Tanpa menghiraukan terik matahari, kira-kira 5,000 pencari kerja berpusu-pusu membanjiri pekarangan kompleks tersebut malah ada di antara mereka yang hadir bersama ibu bapa dan keluarga sehingga mengakibatkan jalan-jalan di sekitarnya mengalami kesesakan.
Malah barisan pencari kerja yang beratur untuk mendaftar menjangkau sehingga satu kilometer semata-mata bagi mencuba nasib untuk mengisi kira-kira 255 jawatan kosong yang ditawarkan hotel tersebut.
Seorang pekerja swasta, Mohamad Ibrahim Seha, 23, berkata, beliau sanggup datang dari Tangkak, Johor hanya untuk mencuba dan memperoleh peluang pekerjaan yang lebih baik.
“Saya mendapat tahu mengenai temuduga terbuka ini hasil perkongsian oleh rakan-rakan menerusi telefon.
“Terus-terang, saya tidak sangka begitu ramai yang hadir untuk merebut peluang pekerjaan yang ditawarkan. Mujur saya datang lebih awal dan tidak perlu beratur panjang lebih lama,” katanya ketika ditemui Mingguan Malaysia di sini hari ini.
Emmy Norlia Lokman Hakim, 34, pula berkata, setelah lebih dua tahun berhenti kerja daripada sebuah syarikat penerbangan, dia hadir ke Kompleks Tabung Haji untuk mencuba nasib berdasarkan pengalaman kerja yang ada padanya.
“Saya tinggal di Sepang, jadi memang menjadi harapan untuk mendapat peluang bekerja di Movenpick Hotel yang terletak di Lapangan Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) yang sudah tentu berhampiran dengan rumah.
“Memang terkejut melihat begitu ramai yang turut mahu mencuba nasib namun sedikit pun tidak melemahkan semangat saya untuk mencuba. Mana tahu jika ada rezeki saya berpeluang untuk bekerja di hotel tersebut,” katanya.
Menurut graduan pelancongan dari Universiti Malaysia Sabah (UMS), Abdul Rashid Abd. Rahman, 24, dia sudah mendaftar untuk mengisi peluang pekerjaan dengan Bahagian Sumber Manusia Movenpick Hotel sebelum diminta hadir ke sesi temuduga yang diadakan pada hari ini.
“Saya bersama tiga sepupu datang dari Nilai, Negeri Sembilan sejak awal pagi. Saya sangkakan mereka yang hadir ke temuduga ini terdiri daripada kumpulan kecil sahaja.
“Memang tidak sangka langsung jumlah yang begitu ramai, tapi sebab sudah sampai di sini saya teruskan mencuba, jika tidak ada rezeki pun saya dapat pengalaman menghadiri temuduga dalam keadaan begini,” katanya.
Movenpick Hotel & Convention Centre yang terletak di Kompleks Tabung Haji, KLIA, Sepang dijangka bakal beroperasi pada pertengahan Jun ini.
Apabila beroperasi sepenuhnya nanti, hotel tersebut menawarkan kira-kira 333 bilik serta mempunyai dewan di pusat konvensyen yang mampu menampung sehingga 2,000 orang pada satu-satu masa.
Sementara itu, Ketua Bahagian Pemasaran, Komunikasi dan Perhubungan Awam, Movenpick Hotel & Convention Centre, Adam Warren Fernandez berkata, ekoran sambutan di luar jangkaan, platform permohonan kerjaya di hotel tersebut akan diperluaskan melalui aplikasi e-mel.
“Sambutan luar jangkaan daripada pencari kerja dengan kehadiran mencecah ribuan calon tidak pernah berlaku sebelum ini bagi sesi pengambilan kakitangan hotel.
“Kami amat menghargai minat dan sokongan yang diberikan serta memohon maaf di atas segala kesulitan yang dialami. Sehubungan itu, untuk memudahkan proses, pemohon boleh menghantar resume masing-masing bermula 12 Mac sehingga 18 Mac ni ke e-mel norhalim@movenpick.com,” katanya dalam satu kenyataan.
Dalam pada itu katanya, sesi temu duga esok seperti yang dijadualkan akan tetap diteruskan bermula pukul 9 pagi hingga 6 petang.
“Kami memohon kerjasama orang ramai bagi memastikan hanya pemohon sahaja yang hadir dan berada di dalam premis Tabung Haji, Hotel Kelana Jaya bagi mengelakkan kesesakan,” katanya.
Sumber : Utusan
0 ulasan:
Post a Comment