikatnya adalah kelompok yang bebas bersuara dan bertindak di universiti.
Keputusan Y.A.B Perdana Menteri pada minggu
yang lalu untuk meminda Seksyen 15 AUKU sepatutnya disambut dengan terbuka.
Selepas ini mahasiswa berhak menjadi ahli mana-mana parti politik seperti yang
dijamin di bawah perlembagaan. Kesediaan kita meminda Seksyen 15 AUKU, adalah
lambang kepercayaan kita kepada kuasa anak muda, untuk membangunkan negara dan
memikul tanggungjawab atas segala tindakan mereka. Jangan sesekali kita khuatir
dan masih berpegang kepada dogma, betapa universiti adalah sarang pembangkang.
Sedangkan secara hakikat, begitu ramai mahasiswa yang sebenarnya secara diam
menjadi aset kita. Cuma, peluang tidak dibuka, ruang jarang disedia dan kerana
kurangnya rasa percaya kita, permata-permata negara ini tidak digilap dan
kemilaunya dibiar malap.
Percayalah, mereka cuma perlu didekati dan
difahami. Jika kita cuba memahami mereka, mereka juga akan mudah memahami
kesucian perjuangan kita. Waktu itu, gerombolan baru anak muda yang akan
memimpin dan menyokong perjuangan parti, akan menjalar dan memenuhi segenap
ruang bumi Malaysia ini. Kerja-kerja membangunkan negara akan menjadi terlalu
mudah dan pantas. Cuma soalnya, kita perlu percaya pada kematangan mereka dan
kita sendiri perlu bertindak matang dan berani.
Kami menyokong sepenuhnya semua keputusan
Presiden, dan sentiasa bersama semua winnable candidate, yang akan dipilih bagi
mewakili Barisan Nasional pada Piliharaya Umum ke 13, kerana sedar ia
menjunjung wasilah keikhlasan dan hikmah kebijaksanaan. Amanat Presiden akan
terus dijunjung di atas jemala perjuangan Pergerakan Puteri. Amanah ini akan
kami lunaskan selagi nyawa dan jasad kami bersatu untuk agama, bangsa dan negara.
Rakan-rakan seperjuangan sekalian,
Apabila berbicara soal kesediaan dan
tanggungjawab pemimpin muda, saya teringat pada satu kisah yang berlaku 2 hari
sebelum kewafatan baginda Rasulullah SAW. Pada ketika itu, baginda sedang mempersiapkan
bala tentera Islam, untuk turun berperang menentang kerajaan Rom. Maka dikumpulkan
semua bala tentera dan pahlawan Islam yang hebat, dan akhirnya Rasulullah melantik
seorang pemuda yang hanya berusia 18 tahun sebagai Panglima Angkatan Perang
yang akan mengetuai ribuan tentera Islam yang lain. Pemuda itu ialah Usamah bin
Zaid. Pada usia 18 tahun, Rasulullah telah memberi kepercayaan kepadanya untuk
merancang strategi, membuat keputusan sehinggalah memimpin kebanyakan tentera
yang jauh lebih berpengalaman dan berusia termasuklah Abu Bakar As Siddiq, Umar
Al Khattab, dan Abu Ubaidillah.
Pengamatan dari kisah ini, membawa kita
pada satu makna, betapa Rasulullah SAW pun mempercayai generasi mudanya, dan
sedar betapa generasi muda ini perlu diberikan tanggungjawab, dan peranan untuk
mereka memberikan sumbangan yang berharga buat agama, bangsa dan negara.
Tidak timbul soal senioriti dan usia dalam
kepemimpinan siasah kerana percayalah, perbezaan usia tampil bersama perbezaan
perspektif dalam melihat dunia dan menghadam perubahan semasa. Kita memerlukan
generasi berbeza untuk memimpin generasi yang berbeza. Kita juga perlukan
generasi berbeza dalam sebuah wadah yang sama, kerana matlamat kita adalah
meraih sokongan dan kepercayaan semua golongan masyarakat.
Benarlah wasiat Umar Al Khattab “Ajarlah
anak kamu dengan urusan di zaman mereka, kerana mereka akan hidup di suatu
zaman yang bukan lagi menjadi zaman kamu.” Uniknya pemimpin kita, Dato’ Seri
Presiden telahpun mencontohi teladan yang ditunjukkan nabi dan para sahabat.
Kepercayaan kepada golongan muda untuk menerajui parti, tidak perlu
dipertikaikan lagi. Kini terserahlah kepada kita untuk membuktikan peluang yang
ada takkan dipersia. Ibarat bola sudah di padang, sepak mula sudah dilakukan,
yang ditunggu adalah gol dan kemenangan. Semua anak muda adalah harimau muda,
semua anak muda adalah harimau negara!
Para pencinta perjuangan sekalian,
HEGEMONI MEDIA BARU
World Is Flat karya Thomas L. Friedman,
menceritakan, betapa globalisasi 3.0 telah menatijahkan hubungan manusia dengan
manusia di alam maya, semakin rapat dan datang dari pelbagai arah penjuru.
Pengaruh media baru datang bersama perubahan yang besar dalam iklim politik
dunia dan politik Negara. Dan hari ini, peperangan di dalam politik juga sudah
menjadikan media baru sebagai senjata.
Hentikan fahaman konservatif kita terhadap
fungsi media. Media bukan lagi medium sekadar beritahu apa kita dah buat, apa
yang kita dah kecapi, dan menjual kerja sendiri, malah ia juga bukan lagi
sekadar susunan dan himpunan fakta,kini ia tampil sebagai wadah kemukakan idea,
prinsip dan perlumbaan pandangan dan persepsi. Debat di alam maya hari ini
jelas membawa impak yang besar terhadap politik semasa. Kita harus bijak dan
matang mengendalikan media baru. Masyarakat juga bukan lagi bodoh yang akan
hanya menerima setiap retorik dan hiperbola cerita membabi buta. Kematangan dan
keberanian kita mendepani isu akan membangkitkan rasa hormat rakyat terhadap
prinsip kita dalam berjuang.
Arus perubahan yang melanda ragam fikir
politik di Barat banyak dipengaruhi oleh akses kepada media baru yang luas dan
tanpa batas. Sewaktu perdebatan terakhir di antara Parti Konservatif, Demokrat
dan Parti Buruh yang lalu, 154 352 tweet telah dicatatkan sebagai respon dari
perdebatan tersebut, dengankadar kelajuan 26.77 tweet setiap saat, dari 33 095
pemegang akaun yang berbeza. Itu baru isu yang dibicarakan dalam sebuah
perdebatan dan adik-adik puteri sekalian boleh bayangkan, bagaimana pesatnya
sesuatu isu diserakkan yang kini boleh diakses di tangan rakyat.
