Seramai lima juta orang muda akan mengundi buat pertama kali dalam pilihan raya umum ke-14, menurut Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).
Angka pengundi kali pertama itu meliputi kira-kira 34 peratus daripada keseluruhan pengundi di Malaysia.
Barisan Nasional dan Pakatan Harapan telah boleh menjangka bagaimana pengundi-pengundi yang berpengalaman mengundi akan memilih.
Namun apa yang membingungkan kedua-dua belah pihak ialah bagaimana 5 juta pengundi pertama kali ini akan memilih.
Pengundi muda yang pertama kali mengundi ini adalah golongan paling ramai di atas pagar dan merekalah yang akan menentukan pemenang dalam PRU-14.
Apa yang berlaku dalam pilihan raya Presiden Amerika Syarikat pada 2008 boleh dijadikan contoh selepas ia dimenangi oleh Barack Obama sekali gus beliau menjadi Presiden kulit hitam pertama Amerika Syarikat.
Strategi kempennya memfokus kepada golongan muda hingga lebih 12 juta pemuda pemudi negara itu mengundi beliau.
Bagaimanapun, keadaannya berbeza ketika kempen Hillary Clinton pada tahun 2016 apabila golongan muda kurang memberi sokongan kepada beliau berbanding Barack Obama yang membawa kepada kekalahan Hillary Clinton kepada Donald Trump.
Berbeza dengan Barack Obama yang menerima 60 peratus sokongan orang muda pada tahun 2008, hanya 55 peratus orang muda mengundi Hillary Clinton pada tahun 2016.
Bagaimana pula pengundi muda di Malaysia akan mengundi pada PRU-14?
Adakah mereka memilih untuk mengundi mengikut kecenderungan politik keluarga masing-masing? Atau mengikut desakan rakan-rakan? Atau terpengaruh dengan aliran pemikiran media sosial?
Saya adalah salah seorang orang muda yang akan mengundi buat kali pertama pada pilihanraya ini dan saya masih belum membuat keputusan parti yang mana menjadi pilihan. Dan saya yakin, ramai lagi pengundi kali pertama adalah seperti saya.
Persoalan di benak kami adalah apakah yang ditawarkan oleh setiap parti tentang perkara yang penting kepada generasi kami.
Sebenarnya apa yang kami rasa paling penting ialah masa depan. Iaitu contohnya sama ada kami mampu mendapat pekerjaan yang baik selepas bergelar graduan, dan sama ada kami mampu memiliki rumah dan masih dapat menghantar sedikit wang kepada ibu bapa di kampung.
Kami juga mengambil berat tentang masalah yang dihadapi generasi kami pada masa ini.
Baru-baru ini saya terdengar rancangan Barisan Nasional berkenaan program Transformasi Nasional 2050 (TN50), pelan yang mengambil kira pandangan generasi muda mengenai apa yang mereka mahu pada masa depan. Ia adalah strategi yang baik kerana Barisan Nasional dilihat berusaha merancang masa depan untuk generasi muda.
Mungkin itulah sebabnya kini Barisan Nasional mendapat reaksi baik daripada orang muda.
Contohnya, dalam beberapa pilihan raya kecil yang baru lepas, sokongan golongan muda Cina meningkat di Sungai Besar sebanyak 23 peratus daripada 15 peratus pada PRU-13 kepada 38 peratus pada 2016.
Trend peningkatan yang sama turut dilihat di kalangan pengundi muda Melayu apabila sokongan mereka meningkat 18 peratus kepada BN di Kuala Kangsar, dua tahun lalu.
Selain itu, keputusan pilihan raya kampus di 20 universiti-universiti awam sejak dua tahun lalu menunjukkan peralihan ketara sokongan orang muda mahasiswa kepada kumpulan pro-kerajaan apabila mereka menang hampir semua kerusi yang sebelum ini dikuasai kumpulan pro-pembangkang.
Di pihak satu lagi, Pakatan dilihat tidak memfokus kepada masa depan tetapi kepada soal legasi masa lampau dengan melantik calon Perdana Menteri berusia 93 tahun.
Orang muda mungkin ada masalah dengan perkara ini kerana masalah pada hari ini tidak sama seperti yang dihadapi 20 ke 30 tahun yang lalu.
Strategi oleh Pakatan ini mungkin bercanggah dengan harapan orang muda sekarang.
Dalam ucapannya baru-baru ini, Presiden Sukarelawan Malaysia, Isham Jalil, berkata: “Generasi muda adalah pemilik masa hadapan. Merekalah pemegang taruh terbesar masa hadapan. Janganlah kita ulangi kesilapan masa lalu dan memaksa generasi akan datang untuk mengikuti amalan lampau dan tabiat lama. Tabiat lama memang sukar dibuang. Marilah kita menggantikan kesilapan lalu dengan aspirasi segar.”
Oleh sebab-sebab di atas, sebagai pemerhati daripada perspektif generasi saya, pada kali ini saya berpendapat bahawa Barisan Nasional akan mendapat sokongan lebih tinggi daripada orang muda berbanding Pakatan.
Oleh Aina Shatar
BHarian
K7L : Saya Pilih Barisan Nasional..
0 ulasan:
Post a Comment