13/04/2018

Hanya Orang Bertamadun Akan Faham Artikel Ini #KN



Mana-mana negara di dalam dunia ini termasuk Malaysia bergerak ke arah mewujudkan Civil Society atau Masyarakat Sivil yang mana sebenarnya telah mula disebut oleh Aristotle sebagai koinōnía politikḗ ataupun komuniti yang berkongsi nilai dan etika yang sama.

Konsep yang sama turut dibincangkan oleh Cicero, penulis Roman termasuk William of Moerbeke dan Leonardo Bruni yang mana ia merujuk kepada konsep asal yang membentuk idea kepada pengasasan republik.

Civil Society ini diperbincangkan dan diperdebatkan oleh setiap generasi selepas itu dan akhirnya ditakrifkan semula oleh Himmat Bhandari, seorang aktivis sosial di dalam 
satu syarahan sebagai "Civilization need civilized societies, and civil societies need civilized citizens" bermaksud "Ketamadunan memerlukan masyarakat yang sivil dan masyarakat sivil memerlukan rakyat yang bertamadun."

Arwah Dato' Fuad Hassan juga memberi tafsir bahawa Masyarakat Sivil adalah masyarakat yang bertanggung jawab serta tidak melakukan sebarang salah laku jenayah, moral mahupun etika walaupun di dalam ketiadaan peraturan ataupun undang-undang.

Bermaksud dalam setiap masa dan ketika, sebuah Masyarakat Sivil tidak akan melakukan perkara yang tidak betul seperti membuang sampah di jalanan mahupun mencuri atau lain-lain perbuatan jenayah walaupun tiada penguatkuasaan undang-undang.

Malangnya, terdapat segelintir rakyat di dalam negara kita yang bukan sahaja tidak bergerak ke arah pembentukan Masyarakat Sivil tetapi bergerak ke belakang.

Antara sebab dan punca kepada perkara ini tidak lain dan tidak bukan adalah pengaruh politik kebencian dan politik persepsi songsang yang mana pada hemat saya dimulakan dan diperhebatkan oleh pihak pembangkang dengan tujuan mendapatkan sokongan rakyat untuk menolak kerajaan yang sedia ada.

Contoh yang termudah juga adalah seperti mana sekiranya terdapat seorang individu yang meletakkan sejumlah duit di luar rumahnya dengan papan tanda "Ambil sebahagian duit ini untuk membeli makanan untuk hari ini sekiranya anda tiada wang" tanpa sebarang pengawasan.

Adakah mereka yang benar-benar tiada duit akan mengambilnya dengan jumlah yang memadai untuk mengisi perutnya untuk hari itu sahaja ataupun mereka yang mampu untuk membeli makanan juga turut mengambil duit tersebut?

Sekiranya terdapat mereka yang mampu turut mengambil duit tersebut atau yang tidak mampu mengambil duit dengan berlebihan maka negara kita belum lagi bersedia menjadi sebuah Masyarakat Sivil.

Dalam erti kata negara kita, inisiatif penambah baikkan terhadap sistem percukaian negara daripada sistem SST kepada GST menjadi tentangan utama oleh rakyat akibat hasutan jahat oleh pembangkang.

Sebuah negara yang di dalam misi dan visi untuk menyertai angkatan negara maju dan akhirnya membentuk Masyarakat Sivil telah direncatkan proses ini oleh pihak pembangkang dengan menghasut rakyat untuk membenci kerajaan atas polisi sistem percukaian GST yang dilaksanakan.

Masyarakat Sivil harus sedar akan kepentingan cukai ini untuk membentuk dan membina sesebuah negara yang akhirnya akan memberi manfaat kembali kepada mereka.

Hospital, sekolah, gaji penjawat awam, malah keamanan malah kemudahan kepada rakyatuntuk keluar setiap pagi mencari rezeki merupakan hasil yang diperoleh daripada sistem percukaian tersebut.

Hasil GST yang diperoleh juga disalurkan kembali kepada golongan yang telah disasarkan melalui inisiatif BR1M supaya pendapatan mereka ini dapat dipertingkatkan dan usaha ini tidak patut dilekehkan oleh mana-mana pihak.

Dengan peningkatan pendapatan untuk menampung keperluan harian pelbagai perkara yang tidak langsung dapat diperoleh yang mana antaranya kadar jenayah akibat desakan hidup seperti mencuri dapat dikurangkan.

Rakyat yang memperoleh BR1M juga dapat menggunakan duit tersebut yang akhirnya akan menggerakkan kitaran ekonomi di negara kita.

BR1M merupakan satu sistem subsidi bersasar yang jauh lebih efisien daripada sistem subsidi pukal yang dilaksanakan sebelum ini.

Subsidi pukal bermaksud sesiapa sahaja walau apapun kategori pendapatan dapat menikmatinya yang mana akhirnya kategori pendapatan tinggi menerima habuan yang terbesar.

Subsidi bersasar memastikan bahawa kategori pendapatan yang sepatutnya sahaja menerima nikmat tersebut.

Ini amat bertepatan dengan konsep Adil di dalam Islam yang merujuk kepada satu perbuatan yang meletakkan sesuatu itu kena pada tempatnya.

Pada akhirnya, rakyat harus sedar bahawa kutipan cukai GST itu adalah satu kewajipan yang perlu dilaksanakan sebagai tanggung jawab seorang rakyat.

Isu 1MDB juga adalah contoh bagaimana progres membina Masyarakat Sivil ini turut direncatkan.