Politik dan media baru sudah menjadi begitu
sebati. Malah jika betul strategi media, kita boleh menuai hasil yang lebih
dari munasabah dalam sebuah perjuangan. Media baru mengubah landskap politik
mana-mana negara melalui 4 faktor berikut ;
Pertama, melalui berita yang boleh dipilih.
Akses maklumat yang semakin meluas membina ruang dan pilihan yang pelbagai
kepada rakyat untuk menilai dan menganalisis maklumat. Kedua, melalui
perkongsian rangkaian. Setiap maklumat dan isu akan terserak dengan mudah
melalui proses rangkaian. Ketiga melalui pandangan dan idea tanpa halangan.
Siapa sahaja boleh mengemukakan pandangan dan pendirian tanpa sebarang halangan
dan sekatan. Keempat, kapasiti media yang boleh membina rangkaian ke setiap
pengguna. Dalam masa yang singkat, maklumat mampu sampai dan tersebar pada
ruang lingkup yang tidak dijangkakan. Faktor-faktor inilah yang seharusnya
dipelajari dan dikuasai oleh kita sebagai senjata dalam perjuangan.
Saudari-saudari sekalian,
Sebab itu apabila ditanya bila agaknya
perang dunia ke tiga akan berlaku, maka ramai yang bersetuju bahawa perang
dunia ketiga sudah pun berlaku di alam siber. Kalau kita menganggap media
sebagai senjata yang membunuh kita, maka secara semangatnya kita memang akan
dibunuh. Jika kita anggap ia sebagai perisai mempertahankan perjuangan kita,
maka ia mampu menjadi perisai paling kebal, kalau kita menjadikan media sebagai
senjata menyerang, maka ia boleh saja membunuh setiap dari lawan kita. Mesej
moralnya disini, media adalah senjata baru politik. Kita tidak mahu media baru
ini hanya menjadi senjata dan begitu sinonim dengan pembangkang. Kita juga
harus sedar, media baru juga adalah kekuatan dan kita punya kepakaran dalam
mengurus tadbirnya.
Pergerakan Puteri harus memulakan usaha yang
bersungguh-sungguh ke arah mempromosikan budaya percambahan idea dan budaya
debat yang sihat. Tiada lagi budaya fitnah menfitnah, maki memaki, caci mencaci
dan memburuk-burukkan orang lain. Cukuplah budaya itu hanya diimani oleh
juak-juak sebelah sana yang kononnya berjuang untuk keadilan rakyat, berjuang
untuk Negara kebajikan dan Negara Islam.
Kalau mereka fikir dengan fitnah mereka
akan kelihatan hebat dan gah, dengan memburuk-burukkan kita, merekayasa cerita,
dan dengan memaki hamun maka mereka akan dilihat lebih berani dan gagah,
biarkan mereka. Kita percaya, ini bukan budaya kita dan takkan pernah sesekali
menjadi pegangan kita dalam berjuang.
Semoga fitnah dan tohmah mereka akan
menjadi sebatang anak sungai yang mengalir tenang untuk kita di syurga idaman.
Semoga cacian mereka akan menumbuhkan
pohon-pohon redup yang mendamaikan.
Dan semoga maki hamun yang kita terima,
akan menjadi jambatan emas yang akan menemukan semula kita di alam syurga penuh
bahagia. Dunia adalah pentas perjuangan sementara. Akhirat jualah yang menjadi
matlamat abadi yang kita ingini, yang kita cari.
Saudari-saudari perwakilan sekalian,
Di kesempatan ini, Pergerakan Puteri
merakamkan penghargaan terima kasih kepada semua blogger yang telah sama
berjuang menegakkan kebenaran dan hakikat. Saya sedar, ramai dalam kalangan
mereka adalah penulis sukarela, namun itu tidak pernah menjadi halangan untuk
mereka melunaskan tanggungjawab dalam berjuang. Ini barulah namanya pejuang
sejati. Untuk itu, Pergerakan Puteri mengalu-alukan semua blogger untuk duduk
semeja dan bermusyawarah bersama untuk kita mencari pendekatan paling berhikmah,
dalam memenuhi tuntutan politik ummah.
Puteri akan sentiasa di hadapan bersama
blogger-bloggeruntuk menentang aplikasi peraturan rimba di alam siber, demi membina
santun politik yang bermaruah di bumi Malaysia ini.
Jika barah ini dibiarkan, maka pada
akhirnya yang rugi, yang malu, yang hancur, yang binasa siapa? Waktu itu barulah
yang baling batu tangkas sembunyi tangan. Justeru, selari dengan akses maklumat
yang semakin meluas, Puteri komited mendahului usaha mempromosikan budaya
berfikir secara krtis dan analitis agar rakyat lebih matang dalam menilai isu.
Usaha Pergerakan Puteri memperkenalkan
Cyber Troopers adalah sebagai isyarat betapa kita sedia menggempur dan
berperang menggunakan senjata media baru. Kita punya pasukan yang akan
mengumpul, menganalisis dan menjawab setiap isu yang timbul dan mediumnya
adalah aplikasi media baru.
Malahan, Puteri akan terus memperkasakan
setiap ahlinya dengan asas pengetahuan dan kemahiran yang cukup, dalam
mengendali dan mengurus tadbir media baru supaya kita tidak tersasar dari
landasan perjuangan yang sebenarnya.
Demokrasi hanya betul-betul subur dan
matang apabila masyarakat diterapkan dengan cara fikir yang kritis dan analitis,
untuk melihat sesuatu isu secara lebih mendalam dan terperinci. Bukan terus
melompat kepada kesimpulan. Hentikan taklid membabi buta dan mari kita
bangunkan budaya rasional dalam berfikir dan mengutarakan pendapat dengan lunas
kematangan sewajarnya. Itulah jawapan kepada sebuah ketamadunan bermaruah.
Saudari- saudari sekalian,
BAJET 2012
Kita takkan pernah hairan atau terkejut
apabila setiap kali bajet dibentangkan, setiap kali itu jugalah pembangkang
akan muncul bersama helah mencari keburukan dan mencanang kelemahannya kepada
rakyat. Kita juga tidak pernah bimbang mahupun gentar, kerana kita sudah cukup
bersedia dan sedar, prasangka buruk sememangnya telah menjadi makanan
pembangkang dan sudah sebati menjadi darah daging membentuk jasad dan mencemari
hati mereka.
Apabila kerajaan menyusun pelan dan
mengimplementasi tindakan, semuanya akan kelihatan buruk pada mereka.Kalau
benar mereka berjuang untuk rakyat, apa juga yang kerajaan laksanakan untuk
rakyat mereka harus sokong. Kedai Rakyat 1Malaysia, Klinik 1Malaysia, Perumahan
Rakyat 1Malaysia ( PR1MA ), Menu 1Malaysia dan banyak lagi usaha kerajaan untuk
rakyat buat pembangkang tak senang duduk kerana mereka sedar kita buat apa yang
kita janjikan.
