Dr Chandra Muzaffar
KUALA LUMPUR - Kehadiran diplomat Israel ke Forum Bandar Sedunia ke-9 (WUF9) pada 7 hingga 13 Februari, bukan atas jemputan Kerajaan Malaysia.
Penganalisis politik antarabangsa, Dr Chandra Muzaffar berkata, sebagai tuan rumah kepada forum berkenaan, Malaysia tiada pilihan selain memenuhi syarat yang ditetapkan penganjur Program Penempatan Manusia Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) atau UN-Habitat.
“Persidangan antarabangsa itu adalah anjuran PBB dan PBB tidak membeza-bezakan anggotanya. Jadi diplomat itu hadir atas kapasiti dan kedudukannya sebagai negara anggota PBB.
“Ini bermakna bukan Malaysia yang menjemput Israel atau menyediakan platform untuk mereka datang. Sebagai tuan rumah, Malaysia harus mematuhi syarat-syarat yang ditetapkan termasuk membenarkan kemasukan diplomat Israel,” katanya kepada Sinar Harian, semalam.
Menurut Chandra, PBB juga tidak menghalang diplomat Israel daripada hadir ke forum berkenaan. Ini bermakna selaku tuan rumah, Malaysia terpaksa membenarkan kehadiran mereka ke negara ini.
Bagaimanapun, tindakan tersebut bukan bermaksud Kerajaan Malaysia mengiktiraf kekejaman Israel ke atas Palestin.
“Tidak sama sekali. Malaysia tiada pilihan. Kita menjemput Israel bukan atas kehendak kita. Israel datang juga bukan kerana kerajaan Malaysia tetapi untuk menghadiri WUF.
“Kehadiran mereka, bukan langkah awal buat Malaysia membuka pintu kepada Israel,” katanya.
Sebaliknya, menurut Chandra, Malaysia tetap dengan pendiriannya berkaitan isu Palestin.
“Malaysia harus tegas dan bukan sekadar membuat kenyataan tetapi meneruskan usaha memberi kefahaman kepada negara lain tentang kekejaman dan kezaliman yang dilakukan Israel terhadap penduduk Palestin.
“Kalau hendak lawan propaganda Israel, kita harus bersatu. Malaysia perlu memainkan peranan untuk menyampaikan kebenaran kepada masyarakat dunia tentang kezaliman dan kekejaman yang dilakukan Israel yang berterusan mahu menakluki wilayah Palestin,” katanya.
Mengulas mengenai tindakan Malaysia membenarkan kehadiran pasukan kriket Israel pada kejohanan Kriket Trofi Majlis Kriket Antarabangsa (ICC) pada 1997, ia dua perkara berbeza.
“Bantahan yang dibuat ketika itu wajar, kerana mereka hadir atas jemputan Malaysia dan Israel masih lagi menduduki wilayah negara lain walaupun sudah menandatangani Perjanjian Oslo pada 1993,” katanya.
WUF merupakan forum teknikal bukan perundangan yang dianjurkan setiap dua tahun bertujuan bertukar-tukar pandangan dan pengalaman mengenai cabaran perbandaran.
Difahamkan WUF dihadiri wakil 185 buah negara. Selaku tuan rumah, Malaysia disyaratkan meluluskan visa semua perwakilan.
Semalam, Sinar Harian melaporkan, Diplomat Israel, David Roet mendakwa penyertaan delegasi negara itu ke WUF setelah mendapat kebenaran Malaysia.
Roet dipetik oleh laman web The Jerusalem Post berkata, kebenaran itu diperoleh selepas Israel menggunakan tekanan diplomatik sehingga ke pejabat Setiausaha Agung PBB, Antonio Guterres.
Roet turut mengadakan pertemuan dengan pegawai tinggi di Malaysia, namun tiada perbincangan hubungan Israel dengan negara ini.
0 ulasan:
Post a Comment