Rakyat yang telah terpesong pemikirannya akibat hasutan pembangkang akhirnya menuduh YAB Perdana Menteri sebagai pencuri, perompak, penyamun serta pelbagai lagi tuduhan seumpama dengannya.

Di sini sahaja, rakyat telah menghukum seseorang itu menjangkaui "The rule of law" iaitu seseorang itu TIDAK didapati bersalah sebelum dibuktikan bersalah.

1MDB merupakan satu syarikat di dalam negara kita ini yang memegang rekod syarikat yang paling banyak disiasat sehingga mengganggu dan memperlahankan operasi syarikat.

Pihak pembangkang terutamanya Tun Dr. Mahathir gagal mengemukakan sebarang bukti kesalahan Dato' Sri Najib dan tidakpun pernah sebagai seorang individu membawa kes ini ke mahkamah.

Telah berulang kali dinyatakan dan disiasat serta dibuktikan bahawa Dato' Sri Najib tidak melakukan sebarang kesalahan jenayah di dalam isu 1MDB.

Tetapi tuduhan tersebut terus mekar di jari dan mulut segelintir rakyat Malaysia tanpa benar-benar memahami apa sebenarnya yang berlaku.

Malah, seorang pemimpin politik dari parti DAP yang turut menjadi Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) telah berulang kali menyatakan bahawa tiada sebarang bukti yang menunjukkan Dato' Sri Najib bersalah.

Seperti biasa, apabila kenyataan tidak menyebelahi mereka yang terpesong ini, maka pelbagai tuduhan dilemparkan malah kenyataan tersebut juga tidak diambil peduli.

Rakyat yang terpesong ini terus-menerus melemparkan tuduhan demi tuduhan terhadap Dato' Sri Najib dan menggelarkan beliau dengan pelbagai gelaran buruk.

Sebagai Masyarakat Sivil, sepatutnya kita jelas bahawa sekiranya mahkamah tidak mensabitkan sebarang kesalahan terhadap seseorang itu, maka tidak perlu kita mendahului mahkamah dengan pelbagai tuduhan versi kita sendiri.

Kesimpulannya, pembangkang di negara kita ini telah ketandusan isu dan menggunakan apa sahaja yang populis untuk mempengaruhi rakyat untuk menyokong mereka.

Saya terasa sedih kerana pendekatan politik di negara kita ini adalah berasaskan kepada kebencian dan sikap berlumba-lumba ingin menunjuk kepada rakyat siapa yang lebih buruk yang mana kedua-dua ini dilakukan oleh pihak pembangkang.

Mengapa pembangkang tidak berlumba-lumba dengan pihak kerajaan untuk menunjukkan siapa yang mampu menawarkan perkhidmatan yang lebih baik kepada rakyat?

Sebagai contoh, ada dua orang peniaga menjual penapis air; peniaga pertama berkempen dengan menerangkan kebaikan dan manfaat yang diperoleh kepada pengguna apabila menggunakan penapis airnya manakala peniaga kedua berkempen bukan setakat menceritakan keburukan penapis air peniaga pertama malah keburukan peribadi peniaga itu juga turut disebut, sedangkan penapis air yang dijual oleh peniaga kedua itu langsung tidak mempunyai sebarang manfaat kepada pengguna.

Di dalam kes ini, sudah tentu anda yang memerlukan penapis air akan memilih penapis air daripada peniaga yang pertama.

Begitu juga dengan politik di negara kita, pilih parti politik yang menceritakan kebaikkan apabila memilih mereka dan janganlah memilih parti politik yang hanya menceritakan keburukan parti lawan sedangkan mereka sendiri tidak dapat menawarkan sesuatu yang lebih baik dan realistik.

Janganlah menjanjikan untuk menghapuskan cukai GST yang mana perkara tersebut adalah amat baik untuk rakyat dan negara.

Janganlah memburuk-burukkan Perdana Menteri Malaysia yang secara jelas telah terbukti tidak bersalah oleh semua agensi penyiasat di negara kita.

Kepada parti pembangkang, tawarkanlah kepada rakyat Malaysia sesuatu yang benar-benar baik untuk rakyat dan negara dan bukannya menawarkan sesuatu yang sangat tidak logik, sangat populis, yang akhirnya merugikan rakyat jua.

Berkempenlah secara positif dan dengan penuh kasih sayang kepada rakyat dan juga negara.

Sekiranya tidak mampu menawarkan sesuatu yang lebih baik ataupun melihat Kerajaan pada hari ini melakukan yang terbaik untuk rakyat dan negara, maka ambillah pendirian untuk menjadi pembangkang yang bertanggung jawab; iaitu memastikan bahawa Kerajaan benar-benar menyampaikan perkhidmatan yang terbaik untuk rakyat dan negara.

Dengan cara itu, maka tidak mustahil Malaysia boleh menjadi negara pertama yang mempunyai Masyarakat Sivil.

InsyaAllah.

#SayaPilihBarisanNasional
#GunakanHakUntukBerfikirSebelumHakUntukBersuara
#MalaysiaMemilih

Sumber : Raziz Rashid

0 ulasan:

Post a Comment

Nak Pesan Awal-Awal

Keris 7 Lok kata :
korang sume nak komen apapon..aku tak kisah..tapi kalau komen tu boleh didakwa di mahkamah..aku akan bekerjasama dengan pihak berkuasa dan tidak akan bertanggung jawab ke atas komen yang korang buat..anda tulis..anda dapat...

Arkib Keris 7 Lok

busuk