Tetapi, rakyat punya mata, rakyat tidak
buta, rakyat melihat betapa kerajaan sentiasa mendahulukan mereka dalam setiap
bajet dan pelan tindakan yang dibentangkan. Sebab itulah setiap kali
pembangkang memukul gendang irama sumbang, kerajaan hanya memerhati dengan
hemah dan akan bertindak dengan berhikmah. Kita tahu, rakyat bukan lemah.
Rakyat tidak mudah diperbodoh dan diperkotak-katikkan.
Pembangkang menyebar berita kononnya kita
tidak tahu mengurus negara, kononnya kita sengaja membiarkan defisit dan hutang
negara meningkat, kononnya negara akan muflis dan bankrap. Isu defisit dan
hutang dimomok-momokkan ke seluruh pelusuk negara. Angka-angka dan
figura-figura tertentu dicanang-canang bagai sesuatu yang dahsyat, bertujuan
menakutkan rakyat supaya mereka terkesan dan percaya dengan sebuah pembohongan.
Pembangkang ibarat orang tua nyanyuk yang
cuba menakutkan kanak-kanak dengan cerita hantu. Tetapi rakyat bukan
budak-budak bahkan mereka sudah cukup matang. Mereka takkan telan dan mereka
juga takkan hadam pembohongan golongan petualang.
Mari kita nilai beberapa fakta untuk
menjernihkan pemahaman, dan mencari islah dalam kerangka yang mudah. Pertama,
lazimnya negara-negara di dunia yang sedang bergerak ke arah negara maju, atau
sudah bergelar negara maju sukar untuk mengelak defisit dalam bajet yang
dibentangkan. Ini adalah kenyataan.
Kedua, defisit negara sebanyak 5.4 % tahun
ini adalah catatan penurunan defisit berbanding tahun sebelumnya, 2010 iaitu
sebanyak 5.6 %, yang juga menurun daripada tahun sebelumnya, 2009, iaitu sebanyak
7.4 %.
Faktanya, defisit negara semakin menurun
semenjak Dato’ Seri Najib mengambil alih pentadbiran negara, daripada 7.4 %
kepada 5.6 % kepada 5.4% dan pengurangan defisit ini kekal menjadi sasaran
kerajaan untuk masa-masa yang mendatang. Tahun 2012, sasaran kita adalah
pengurangan defisit sehingga 4.7 %.
Tahukah kita, sehingga September 2011, RM
12.44 billion telah dibelanjakan untuk kesihatan rakyat dari pembinaan hospital
sehinggalah pembelian ubat-ubatan, namun hasil pemerolehan kerajaan atau pulangan
semula hanyalah berjumlah RM 238.5 juta sahaja.Kerajaan telah menanggung dan
mensubsidikan sebanyak RM 12.20 billion atau pada kadar 98% dari pada keseluruhan
perbelanjaan Kementerian Kesihatan Malaysia. Tetapi tak mengapa, kerana harga
kesihatan dan nyawa rakyat tidak ternilai buat kerajaan.
Tidakkah kita terkejut dengan tindakan
Parti Islam Semalaysia (Pas) yang selama ini kononnya berjuang demi sebuah
Negara Islam, tiba-tiba pula berjuang untuk sebuah Negara berkebajikan? Mana
perginya rasa ikhlas dan zuhud dalam berjuang? Mana perginya pendirian? Mana
letaknya prinsip perjuangan? Adakah agama kini letaknya di bawah tapak kaki
kita? Hanya kerana menagih undi rakan-rakan bukan seagama, kita tunduk dan
akur. Sudahlah prinsip agama dibuang, mereka mendabik dada kononnya Negara
Berkebajikan ini, merekalah perintis dan pemula.
Barisan Nasional umumnya dan UMNO
khususnya, telah lama melaksanakan Negara berkebajikan. Kita tidak canang hanya
pada nama, biar nampak gah, biar nampak indah. Tapi yang kita jaga adalah pada
isi dan inti. Biar benar-benar dilaksana, biar setiap susuk tubuh rakyat dapat
merasa. Jika implementasinya benar, maka dengan sendiri namanya akan mekar.
Bajet 2012 sememangnya bajet untuk rakyat
dan semua bakal merasa tempiasnya. Daripada kanak-kanak darjah satu hinggalah
balu seorang tentera. Daripada pemandu teksi, hinggalah gelandangan di ibu
kota. Daripada golongan kanak-kanak, belia hinggalah golongan pesara. Daripada
baikpulih rumah nelayan hinggalah meningkatkan sumber makanan melalui
pertanian. Inilah contoh terbaik negara kebajikan. Kita sudah mula sejak
semalam, kita teruskan sekarang dan kita akan pastikan berterusan untuk
hari-hari yang mendatang.
Saudari-saudari sekalian,
PENEROKAAN IDEA BARU
Dalam membincangkan penerokaan idea baru,
saya tertarik untuk mengimbau kisah Albert Einstein yang menemui kuasa elektrik
atau Isaac Newton yang menjumpai tenaga graviti, mereka bermula sebagai
peneroka dan pencari idea-idea baru. Mereka menjadi perintis kepada proses
mencari sesuatu di luar pemikiran dan kebiasaan insan. Kita juga harus
mengenang sejarah dengan membuka kitab Sulalatus Salatin. Mengambil iktibar
keberanian dan kelantangan Hang Nadim yang tampil dengan idea baru dan bijak,
akhirnya menyelamatkan Singapura daripada serangan todak. Puteri perlu
mengambil iktibar daripada semua ini, bahawa Puteri perlu hadir dengan idea
baru, segar dan di luar kebiasaan.
Untuk itu, Puteri sentiasa mahu merakyatkan
budaya inovasi dan penerokaan idea baru dalam segenap bidang. Kerja yang
dianggap sesetengah orang sebagai kerja gila-gila ini telah banyak mengubah
dunia. Kita tidak akan pernah tahu, apa benar suatu idea itu gila atau
bermanfaat pada bangsa. 20 tahun dahulu mungkin gila jika saya katakan, saya
mahu mengambil sebiji botol kosong, mengisi air kosong di dalamnya dan
menjualnya. Tetapi hari ini, anda sendiri ada jawapannya. Inovasi dan kelahiran
idea baru juga tidak pernah kenal sempadan jawatan mahupun latar belakang
insan.
