Bersangka baik terhadap seruan perpaduan
ISLAM dan perpaduan mempunyai hubungan yang amat serasi. Islam adalah agama yang menyokong perpaduan. Setiap Muslim dianjurkan supaya sentiasa bersatu padu. Mereka ini dianggap bersaudara (surah al-Hujurat:10).
Bukan itu sahaja, umat Islam juga dituntut berbaik dan saling mengenali sahabat bukan Islamnya (surah al-Hujurat:13). Ini menunjukkan betapa perpaduan, sama ada sesama Muslim atau sebaliknya, merupakan satu perkara yang penting dalam pandangan hidup Islam.
Melihat kembali usaha Nabi Muhammad SAW membentuk sebuah negara Islami pertama, banyak yang boleh dipelajari. Di awal pembentukan ini, Rasulullah SAW memberi tumpuan kepada pengukuhan ikatan persaudaraan di antara umat Islam sendiri. Ketika itu, kaum Muhajirin dan Ansar disatukan dengan ikatan tali persaudaraan yang kukuh.
Asas kesatuan ini bukannya kerana Rasulullah tetapi lebih besar lagi kerana inilah yang dituntut dalam agama Islam. Malah, dua kumpulan berbeza latar belakang ini menerima seruan perpaduan yang dianjurkan Rasulullah tanpa banyak soal malah kaum Ansar rela menyerahkan harta benda mereka kepada kaum Muhajirin untuk memulakan kehidupan baharu di Madinah.
Selepas kukuhnya persaudaraan kaum Muslimin di Madinah, Rasulullah dengan bijak bertindak selangkah lagi. Kali ini, persaudaraan kaum Muslimin dan penduduk lain di Madinah (masyarakat Yahudi dan Nasrani) menjadi tumpuan. Malah, usaha ini tidak berhenti di situ tetapi menjangkau kepada pengukuhan hubungan dengan penduduk di sekitar Madinah terutamanya dengan penduduk Mekah (kaum Quraisy) yang sentiasa melihat Madinah dengan pandangan iri hati.
Usaha ini akhirnya membawa kepada pembentukan Piagam Madinah, yang dicatatkan sebagai perlembagaan sebuah negara yang pertama digubal di dunia.
Daripada apa yang dibincangkan di atas, jelas banyak perkara boleh dipelajari. Antaranya, dalam memupuk perpaduan, perpaduan dalam kalangan umat Islam perlulah diperkukuhkan dahulu. Malah, pengukuhan ini akan menjadi satu sebab penting bagi menjamin perpaduan masyarakat Muslim dengan kaum lain di Malaysia. Dengan kata lain, kalau kita tidak mampu bersatu dalam kalangan kita, mana mungkin kita boleh bersatu dengan kaum lain.
Namun, apakah yang berlaku di dalam negara kita kini? Seruan untuk bersatu dianggap remeh. Lebih sedih lagi apabila seruan itu dianggap mempunyai agenda tertentu. Malah, untuk bersatu pun kita masih cuba menegakkan kepentingan diri dengan meletakkan syarat bersatu hanya jika hak diri kita dihormati. Maka, timbullah persoalan sukarkah untuk bersangka baik terhadap seruan perpaduan itu? Sampai bilakah kita harus berfikir sebegini?
Kefahaman terhadap hak dan tanggungjawab ini merupakan salah satu perkara yang juga penting dalam mencapai perpaduan. Setiap orang akan cuba menegakkan hak masing-masing. Setiap orang juga mahu agar hak mereka dihormati. Namun, dalam memperkatakan tentang hak, ramai lupa bahawa hak datang secara beriringan dengan tanggungjawab. Malangnya pula, tidak ramai suka bercakap tentang tanggungjawab masing-masing. Kita semua mempunyai tanggungjawab terhadap satu sama lain dan kita juga bertanggungjawab kepada keseluruhan ahli masyarakat.
Dengan itu, cara terbaik untuk memastikan hak diri masing-masing dihormati adalah dengan menjalankan tanggungjawab untuk menghormati hak orang lain dan menjalankan tanggungjawab untuk bersatu dengan kemajuan negara.
Selain itu, wajar juga kita mempunyai rasa kasih sesama manusia. Ini juga pra syarat mencapai perpaduan. Kasih di sini tidaklah semata-mata kasih antara seorang lelaki dan wanita tetapi lebih dalam lagi kasih sesama manusia tidak kira apa latar belakang, kedudukan dan pangkat mereka.
Ingin penulis kongsikan sebuah hadis riwayat Abu Daud yang bermaksud: “Ada seorang lelaki berada di sisi Rasulullah SAW dan tiba-tiba ada salah seorang sahabat yang lewat. Orang yang berada di sisi Rasulullah itu menyatakan: “Wahai Rasulullah, aku mencintai dia” Maka Rasulullah SAW bersabda: “Apakah sudah kamu beritahukan kepadanya kecintaanmu itu?" Jawabnya: “Belum”
Kemudian Rasulullah bersabda: “Beritahukanlah kepadanya” dan orang itu pun memberitahukannya seraya berkata:
“Sesungguhnya aku mencintaimu kerana Allah.” Orang yang dicintai menjawab: “Semoga Allah mencintaimu kerana kamu mencintaiku demi keredaan-Nya.”
Dari hadis tersebut, Rasulullah SAW mengajarkan kepada kita betapa tingginya hubungan persaudaraan sehingga kita perlu mencapai tahap mencintai saudara kita. Tetapi dalam dunia moden kini, sukar rasanya kita mencapai tahap itu, terutamanya terhadap insan yang tiada pertalian darah dengan kita. Ini kerana dalam banyak keadaan kita selalunya hanya sampai kepada tahap sangat menghormati seseorang sahaja.
Begitu juga, rasa cinta dan kasih sesama manusia itu perlu ditunjukkan dan dibuktikan. Dalam keadaan masa kini, bukti kasih dan sayang sesama manusia itu bolehlah dilaksanakan dengan berbaik, menghormati dan mengambil berat antara satu sama lain.
Amat sukar rasanya untuk menunjukkan dan membuatkan semua orang memahami betapa kesatuan sesama kita amat penting. Menyedari kepentingan itu hanya boleh berlaku jika kita bersedia membuka mata, hati dan fikiran untuk berfikir secara tulus dan bersedia mencapai perpaduan sebenar bukannya atas dasar kekayaan, pangkat, kedudukan dan kemuliaan keturunan.
Akhir bicara, hendaklah kita bersangka baik terhadap seruan berbaik-baik sesama kita. Perpaduan tidak akan tercapai jika hanya seorang dua melaksanakannya.
Perpaduan itu wajiblah didasarkan kepada satu sebab sahaja iaitu agama Islam yang suci. Jika ini dapat dicapai, kemungkinan besar lebih mudah kita melangkah setapak lagi iaitu mengukuhkan perpaduan pelbagai kaum di negara ini. -Utusan Online-
- Penulis ialah Fellow, Pusat Kajian Sains dan Alam Sekitar, Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM)-
K7L : Melayu Satu..
0 ulasan:
Post a Comment