07/10/2017

Penjawat Awam Komited - Malaysia Pelaku Global Part 1



Saya bersama ramai penjawat awam, dari Perlis hingga ke Sabah, menghadiri Majlis Amanat Perdana Perkhidmatan Awam bagi Kali Ke-15, satu perhimpunan terbesar dan terpenting kepada Perkhidmatan Awam.

Dalam konteks negara ini, Malaysia semakin diakui sebagai antara Pelaku Global utama dunia, apabila Laporan Daya Saing Global 2017/2018 oleh Forum Ekonomi Dunia, meletakkan negara ini berada pada tempat ke-23 dari 137 buah negara, bagi ekonomi yang paling berdaya saing di dunia.

Malah, bukan sekadar itu sahaja, dalam laporan yang sama, Malaysia berada pada kedudukan ke-15 dalam senarai perbelanjaan Kerajaan yang paling efisien, mengatasi negara-negara Eropah dan Asia lain seperti Finland, China, Sweden dan Jepun.

Kesemua ini tidak akan berjaya dicapai, tanpa usaha gigih Kerajaan, yang semestinya ditonggak oleh para penjawat awam yang begitu komited menjalankan tugas dan tanggungjawab mereka mendokong sekaligus menyokong Kerajaan dalam membangunkan negara.

Perkhidmatan Awam menjadi Jentera Perkhidmatan Utama untuk penyampaian dan pelaksanaan segala dasar serta inisiatif ‘The Political Master Of The Day’ atau kuasa politik yang memerintah secara sah.

Justeru, kita perlu menggarap baik-baik, terdapat persepsi atau kefahaman bahawa adanya pemisahan yakni, political master of the day tidak ada kena mengena dengan Perkhidmatan Awam, as some would say, the Political Master may come and go, but the civil service remain the same.

Sebaliknya, Kerajaan yang terbentuk daripada Jemaah Anggota Pentadbiran, sebenarnya satu hubungan hierarki dengan Perkhidmatan Awam, di mana, Kerajaan adalah penentu dasar pentadbiran negara dan dasar tersebut hendaklah dilaksanakan oleh Perkhidmatan Awam dengan berkesan untuk kebaikan negara seperti yang diperintahkan.

Antara pihak anggota pentadbiran dan perkhidmatan awam adalah ibarat ‘aur dengan tebing’. Lantaran itulah, pepatah juga menyebut, jika ‘dicubit peha kanan, peha kiri pun terasa’. Ertinya, apabila pihak lawan atau pembangkang, memperlekeh, mentohmah atau memfitnah Penjawat Awam, maknanya cacian atau kata-kata nista itu, seumpama menghina secara langsung pihak Kerajaan secara keseluruhannya dan begitu jugalah sebaliknya.

Oleh sebab itulah, kita sama-sama berasa amat tersinggung dan marah, apabila terdapat sesetengah pihak khususnya dari pembangkang, yang sesuka hati menuduh kononnya perkhidmatan awam negara ini sebagai “bloated civil service” yakni sudah terlebih bilangannya, berbanding negara-negara lain di dunia dan jika mereka berkuasa, dengan angkuhnya, mereka mahu mengurangkan separuh daripada jumlah penjawat awam.

Sebenarnya, adalah tidak adil untuk membandingkan jumlah penjawat awam di negara ini dengan negara-negara lain kerana, takrifan penjawat awam di negara ini adalah tertakluk kepada Perlembagaan Persekutuan yang meliputi sektor perkhidmatan kesihatan seperti doktor dan jururawat, anggota keselamatan termasuk tentera serta polis dan warga pendidikan yang merangkumi para guru.

Sedangkan, di sebahagian negara-negara lain, mereka tidak menghitung pekerja dalam sektor kesihatan, keselamatan dan pendidikan sebagai penjawat awam.

Bukan setakat itu sahaja, pihak pembangkang tergamak melabelkan penjawat awam dan memberi tanggapan negatif selain menyelar secara semberono bahawa, perkhidmatan awam ini sebagai ‘tidak cekap’, ‘makan gaji buta’ dan sungguh keterlaluan, apabila ada pemimpin pembangkang sanggup menghina penjawat awam sebagai ‘kucing kurap’.

