01/12/2012

Bagi Penyokong LGBT - Kisah Sedih Bekas Lesbian!



SAYA bekas siswazah di sebuah institusi pengajian tinggi swasta. Ketika melanjutkan pengajian saya berkenalan dengan B yang belajar di institusi sama, tapi berlainan kursus. B rakan serumah saya dan kami menetap di asrama yang sama. Malah, kami menjadi kawan karib.

Kami berpisah apabila saya tamat belajar. Ketika persahabatan kami terjalin, boleh dikatakan semua aktiviti kami buat bersama seperti pergi ke kelas, belajar, memasak, keluar bersiar selain berkongsi masalah. Saya begitu mengambil berat perihal B begitu juga sebaliknya.

Dalam tempoh persahabatan itu, kami menyalahgunakan erti persahabatan. Kami melakukan aktiviti yang dilaknat Tuhan. Pada awalnya kami hanya melakukan aktiviti ringan saja seperti bercumbu, namun lama kelamaan semakin selesa dengannya selain tidak menganggap ia sebagai satu dosa. Akhirnya kami terlanjur dan menjadi pasangan lesbian.

Ada ketika saya rasa menyesal dan berdosa, tapi apabila bersama B di asrama, perasaan itu hilang entah ke mana. Disebabkan itu kami berterusan dan selesa melakukan perbuatan terkutuk itu.

Saya pernah beritahu B, perbuatan kami lakukan ini adalah berdosa, tapi B hanya menjawab dia sayangkan saya sebab itu dia merelakan perbuatan terkutuk itu.

Apabila saya menjalani latihan industri di sebuah syarikat, saya mengambil peluang yang ada untuk menjauhkan diri. Saya juga tidak lagi menetap di asrama dan duduk menyewa. Saya menghilangkan diri daripada B dan juga dari rakan serumah yang lain. Saya berasa sedikit lega apabila tidak lagi berhubung dan berjumpa dengannya.

Hingga hari ini, saya masih dibelenggu dosa yang pernah dilakukan. Saya selalu bermimpi yang menakutkan dan dalam sebulan boleh dikatakan tiga atau empat kali bermimpi melakukan maksiat dengan B. Saya sering diserang rasa berdosa, menyesal dan takut Allah tidak dapat mengampunkan dosa saya, takut nabi tidak mengaku saya umatnya di akhirat, malah takut tidak dapat berjumpa dengan ibu bapa saya di akhirat kelak.

Awal tahun lepas, saya berusaha untuk mencari B. Tujuan saya mencarinya hanya untuk memohon kemaafan atas perkara yang kami lakukan. Saya berjaya menemui akaun Facebook B. Saya hantarkan pesanan dan memberitahu segala permasalahan yang sering membelenggu diri saya selain rasa bersalah dan menyesal.

Tapi malangnya, B hanya menjawab dia hanya memaafkan saya bila tiba waktunya.
Fikiran saya terganggu akibat daripada maklum balas yang diberikan padahal ketika sama-sama menetap di asrama dulu, B juga merelakan segalanya.

Saya runsing dengan keadaan diri saya sekarang. Saya betul-betul menyesal dengan apa yang terjadi dulu, menyesal dengan dosa yang saya lakukan.

Dr bantulah saya untuk menguatkan kembali keyakinan diri bagi menempuh hidup ini. Saya ingin menjadi anak yang solehah untuk ibu bapa saya. Saya ingin menjadi umat terbaik dan hamba Allah yang diredai. Apa yang perlu saya lakukan sekarang?

Insan kebingungan,
Perak

DR sesungguhnya amat gembira mendengar adik ingin berubah ke arah yang positif.
Keinginan adik untuk bertaubat amat disukai dan diredai Allah seperti mana firman-Nya “Sesungguhnya Allah menyukai orang-orang yang taubat dan menyukai orang-orang yang menyucikan diri.” (QS. Al Baqarah: 222)

Secara psikologinya, apabila hubungan persahabatan bertukar menjadi terlalu intim, ia boleh mewujudkan satu bentuk perhubungan yang membabitkan keinginan dan naluri seksual. Ini berlaku apabila desakan ingin disayangi, dihargai dan cinta diterjemahkan dalam manifestasi perlakuan yang boleh mendatangkan unsur keseronokan. Unsur keseronokan ini boleh berlaku dalam bentuk melakukan hubungan maksiat.

