Malah, Muhyiddin pernah menyifatkan cukai itu penting dalam menangani masalah defisit negara, selain golongan berpendapatan rendah dan sederhana tidak menghadapi kesan akibat pelaksanaannya.
Ironinya, apabila tidak lagi berada dalam kerajaan, Presiden PPBM itu mengetuai pula perhimpunan menolak GST - satu lagi pendekatan populis Pakatan Harapan tanpa mengira kesannya kepada ekonomi negara.
Mengulas mengenai perkara ini, bekas Setiausaha Kerja PPBM, Kamarul Azman Habibur Rahman berkata, tindak-tanduk Muhyiddin itu memperlihatkan bekas Timbalan Perdana Menteri itu seorang pemimpin yang sukar dipercayai kerana sanggup berubah prinsip.
Malah katanya, dalam mesyuarat yang dijalankan semasa masih berada dalam PPBM, Muhyiddin dan Tun Dr. Mahathir Mohamad sering menasihati ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) parti itu supaya jangan sesekali menggunakan GST sebagai modal politik kerana mereka mengakui sistem tersebut adalah yang terbaik kepada negara.
“Jadi, apabila dah duduk di luar (PPBM) ketika ini, mereka membuat pusingan U pula berkenaan dengan isu ini walhal Muhyiddin pernah mengingatkan kami supaya jangan membangkitkan tentang GST.
“Inilah dakyah pilihan raya sebenar Muhyiddin. Kita tak boleh ada pemimpin seperti ini sedangkan beliau sendiri yang pernah mengingatkan ahli PPBM supaya tidak menyebut pasal GST,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.
Muhyiddin dilaporkan mengetuai Kempen Rakyat Tolak GST di ibu negara bermula pukul 4 petang hari ini sempena tiga tahun pelaksanaan cukai tersebut.
Mengulas lanjut, Kamarul Azman juga yakin PPBM akan meneruskan agenda pembohongan mengenai GST sepanjang musim pilihan raya ini disebabkan mengikuti kehendak DAP walaupun terpaksa menelan kepahitan.
“Saya pasti apa yang berlaku sekiranya mereka dapat menguasai negara adalah hanya pada nama cukai itu sahaja kerana mereka sendiri mengakui sistem itu sudah betul.
“Mungkin mereka akan mengubah GST kepada cukai perkhidmatan kebangsaan (NST) atau apa sahaja nama lain, sedangkan sistem itu sebenarnya sama sahaja,” ujar beliau. - Utusan
0 ulasan:
Post a Comment