Bayangkanlah, apa akan terjadi kepada untung nasib sebahagian besar penjawat awam, sekiranya pembangkang dibiarkan memerintah negara ini?

Ajaran agama pun menuntut agar kita bersyukur dengan nikmat yang sedang dikecapi dan tidak secara mudahnya, kita patut membiarkan tanahair bertuah ini jatuh ke tangan mereka yang tidak menghargai sumbangan dan susah payah para penjawat awam.

Kerana itulah, Kerajaan yang ada ini, sejak puluhan tahun, amat menyanjung tinggi dan berterima kasih kepada para Penjawat Awam yang telah sekian lama bersama pentadbiran Kerajaan, saling ganding-berganding, lengkap-melengkapi dan dokong-mendokongi.

Sebagai bukti bahawa Kerajaan yang ada, terutama sejak 8 tahun kebelakangan ini, telah berbuat pelbagai inisiatif dan sekian banyak penambahbaikan, demi membela kepentingan dan menjaga kebajikan penjawat awam, antaranya;

Pertama: Menaikkan gaji penjawat awam sebanyak 7 peratus hingga 13 peratus pada tahun 2012.

Kedua: Menaikkan pencen minimum daripada 720 ringgit kepada 820 ringgit, bagi mereka yang berkhidmat selama 25 tahun atau lebih pada 1 Januari 2012.

Ketiga: Mensetarakan pangkat-pangkat dalam perkhidmatan ATM dan PDRM dengan Perkhidmatan Awam Am, selaras perubahan lapisan-lapisan gred jawatan atau gred gaji, pada 1 Januari 2013. Juga, pelaksanaan kenaikan pangkat anggota Polis dan Angkatan Tentera berpangkat Konstabel, Prebet dan Lans Koperal berdasarkan time-based.

Keempat: Penetapan gaji terendah daripada RM832 kepada RM1,200 ringgit sebulan mulai Julai 2016.

Kelima: Melaksanakan dasar di mana pegawai lantikan kontrak yang berkhidmat sekurang-kurangnya 15 tahun boleh dilantik secara tetap mulai 1 Julai 2016;

Keenam: Pemberian pergerakan gaji tahunan sebanyak 3 peratus setahun kepada pegawai yang telah mencapai gaji maksimum;

Ketujuh: Memanjangkan kemudahan Cuti Belajar Bergaji Penuh kepada Kumpulan Pelaksana bermula Tahun 2017 ini dengan peruntukan sebanyak RM15 juta; dan

Kelapan: Mewujudkan kaedah kenaikan pangkat secara time-based kepada Pegawai Perkhidmatan Pendidikan dan Pegawai Perubatan.

Selain daripada penambahbaikan daripada segi struktur gaji dan perkhidmatan, Kerajaan turut melaksanakan penambahbaikan dari sudut kebajikan penjawat awam. Contohnya:-

Pertama: Melancarkan Skim Perumahan Penjawat Awam 1Malaysia atau PPA1M sejak tahun 2013, di mana sebanyak 200 ribu unit rumah akan disiapkan menjelang tahun 2020.

Kedua: Menaikkan kadar Bantuan Sara Hidup atau COLA sebanyak RM50 sebulan pada tahun 2012 bagi penjawat awam yang tinggal di kawasan-kawasan pinggir bandar;

Ketiga: Menaikkan Imbuhan Tetap Perumahan atau ITP minima kepada RM300 sebulan pada tahun 2015. Manakala, 25 peratus ITP turut diterima oleh penjawat awam yang mendapat kemudahan kuarters.

Tidak dilupakan juga, kepada para pesara, kita telah menaikkan kadar pencen terendah daripada RM720 pada tahun 2012, kepada RM950 ringgit sejak 1 Julai 2016 lalu.

Apa yang penting di sini, kesemua kemudahan dan imbuhan yang dinikmati oleh Penjawat Awam adalah kerana hubungan kerjasama yang kukuh di antara Kerajaan yang baik dan Perkhidmatan Awam yang cekap lagi efisyen.

Barulah wujudnya satu simbiosis yang mantap dalam memecut dan to leapfrog atau melonjakkan Malaysia supaya tersenarai dalam kelompok 20 negara termaju serta terbaik di dunia menjelang tahun 2050.

Seandainya, benar penjawat awam ini tidak cekap seperti yang dituduh, mana mungkin kita mampu memberikan perkhidmatan terbaik kepada rakyat.