Malah, unsur keseronokan adik dan B boleh berterusan sekiranya tiada pihak yang mahu ambil inisiatif untuk berubah. Dalam konteks adik, Dr ingin mengucapkan tahniah kerana adik sudah berusaha untuk tidak terus berada dalam kesesatan.

Kebiasaannya, pihak yang ingin memberhentikan sesuatu tingkah laku bersalah pasti merasa menyesal. Seperti mana adik, rasa sesalan ini terbawa-bawa dalam aktiviti harian termasuk dalam mimpi dan tidur.

Apabila adik tidak lagi melakukan maksiat dengan B secara realitinya, keinginan seksual itu ada kalanya terjelma dalam mimpi adik. Perkara ini lama kelamaan pasti hilang.

Dr juga harap adik tidak menggunakan alasan B yang sukar memaafkan adik ketika ini sebagai helah bela diri untuk adik terus merasa bersalah. Adik sudah berusaha untuk memohon maaf darinya. Jika B masih tidak dapat memaafkan segala apa yang berlaku antara kalian berdua, itu masalah dirinya. Apa yang lebih penting adalah adik tidak lagi melakukan perkara terkutuk itu dan memohon keampunan Allah.

Adik juga memerlukan kekuatan untuk mengembalikan keyakinan diri dalam menempuh kehidupan berliku ini. Dr gembira dan melihat adik mempunyai potensi diri untuk menjadi anak solehah buat kedua ibu bapa. Dr juga yakin adik mempunyai kekuatan menjadi umat terbaik Rasulullah dan menjadi hamba Allah yang diredai.

Allah itu Maha Pengampun. Allah berfirman: “Katakanlah: “Hai hamba-hambaKu yang melampaui batas terhadap diri mereka sendiri, janganlah kamu berputus asa dari rahmat Allah. Sesungguhnya Allah mengampuni dosa-dosa semuanya. Sesungguhnya Dialah yang Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.” (QS. Az-Zumar: 53)

Ayat di atas pastinya membukakan pintu dengan seluas-luasnya bagi seluruh orang yang berdosa dan melakukan kesalahan. Meskipun dosa mereka sudah mencapai hujung langit sekali pun. Adik belum terlambat untuk bertaubat.

Banyak keutamaan bagi orang yang bertaubat. Di antara keutamaan orang-orang yang bertaubat adalah: Allah menugaskan malaikat muqarrabin untuk beristighfar bagi mereka dan berdoa kepada Allah supaya Allah menyelamatkan mereka dari azab neraka. Selain memasukkan mereka ke dalam syurga. Menyelamatkan mereka dari keburukan. Mereka memikirkan urusan mereka di dunia, padahal malaikat sibuk dengan mereka di langit.

Allah berfirman: “(Malaikat-malaikat) yang memikul ‘Arsy dan malaikat yang berada di sekelilingnya bertasbih memuji Tuhannya dan mereka beriman kepadaNya serta meminta ampun bagi orang-orang yang beriman (seraya mengucapkan): … dan itulah kemenangan yang besar.” (QS.Ghaafir: 7-9).

Semoga yang terbaik menjadi milik adik. Dr doakan adik menjadi wanita dan anak yang solehah serta umat terbaik untuk Rasulullah selain hamba yang sentiasa diredhai-Nya.

Sumber


K7L : Selagi ada waktu..pintu taubat sentiasa terbuka..

0 ulasan:

Post a Comment

Nak Pesan Awal-Awal

Keris 7 Lok kata :
korang sume nak komen apapon..aku tak kisah..tapi kalau komen tu boleh didakwa di mahkamah..aku akan bekerjasama dengan pihak berkuasa dan tidak akan bertanggung jawab ke atas komen yang korang buat..anda tulis..anda dapat...

Arkib Keris 7 Lok

busuk