Tahukah saudari-saudari, pencipta Vakum
Hampagas adalah Hubert Booth yang merupakan seorang pengurus pengkebumian,
manusia yang mencipta kapal terbang mini pertama iaitu Wright bersaudara
hanyalah seorang pelukis potret, pencipta telegraf dan kod morse ialah Samuel
Morse yang merupakan seorang veterinar dan pencipta telefon automatik iaitu
Almind Strowger hanya seorang pembina jambatan. Mereka ini bukan manusia yang
hebat dalam bidang yang diinovasikan, tetapi merekalah pemula dan penggerak
kepada perubahan kerana mereka percaya apa yang mereka buat dan apa yang mereka
fikir.
Kata-kata dan pandangan orang hanya buat
mereka lebih berani dan berdiri dengan mandiri. Mereka mencari wadah, mereka
menerokai wasilah dan mereka bijak mengenal hikmah.
Saya percaya diluar sana, terdapat ribuan
anak muda yang kaya dengan idea dan sarat dengan kemahuan untuk mencuba sesuatu
yang luar biasa. Mereka hanya menunggu ruang dan peluang untuk ‘eureka’ inovasi
mereka diberi tempat yang sepatutnya. Selari dengan itu, kita tidak mahu lagi
menjadi bangsa pengguna, yang sekadar menggunakan inovasi dan teknologi bangsa
lain. Sebaliknya, kita mahu bangun sebagai bangsa pencipta yang menjadi
perintis dan peledak kepada penemuan-penemuan baru, untuk diinovasikan ke
peringkat antarabangsa. Menjunjung hasrat inilah, Pergerakan Puteri
mencadangkan;
Pertama, pembinaan Bank Idea, yang akan
menghimpunkan semua inovasi dan penemuan baru yang hebat oleh pencipta
Bumiputera yang selama ini kita pinggirkan.Mereka punya idea yang hebat, tetapi
seringkali idea itu diciplak dan kertas cadangannya disalin kulit pihak lain
kerana kita tidak cukup bersungguh-sungguh mempertahankan ketulenan inovasi
mereka. Bank Idea ini akan menjadi pemudah cara untuk memastikan inovasi ini
dipatenkan dengan segera.
Kedua, mewujudkan jaringan yang benar-benar
kuat, efisien dan bermanfaat di antara universiti dan industri. Setiap
penemuan, penyelidikan dan inovasi tidak hanya dimuziumkan di makmal sebaliknya
dikomersialkan untuk manfaat bersama.
Ketiga, Pergerakan Puteri akan menubuhkan
sebuah Biro Inovasi sebagai kerangka awal dalam usaha menggerakkan kelahiran
inovasi yang berpotensi terutama yang dibangunkan oleh wanita muda.Kita tidak
mahu apabila inovasi yang baik ini diiktiraf di luar negara, barulah kita sedar
kekuatan dan kebolehupayaan yang kita ada. Kita tidak mahu pencipta-pencipta
muda ini dibeli orang luar kerana kealpaan kita.
Keempat, sistem pendidikan yang
berorientasikan kepada peperiksaan perlu dikendurkan sifatnya supaya potensi
pelajar dalam lain-lain bidang dapat dibangunkan dengan lebih seimbang. Sifat
persepsi negatif yang seringkali menghukum pelajar yang gagal cemerlang dalam
peperiksaan perlu dibakul sampahkan, supaya mereka sedar tidak ada seorang pun
dari rakyat yang tidak bernilai pada sebuah negara.
Saudari-saudari sekalian,
Idea baru juga harus hadir dalam
perjuangan. Dalam konteks perjuangan kita, Puteri perlu tampil bersama idea
tranformasi, dan pendapat berani yang mungkin menongkah arus, namun akan
membawa pembaharuan yang berimpak besar kepada parti dan matlamat perjuangan.
Puteri bukan lagi penerus tradisi, dan budaya politik konservatif, sebaliknya
puteri mampu melahirkan dengan idea segar, berani dan kadangkala bersifat
agresif.
Saudari-saudari perwakilan sekalian,
REVOLUSI MINDA DAN RASA
Dalam politik hari ini, perubahan bukan
lagi bersifat pilihan, tetapi kewajipan untuk memastikan Puteri terus relevan
dan kekal diperlukan. Puteri akan bertindak menjadi wadah politik yang
menggerakkan perubahan sendiri. Malah, Puteri bukan sahaja akan menyokong
agenda perubahan Parti, bahkan akan menjadi agen perubahan yang bertindak
sebagai perintis dan pemula untuk sesebuah pembaharuan dilaksanakan. Puteri
akan tampil sebagai satu sayap yang berani meneroka jalan revolusi, istiqamah
merangsang inovasi dan agresif mencipta transformasi.
Saudari-saudari sidang perwakilan sekalian,
UMNO parti kita, parti ini telah membela
nasib nenek moyang kita, kalau kita bacul dan pengecut, kita yang sebenarnya
membunuh hak anak- anak dan cucu-cucu kita. Selepas ini, tidak akan ada lagi
nada-nada sumbang yang menuduh Puteri ibarat “Belum bergigi tapi sudah hendak
mengunyah”. Suara-suara ini adalah lambang ketidak yakinan manusia-manusia
sekeliling akan kemampuan Puteri, kononnya kita masih muda, lemah dan tidak
berupaya melakukan transformasi.
Kita akan buktikan, kita bukan sahaja sudah
bergigi, bahkan kita sudah bertaring tajam untuk membaham lawan seperti Harimau
Muda membaham sayap Garuda.Pastinya kita sudah mampu mengaum, menyusup rasa
ngeri dan gerun pihak lawan, membangkit rasa kagum pada kawan.
Atas roh itulah, Puteri dengan tegas
menentang budaya politik kotor pembangkang, atau siapa sahaja yang berjuang
atas wadah memecahbelahkan bangsa dan agama. Kita tak akan jual agama kita
untuk kedudukan politik kita, kita tak akan lacur maruah bangsa kita untuk
cita-cita peribadi kita, kita tidak akan bunuh darah daging kita untuk lunaskan
nafsu serakah pangkat dan darjat kita. Sampai matipun kita percaya “matlamat
tidak menghalalkan cara.”
Kita akan gunakan politik untuk kukuhkan
agama dan bukannya seperti mereka yang gunakan agama untuk kukuhkan politik. Menggunakan
politik untuk mengukuhkan agama adalah nikmat, dan menggunakan agama untuk
mengukuhkan politik adalah sesat.