Sebagai contoh, projek UTC dan RTC yang merupakan game changer dalam perkhidmatan awam, juga diakui Bank Dunia sebagai model terbaik perkhidmatan Kerajaan di dunia kerana mampu menjimatkan perbelanjaan Kerajaan sehingga dua bilion ringgit.

Jika dahulu, perkhidmatan memperbaharui pasport mengambil masa sehingga 10 hari bekerja, kini cuma memerlukan satu jam sahaja, berbanding di UK dan Australia misalnya, proses memperbaharui pasport mengambil masa selama tiga minggu. Malah, sistem pembaharuan pasport atas talian sedang melalui tempoh ujian. Inilah yang dinamakan inovasi dalam mentransformasikan sistem penyampaian perkhidmatan Kerajaan.

Dari aspek perkhidmatan kesihatan pula, hanya Malaysia sebuah negara yang berupaya menyediakan perkhidmatan dengan bayaran cuma satu ringgit, khususnya melalui Klinik 1Malaysia.

Di samping itu, melalui Projek Infra Rakyat MRT Laluan Sungai Buloh–Kajang, yang telah dapat disiapkan menepati jadual, telah dapat menjimatkan sebanyak RM2 bilion daripada kos asal pembinaan.

Ini merupakan “success story” bagi projek yang dibiayai secara langsung oleh Kerajaan. Struktur yang baik dari segi tadbir urus, pembiayaan, mahupun implementasi, ternyata menjadi critical success factors kepada projek MRT ini.

Manakala, terhadap Kerajaan pula, secara langsung, pihak tidak bertanggungjawab, khususnya pembangkang, tidak habis-habis menabur fitnah, menghasut dan memesongkan pemikiran dengan membuat tuduhan demi tuduhan yang tidak berasas, dengan niat yang jahat untuk menjatuhkan Kerajaan yang ada secara tidak demokratik.

Mereka juga menuduh kononnya, Malaysia adalah ‘A failed State’, yakni negara yang gagal dan bakal menjadi bankrap serta kedaulatan negara sedang dijual kepada beberapa kuasa besar asing seperti China, India dan Arab Saudi.

Terbaru, dituduh pula kita hendak menggadaikan negara kepada Amerika Syarikat, apabila kita menjalinkan hubungan baik dan perdagangan dengan negara berkenaan.

Jika benarlah Malaysia negara gagal seperti ditohmah, mengapa fakta menunjukkan sebaliknya yakni, KDNK negara berkembang pada kadar 5.8 peratus di suku kedua 2017 iaitu antara yang tertinggi di dunia?

Seterusnya, bagaimana pula dengan majalah antarabangsa Forbes telah meletakkan Malaysia pada kedudukan paling atas di antara semua negara Asia untuk pelaburan asing?

Waima, agensi penarafan antarabangsa Fitch Ratings juga mengekalkan penarafan kredit Malaysia dengan unjuran stabil pada skor A-?

Bahkan, kalau betul dakwaan pembangkang itu berasas, kenapa pula kedudukan rizab antarabangsa Bank Negara Malaysia kini bertambah mantap lagi kukuh kepada RM431.7 bilion berbanding hanya lebih kurang RM60 bilion sewaktu krisis kewangan Asia Tahun 1997/1998?

Jika Malaysia bukan negara berjaya, mana mungkin pelaksanaan Pusat Transformasi Bandar atau UTC, menyediakan Pusat Khidmat Sehenti yang beroperasi dari pukul 8 pagi hingga 10 malam, 7 hari seminggu, tiada lain seumpamanya di dunia?

Andainya lagi Malaysia sebuah negara gagal, bolehkah Majalah International Living memilih negara ini sebagai destinasi persaraan terbaik di dunia bagi tahun 2017?

K7L : Sambung nanti..

0 ulasan:

Post a Comment

Nak Pesan Awal-Awal

Keris 7 Lok kata :
korang sume nak komen apapon..aku tak kisah..tapi kalau komen tu boleh didakwa di mahkamah..aku akan bekerjasama dengan pihak berkuasa dan tidak akan bertanggung jawab ke atas komen yang korang buat..anda tulis..anda dapat...

Arkib Keris 7 Lok

busuk