Revolusi mental ini juga mahukan aras fikir
politik yang lebih rasional. Kita tak akan berjuang dengan cara menghina orang
lain, menggelar orang lain, mengutuk orang lain, memalukan orang lain, membuka
pekung orang lain kerana itu semua politik manusia yang tiada agama dan tidak
bertamadun. Puteri perlu sentiasa beringat dengan Firman Allah dalam ayat 11
Surah Al Hujurat iaitu ;
“Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah
sesuatu puak dari kaum lelaki mencemuh dan merendah-rendahkan puak yang lain,
kerana mungkin puak lelaki yang dicemuhkan itu lebih baik daripada mereka; dan
janganlah pula sesuatu puak dari kaum perempuan mencemuh dan merendah-rendahkan
puak perempuan yang lain, kerana harus puak yang dicemuhkan itu lebih baik
daripada mereka; dan janganlah setengah kamu menyatakan keaiban setengahnya
yang lain; dan janganlah pula kamu panggil-memanggil antara satu dengan yang lain
dengan gelaran yang buruk. Maka, amatlah buruknya sebutan nama fasik sesudah ia
beriman. Dan (ingatlah), sesiapa yang tidak bertaubat daripada perbuatan
fasiknya maka merekalah orang-orang yang zalim.”
Tafsiran dari ayat ini secara jelas dan terang
membawa maksud Islam sentiasa menentang dan tidak menghalalkan budaya menghina
dan mencaci sesama saudara. Kita diutus ke dunia untuk berbaik-baiksesama umat
dan bukan bongkak berlagak hebat. Kita percaya, Allah meletakkan darjat paling
atas manusia yang berjuang dengan hikmah kebijaksanaan dan wasilah keikhlasan.
Saudari-saudari sekalian,
Saya sedar, hari ini, kita belum cukup kuat
untuk membina rasa.Rasa kebersamaan, rasa kekitaan, rasa ukhwah yang harus
menyubur dalam jiwa rakyat terhadap setiap apa yangkita juangkan. Kerena itu
asas kepada revolusi rasa adalah wasilah keihklasan. Hanya melalui perjuangan
yang ikhlas rakyat akan lebih dekat dengan apa yang kita juangkan seperti mana
dekatnya awan dengan hujan, pasir dengan debu dan api dengan abu. Maka benarlah
apa yang pernah di katakan dalam sebuah falsafah Inggeris, “People will forget
what you said, people will forget what you did, but people will never forget
how you make them feel.”
Selari dengan kehendak perubahan ini,
asasnya adalah kita sedia untuk berubah dan terbuka untuk diubah. Sampai bila
kita hendak menyalahkan pihak lain yang memerli sinis, sedangkan di dalam kita
bersarang antagonis, sampai bila kita hendak menuduh orang lain menyebar
fitnah, sedangkan dalam kalangan kita memang ada penyebar barah, sampai bila
kita hendak melenting geram, sedangkan kita punya kawan yang menikam dalam
diam.
Puteri pasti bertindak mewujudkan budaya
politik berpengaruh secara berhemah dan berhikmah. Kerana itu, yang akan
menjadi prioriti adalah persoalan jasa dan bakti dan bukanlah populariti.
Semangat setiakawan akan ditafsir semula dan diterjemah ke dalam setiap amal
tindakan dan takkan berakhir sebagai satu impian tanpa perlaksanaan. Puteri
akan muncul sebagai sebuah organisasi yang tidak hanya menukar kulitnya untuk
kelihatan cantik, membikin teruja dan sedap dipandang mata. Apa yang lebih
penting, Puteri akan mengubah ramuan intinya agar menjadi lebih sempurna dan
merangsang rasa terkesima kerana kehebatan dalamannya.
Saudari-saudari sekalian,
PENTAS KELAHIRAN PEMIMPIN
Setiap daripada kita adalah khalifah yang
diutuskan Allah ke muka bumi untuk menerokai kehidupan dan membina keamanan.
Allah SWT telah berfirman di dalam Surah Al Baqarah Ayat 30
إِنِّيْجَاعِلٌفِيالْأَرْضِخَلِيْفَةًقَالُوْاأَتَجْعَلُفِيْهَامَنيُفْسِدُفِيْهَاوَيَسْفِكُالدِّمَاءَوَنَحْنُنُسَبِّحُبِحَمْدِكَوَ
“Sesungguhnya Aku hendak menjadikan seorang
khalifah di bumi".Mereka bertanya; "Adakah Engkau (Ya Tuhan kami)
hendak menjadikan di bumi itu orang yang akan membuat bencana dan menumpahkan darah
(berbunuh-bunuhan), padahal kami sentiasa bertasbih dengan memujiMu dan
mensucikanMu?" Tuhan berfirman: "Sesungguhnya Aku mengetahui akan apa
yang kamu tidak mengetahuinya"
Ayat ini secara jelas menyeru kita untuk
lebih memahami peranan manusia sebagai khalifah yang Allah utuskan di atas muka
bumi ini. Justeru, setiap daripada ahli Puteri perlu untuk sejujurnya memahami
perjuangan mereka menyeru kepada jalan keamanan dan kemakmuran dalam membela
agama dan bangsa, sudah pun bermula.
Kita mahu setiap daripada ahli Puteri
sedar, bukan hanya apabila menyandang pangkat dan kedudukan, sebaliknya apabila
kita telah menyertai Puteri, maka di tangan kita tergenggam amanah untuk
berkhidmat kepada rakyat dan membawa perubahan kepada umat. Setiap ahli Puteri
adalah pemimpin kepada masyarakat dan pemimpin yang punya wasilah keikhlasan
dan memimpin dengan hikmah kebijaksanaan.
Berkiblatkan prinsip inilah, Pergerakan
Puteri akan menjadi pentas untuk melahirkan pemimpin-pemimpin wanita muda yang
penuh kaliber, energetik, terampil dan karisma. Itu adalah matlamat sebenar
yang ingin digapai melebihi kecenderungan untuk melahirkan pengikut yang hanya
akan mengikut dengan membuta tuli.
Kita mahu mencetuskan fenomena di mana
Puteri akan menjadi wadah melahirkan pemimpin-pemimpin muda yang bakal membawa
perubahan kepada landskap politik negara. Kelahiran pemimpin hebat di dalam Puteri
mampu membuka perenggu minda masyarakat dan mengasak perubahan demi perubahan
sehinggakan sayap Wanita UMNO pun tidak sabar menunggu Puteri beranjak
menyertai mereka. Dan pada akhirnya , orang akan berkata, disinilah tempat
khalifah muda dilatih dan dilahirkan.
Pergerakan Puteri akan memastikan setiap
ahli dilatih untuk memugar idea segar dan lebih agresif dan tidak kekal
konservatif.Kita tidak mahu melahirkan pemimpin dan pengikut yang tidak mampu
maju ke depan dan melakukan pembaharuan. Kerana perjuangan yang hebat bukan
mencari pengikut tetapi mencari penentang untuk idea itu berdiri dengan lebih
berprinsip.
Pemimpin-pemimpin puteri tidak seharusnya
takut dengan penentang atau ahli yang berbeza pendapat, kerana perbezaan boleh
menjadikan kita semakin hebat dan kuat, serta dapat mengenal siapa diri kita
yang sebenar. Percayalah, meraikan perbezaan dengan mengiktirafnya adalah
azimat dalam mencari yang terbaik untuk membentuk prinsip dan pegangan
perjuangan. Cuma asasnya hanya satu, kematangan.
Justeru, menjunjung aspirasi melahirkan
pemimpin yang matang dalam berfikir dan petah dalam berhujah, maka Pergerakan
Puteri UMNO Malaysia mohon mencadangkan pendekatan-pendekatan berikut ;
Pertama, satu usaha yang bersungguh-sungguh
pada setiap peringkat kepimpinan parti perlu untuk diberi pendedahan tentang
kemahiran berfikir, berhujah dan berucap dengan matang melalui siri bengkel
latihan yang istiqamah.
Kedua, menyediakan lebih banyak pentas yang
mampu mengasah kemahiran berpidato dan berdebat dalam kalangan ahl,i baik dalam
bentuk pertandingan mahupun forum dan perbincangan umum dengan dikoordinasi
oleh pakar dalam bidang oratori.
Ketiga, mengumpulkan seramai mungkin ahli
yang berkebolehan untuk diketengahkan sebagai pemidato parti dan diberikan
latihan yang komprehensif dan intensif. Mereka akan dibekalkan dengan kronologi
jawapan bagi setiap isu dan cara menanganinya untuk di bawa ke akar umbi, dan
disampaikan agar rakyat jelas terhadap sesuatu isu yang timbul.
Kita sudah buktikan pada rakyat, yang kita
memang boleh bekerja dan berkhidmat. Justeru, kita juga perlu punya
kebolehupayaan untuk berucap dan sampaikan secara berkesan setiap aspirasi kita.
Puteri percaya, sudah sampai masanya kita betul-betul serius dalam melahirkan
pemimpin yang mempunyai kemahiran pengucapan awam yang bagus. Jika tidak, kita
akan terus kebelakang dan dibelasah dengan pelbagai isu tanpa ada yang berani
bangun mempertahankan prinsip dan pendirian. Akhirnya kita lesu dan dilihat lemah,
kecundang dalam berjuang kerana kita punya mulut tapi tidak punya suara.
Saudari dan saudari,
Menjadi jurucakap kerajaan adalah tugas,
namun menjadi jurucakap rakyat adalah amanah. Puteri perlu bertindak
memperjuangkan isu rakyat secara keseluruhan dan tidak terbatas isu dalam
kalangan wanita dan anak muda semata-mata.Setiap ahli Puteri perlu pergi
mencari dan bertindak sebagai penyiasat masalah, bukan menunggu masalah datang
diadu dan dilapor oleh rakyat.Puteri perlu menyuburkan rasa kebersamaan dan
kekitaan dalam kalangan rakyat kerana rakyat perlu rasa memiliki Puteri, dan
tidak memandang mereka sebagai kumpulan eksklusif dan elitis yang sukar
didekati. Kita perlu menjadi pejuang setiap isu rakyat yang bermula dengan isu
kampung, nasional hingggalah isu antarabangsa.
Menyedari akan kepentingan itulah, Puteri
turun ke bawah, mengenal pasti masalah dan membantu sehabis daya tanpa mengira
warna bendera. Bantuan Puteri tak pernah kenal siapapun mereka, kerana setiap
rakyat adalah tanggungjawab kita. Program kita merentas pelbagai golongan dan
kelompok sasaran. Dalam aspek pendidikan, kita laksanakan English On Wheel,
sebuah program yang memberi pendedahan penguasaan Bahasa Inggeris kepada kanak-kanak
melalui pendekatan yang lebih praktikal. Kita anjurkan Barber On Wheel dan program
Back To School, bagi mengurangkan beban pelajar kurang berkemampuan dalam
menyiapkan persiapan persekolahan. Kita juga anjurkan Gerak Iqra’ sebagai usaha
permulaan untuk membina asas agama yang kuat pada generasi masa hadapan.
Pelbagai lagi program yang telah Puteri laksanakan termasuklah kepada golongan
warga emas dan generasi muda dan tak sempat untuk saya senaraikan semuanya
disini. Semuanya membawa satu makna, kita gunakan wadah perjuangan ini dengan
wasilah keikhlasan demi memberi keselesaan kepada rakyat.
Saudari-saudari sekalian,
Kita bukan seperti Pakatan Rakyat, yang
seringkali gemar meraih royalti politik murahan. Mereka bilang pada rakyat,
ambillah RM 100 yang kerajaan beri untuk bantuan persekolahan pada setiap
pelajar, tetapi apabila pilihanraya, pangkah mereka. Biarkan mereka terus
dengan kebodohan mereka dan saya percaya rakyat tidak sebodoh mereka. Rakyat
sedar kerajaan buat semua ini kerana satu sebab, kerajaan sentiasa mendahulukan
rakyat.
Puteri akan menjadi contoh teladan, contoh
pemimpin yang diidamkan. Puteri akan menginjak jalan,dari timur ke barat, utara
ke selatan, Berpanas berembun mahupun berhujan, Biar kulit dibakar panasnya
bahang mentari, biar jasad kesejukan dihurung hujan tak berhenti. Demi rakyat,
Puteri akan turun ke segenap penjuru, dari Johor hingga ke Kedah, Dari Selangor
hingga ke Sabah. Semua negeri akan kita jelajah, menziarahi rakyat demi menabur
khidmat.
Saudari-saudari perwakilan sekalian,
Pemahaman perjuangan hanya kerana warisan
perlu dikikis dan dihapuskan.Kita harus mengubah persepsi, bahawa kita berjuang
semata-mata kerana perjuangan ini diwariskan oleh nenek moyang. Kerana jika itu
yang menjadi pegangan, kita sebenarnya menanam jauh di lubuk hati rasa terbeban
dengan perjuangan tanpa keikhlasan. Kita tidak berjuang hanya kerana Dato Onn
dahulu berjuang, hanya kerana Tunku Abdul Rahman dulu berjuang, hanya kerana
Tun Abdul Razak dulu berjuang. Atau kita tidak berjuang hanya kerana siapa
sahaja sebelum kita pernah berjuang. Kita tidak berjuang semata-mata kerana
cerita sejarah tentang siapa yang memulakan perjuangan merdeka, tetapi kita
berjuang kerana tanggungjawab untuk mengisi dan mempertahankannya.
Benar, perjuangan parti ini adalah
perjuangan nenek moyang. Benar, perjuangan parti ini adalah perjuangan yang
diwariskan. Namun adalah jauh lebih benar, perjuangan ini perlu lahir kerana
kesedaran, lahir kerana rasa kasih dan sayang dan lahir kerana kecintaan yang
sangat dalam.
Biar kita berhujankan batu dan bukan emas
permata, biar peluru selaksa mendendam liar ke rusuk jiwa, Bangunlah, selagi
kita sedar dimana kita berada, biar siapapun kita. Sayap Puteri di Kuantan atau
Sandakan, sayap Puteri di Jelutong atau Lenggong, sayap Puteri di Alor Setar
atau Kuala Kangsar, sayap Puteri di Dungun atau Jerlun, sayap Puteri di Arau
atau di Keningau. Di manapun letaknya
sayap-sayap Puteri ini.
Di manapun letaknya saya, anda dan kita
semua. Ingatlah, kita berpijak di atas bumi yang sama, kita berbumbung di bawah
langit yang serupa. Kita berpayung di bawah Parti pusaka, yang kita cinta
sampai bila-bila.
Adik-adik Puteri yang saya kasihi sekalian,
Kita tidak akan gerun walau diancam segenap
penjuru. Semalam, kita pernah sakit dilontar batu. Hari ini kita yang ramai
menjadi kuat, menjadi satu. Kerana itulah hari esok, kita tak pernah takut
walau berdepan hujan peluru. Puteri tidak lut dengan sebarang ancaman. Puteri
sudah kebal daripada sebarang serangan. Puteri sudah diasap dengan semangat dan
diseru dengan azimat. Tuhan bersama kita, walau siapapun musuh di depan, walau
apapun halangan yang datang, kita takkan bacul dan lari dari medan perjuangan!
Srikandi pejuang bangsa sekalian,
PERANG PILIHANRAYA UMUM 13
Detik ini, kaki kita sudah berpijak di atas
tanah sempadan, menunggu masa melangkah ke medan perang yang pastinya menggila.
Saat ini, degup jantung sedang berdetap kencang, menunggu semboyan dibunyikan.
Ingat, panji sudahpun berkibar, sudah sempurna bilangan panah, busur dan
pedang, perisai juga sudah di badan. Bersiap siagalah kuda dan semua bala
tentera kerana bila-bila masa sahaja, gendang perang akan dipalu, teriak jihad
akan berseru, tentera berkuda dengan gagah meluncur laju. Pastikan tanah air
ini kekal di tangan para pejuang. Pastikan tanah tumpah darah ini tidak jatuh
ke tangan petualang!
Siapkan gerombolan tentera kita. Cukupkan
pedang, busur anak panah dan kuda. Kubu dan panji juga jangan sesekali kita
lupa. Pedang kita adalah lidah yang diasah hujah. Tajamkanlah, agar setiap
fitnah dan tohmah akan kita patahkan sehabisnya. Busur dan anak panah adalah
mata dan telinga kita. Panahan yang merentas medan penuh pancaroba. Pastikan
kita melihat saujana dan mendengar teliti setiap denyut nadi dan kehendak
marhaen yang kita sayangi.
Menjuarai hati rakyat bererti selangkah
memenangi perang ini. Baju perisai kita adalah akhlak dan peribadi. Jadilah
pahlawan yang menang bersahsiah atau sekurang-kurangnya syahid bermaruah.
Jangan gadaikan akhlak semata-mata mengejar nikmat dunia sementara. Ingatlah,
perteguh dan kukuhkan kubu kita iaitu minda. Jangan biar pemikiran dan prinsip
diceroboh. Sekali ditembus fitnah dan ada yang haluannya berubah, maka kubu
akan goyah, seluruh pasukan akan rebah.
Paling penting, pertahankan panji kita.
Panji adalah jiwa kita. Jiwa kita adalah satu-satunya UMNO, tiada dua atau
tiga. Jangan sesekali panji dibiar gugur ke bumi walau berpisah pedang dari
tangan, walau bercerai nyawa dari badan. Kita tak rela panji ini dibakar atau
dikoyak, dihina atau dipijak. Panji ini adalah semangat kita, panji ini adalah
nyawa kita, panji ini adalah maruah kita. Kita akan julang panji ini sampai
bila-bila!
Mari kita Imbas kembali lakaran sirah
sewaktu Perang Uhud berlaku. Ketika pasukan Islam hampir menang peperangan,
ahli pemanah meninggalkan bukit Uhud kerana rakus mengejar harta rampasan
perang. Arahan Nabi dilanggar sewenang-wenangnya hanya kerana ketaksuban
mengejar harta dunia. Pasukan pemanah yang mulanya bersatu, meninggalkan hanya
9 pemanah di atas bukit itu.
Akhirnya, musuh mengambil kesempatan atas
kealpaan dan kelalaian tentera Islam. Hati sedih dan sayu, baginda Nabi
sendiripun cedera parah bermandi darah dan 9 pemanah lagi syahid terkorban.
Tentera Islam akhirnya kalah dalam perang yang sepatutnya kita menang. Ini
kisah yang terlukis di atas lantai sirah yang sepatutnya menjadi cermin melihat
dan menilai diri.
Sirah ini mengajar kita untuk sentiasa
mematuhi arahan dan kehendak ketua dan dalam konteks kita, Y.A.B PM adalah jeneral
perang yang mesti ditaati setiap bait arahannya. Malah janganlah rakus mengejar
kemewahan dan kesenangan dunia hingga mengabaikan perjuangan sebenar untuk
kemenangan satu pasukan. Ingat, kalaupun kita mewah di dunia ini, belum tentu
kita akan merasa nikmat yang sama di negeri abadi.
Pejuang-pejuang ikhlas adalah mereka yang
kita cari yang digemari rakyat dan disenangi rakan. Ingat, jangan pernah
tinggalkan rakan sepasukan biar apapun yang terjadi. Kita mesti kekal bersatu,
walau jalan yang bakal kita tempuh pastinya penuh liku. Hanya yang cekal dan
setia, akan kekal berjuang demi agama, bangsa dan negara. Siapapun yang akan
dipilih oleh jeneral perang sebagai ketua angkatan perang, dalam konteks kita
sebagai calon pilihan raya. Sokong dan berkerjalah untuk kemenangan bersama.
Peperangan pilihanraya ke 13 boleh berlaku
bila-bila masa sahaja daripada sekarang. Pilihanraya ini bakal menjadi
pilihanraya paling sengit dan mencabar dalam sejarah Malaysia. Ini bukan lagi
sekadar pilihanraya. Tetapi inilah peperangan yang akan menentukan jatuh bangun
sebuah perjuangan. Inilah peperangan yang akan menentukan masa depan sebuah
kerajaan, menentukan kelestarian tamadun yang selama ini kita bina dan
agungkan.
Kalah pilihanraya ini bukan sekadar membawa
makud kalahnya parti kita. Tetapi kekalahan iniakan menjadi asbab matinya
seluruh perjuangan, dan kita pasti akan dikuburkan di pusara yang tidak akan
lagi dikenang. Jangan sampai hari esok, anak cucu kita yang menjadi mangsa
kerakusan musuh-musuh yang gilakan kuasa, datang ke kuburan kita, kencing dan
menghamburkan maki hamun kerana kegagalan kita mempertahankan hak mereka.
Peperangan ini, adalah peperangan seluruh
jentera parti. Peperangan untuk setiap sayap dan setiap ahli. Jadilah seperti
Khalid Al-Walid, kerana sifat iri dan dengki rakan, beliau menjadi mangsa yang
dilucutkan jawatan sebagai ketua angkatan perang. Tetapi kerana kecintaan
kepada perjuangan dan taatnya kepada ketua, beliau tidak pernah lari dari medan
perang dan tetap sama-sama berjuang.
Kalaupun kita tidak dilantik sebagai calon,
jangan jadikan alasan untuk sabotaj atau jatuhkan rakan sepasukan, kerana
kekalahan rakan sepasukan adalah kekalahan parti secara keseluruhan. Contohilah
seperti Saidina Hamzah, yang mempertahankan Rasulullah hingga ketitisan darah
yang terakhir. Inilah contoh individu yang sanggup mempertahankan ketua dan
wadah perjuangan kerana kecintaan yang mendalam. Beliau sanggup mati demi
mempertahankan kepercayaan yang ada. Adakah masih wujud insan sebegini dalam
kalangan kita?
Pesanan untuk semua terutamanya Puteri,
menjelang pilihanraya, kita menantikan kelahiran lebih ramai pejuang tegar
seperti Isteri Yasir, Sumayyah, individu yang berani menyatakan perkara hak dan
sanggup mempertaruhkan nyawa kerana mempertahankan kesucian perjuangan.
Kita juga ingin melihat munculnya lebih
ramai Rabiatul Adawiyah yang menolak tawaran harta dan kemewahan dunia kerana
percaya habuan besar menanti di syurga.
Puteri juga perlu jadi seperti Mashitah,
penyisir rambut anak Firaun, yang tidak takut dengan sebarang ancaman kerana
kecintaan kepada Tuhan. Maka jangan kita takut kepada sebarang ancaman,
cintailah perjuangan kita ini dan berniatlah ikhlas kerana Tuhan.
Biarkan saja darah suci ini menyiram bumi
kerana kita tahu ini peperangan mulia pejuang-pejuang yang berani. Mari kita
gempur kita perangi kita tempur kita serangi. Perang ini perang kita, perang
ini kitalah pemenangnya!
Sidang perwakilan sekalian,
Kita adalah jaguh rakyat, pejuang rakyat.
Sakit rakyat sakit kita. Demam rakyat demam kita, risau rakyat juga risau kita.
Tidur Puteri dan rakyat sebantal, kita berkongsi mimpi indah dan ngeri bersama.
Untuk setiap lena malam yang diragut dek titis-titis hujan, kerana tiris atap,
atau kerana lubang-lubang kecil pada papan-papan dinding kayu. Untuk setiap
telapak tangan yang semakin kasar atau sendi-sendi badan yang kian longgar,
kerana rutin sukar mencari sesuap rezeki.
Semua perit, jerih rakyat marhaen ini, biar
Puteri rasa, biar Puteri perjuangkan sehabis daya. Puteri hendaklah menjadi tulang
belakang untuk transformasi politik yang dicadangkan Y.A.B Perdana Menteri,
kerana, kita melihat politik bukan sahaja sebagai wadah untuk memperkasakan
rakyat, tetapi juga untuk pemimpin memperbaiki diri. Puteri datang daripada
rakyat, dan kepada merekalah Puteri akan kembali menabur khidmat kerana kita
percaya, perjuangan kita adalah tentang wadah, wasilah dan hikmah.
Cubalah tanya dan renunglah ke dalam diri.
Saat Islam diperlakukan seperti kambing hitam, kuda tunggangan dan pertaruhan
politik murahan. Akhirnya yang dihina, yang dicerca, yang ditertawa itu apa?
Agama kita.
Ketika hakbangsa kita, ketuanan kita,
dijual dan dijadikan modal politik celaka mereka.Akhirnya yang dipijak, yang
disepak, yang diterajang itu siapa?Bangsa kita.
Saat Sultan dihina penderhaka, perlembagaan
dicabut pasaknya, pengkhianat bermaharajalela menjaja cerita.Akhirnya dengan
perlahan-lahan yang dibunuh, dikapan, dan ditalkinkan itu apa?Negara kita.
Maka bangunlah srikandi–srikandi pejuang
bangsa, bangkitlah dengan semangat waja dan penuh setia. Kalau panji perjuangan
kita dikoyak dan panji kita dibuang, siapa yang akan kutip, yang akan bangun
dan kibarkan panji kita semula? Orang itu adalah PUTERI.
Kalau satu hari nanti UMNO dipijak, UMNO
dihina dan UMNO dikutuk, siapa yang akan bangun mempertahankan UMNO? PUTERI
Kalau bangsa kita dicabar, yang akan berada
di barisan depan, berani bersuara, berani bertindak dan berani tegakkan
kebenaran dan orang bertanya, itu siapa? PUTERI.
Jika ada yang berani menghina hak Melayu,
mempertikai hak Melayu, mempermainkan Islam, mempersenda undang-undang dan
mencabul perlembagaan, yang akhirnya bangun dan tegar menentang itu siapa?
PUTERI.
Dan seandainya ditakdirkan yang tinggal hanya
seorang saja untuk pertahankan Islam, pertahankan UMNO, dan pertahankan
Malaysia daripada menjadi hamba musuh dan petualang, danitu siapa? PUTERI.
Maka benarlah apa yang terpantul pada
cermin sejarah dari kisah 3 Puteri yang saya angkat menjadi mukaddimah.
Hang Li Po, sebagai lambang wadah penyatuan
bangsa.
Balqis teladan wasilah keikhlasan.
Retno Dumilah petanda kebijaksanaan adalah
satu hikmah.
Akhirnya, ingatlah! Semalam adalah
perjuangan nenek moyang kita, hari ini perjuangan kita dan esok adalah
perjuangan cucu cicit kita. Dengan wadah perjuangan yang kita ada, suburkan
wasilah keikhlasan dan terokailah hikmah kebijaksanaan. Hanya Allah jua yang
mengetahui segalanya.
Wabillahiltaufiq walhidayah
wassalamualaikum warahmatullahiwabarakatuh
Sekian, terima kasih.
Islam Agamaku! Melayu Bangsaku!
Dirgahayu Malaysia Tanahairku!
Keris 7 Lok kata: Ucapan Naib Ketua Puteri akan menyusul kemudian..
0 ulasan:
Post a Comment