Bukan Telunjuk Barat
Barat sudah mula menarik perhatian umat Islam di serata dunia kepada mereka. Dengan melantik diri mereka sebagai pusat rujukan agama hatta agama kita sendiri, agama Islam. Pandangan-pandangan yang dikeluarkan kononnya diberi nafas baru, moden dan tafsiran baru menurut ‘ilmu’ mereka disusupkan ke dalam dunia Islam. Istilah-istilah ‘hebat nan indah’ muncul sebagai helah kepada nafas baru dunia Islam. Islam moderat, Islamisasi, Islamis ekonomis antara contoh istilah yang diguna pakai bagi menampakkan kemodenan Islam.
Melalui wawancara, perbincangan, idea dan komentar maka ada sebahagian orang yang berkata Islam mereka lebih terbuka. Ada lagi yang berkata, mereka juga islam tapi mereka tidak jumud dan bermacam lagi komen yang biasa kita dengari.
Sebenarnya Islam tidak pernah melarang umatnya bercakap mengenai ekonomi, politik dan pembangunan. Tidak terdapat satu ayat mahupun hadis yang melaknat orang yang kaya-raya, kecuali orang yang kedekut dengan hartanya. Bahkan Islam menyatakan, usaha menegakkan ekonomi merupakan satu kewajipan dan keperluan. Ini semua untuk membuktikan bahawa Islam adalah agama yang syumul, ia bersifat menyeluruh.
Islam bukan sahaja menitik beratkan urusan ibadah antara manusia dan Tuhan. Apa-apa sahaja urusan yang memelihara keperluan dan kebaikan manusia sejagat, ia tertakluk pada Maqasid Syariah di mana lima perkara yang perlu diberi perhatian. Iaitu memelihara aqal, jiwa, harta, nyawa dan maruah.
Lagi kejayaan barat pada hari ini ialah, mereka berjaya menginstitusikan agama Islam. Agama Islam diletak pada sekolah, pada organisasi, masjid dan sebagainya. Seolah-olah apabila seseorang muslim keluar dari masjid, maka tiada lagi praktik Islam yang ada pada dirinya ketika kakinya tidak menjejak di masjid. Dan memang tidak dinafikan, sekarang mereka telah mempunyai penyokong dan penggerak di negara kita.
Realiti yang wujud hari ini, umat Islam tidak lagi berperasaan apabila ayat-ayat al-Quran dibacakan. Pada diri sebahagian cendekiawan muslim, ayat al-Quran dilihat sangat minimum berbanding kata-kata ahli falsafah bukan Islam yang memenuhi tulisan, artikel mahupun ucapan mereka. Sedangkan Allah Ta’ala telah berfirman,
“Allah telah menurunkan perkataan yang paling baik (iaitu) al-Quran yang serupa (lagi bermutu ayat-ayatnya) lagi berulang-ulang, gementar kerananya kulit orang-orang yang takut kepada Tuhannya, kemudian menjadi tenang kulit dan hati mereka di waktu mengingat Allah..” (Surah az-Zumar ayat 23)
Sepatutnya yang lebih utama adalah ayat al-Quran dijadikan sebagai motivasi, nasihat dan tolok ukur dalam satu-satu masalah mahupun perbahasan, berbanding dengan teori dan falsafah hasil kajian manusia. Waktu al-Quran diturunkan pada awal dakwah Islam, masyarakat arab yang terkenal dengan kehebatan syair dan bahasa ketika itu menjadi hampir gila. Mereka berfikir bagaimana mungkin Muhammad yang ummi (tidak tahu membaca) dapat menyampaikan ayat-ayat yang sedemikian hebat lagi tersusun. Akhirnya seruan beliau telah membina negara dan tamadun, lihatlah pada peninggalan sejarah apa yang tercatit.
Perhatikan, Islam sudah terlebih awal membina tamadun, memperbaiki akhlak dan menyelesaikan banyak masalah manusia hanya dengan wahyu. Iaitu al-Quran dan as-Sunnah. Sudah ribuan tahun Islam bertapak di muka bumi, daerah demi daerah telah dibuka. Beribu juta orang telah menganut agama Islam, dari generasi ke generasi, keturunan kepada keturunan yang lain, Islam telah menapaki dada-dada manusia. Islam telah mengemudi keilmuan dan tamadun sebelum barat lagi. Namun sayang, hari ini kita berkiblat kepada mereka.
Kembali kepada agama
Jika ditanya apakah tujuan Rasulullah diutuskan? Membudayakan islam, itulah jawapannya yang merupakan tujuan utama Rasulullah SAW diutuskan kepada manusia. Bukan sahaja untuk orang arab, bahkan untuk semua manusia tidak mengira warna kulit dan bahasa. Allah Ta’ala berfirman, “Dia-lah yang mengutus Rasul-Nya dengan membawa petunjuk dan agama yang benar agar Dia memenangkannya di atas segala agama-agama meskipun orang musyrik membenci.” (ash-Shaf 9)
Barat telah berjaya dengan agenda mereka tersendiri untuk menghuru-harakan Islam dan merosakkannya. Adakah mereka berjaya kerana mereka hebat atau kerana kegagalan kita sendiri sebagai umat Islam? Kita sudah ketinggalan. Jadi, apa yang kita perlu lakukan?
Hanya ada satu formula, iaitu kembali membudayakan islam dalam kehidupan kita sebagaimana generasi terbaik umat ini iaitu generasi sahabat Nabi SAW.
Sabda Nabi SAW, “Apabila kamu berurusan dengan urusan (riba) ‘inah, kamu sibuk dengan ekor-ekor lembu (ternakan), kamu bersenang lenang dengan cucuk tanam, dan kamu meninggalkan jihad. Maka Allah akan timpakan kepada kamu kehinaan, Allah tidak akan mengangkat kehinaan itu sehinggalah kamu kembali kepada agama kamu.” (HR Abu Daud)
Kita telah mengetahui syumul nya Islam dan islam memelihara lima perkara asas yang mustahak. Apabila kita kembali kepada Islam dengan memelihara perintah dan menjauhi larangan Allah, pasti kita akan berjaya. Al-Quran menyatakan perpaduan dan tinggalkan perpecahan. Berusaha meningkatkan diri dengan meninggalkan kemalasan. Dan ada ayat yang cukup indah, bergerak kehadapan atau anda ingin mundur kebelakang. Kisah seorang lelaki yang ditegur oleh Rasulullah SAW supaya mencari rezeki walaupun dengan memotong kayu lebih mulia berbanding meminta-minta. Masih banyak lagi perintah Allah yang sudah cukup membuktikan Islam bukan jumud.
Generasi yang paling faham al-Quran adalah para sahabat Nabi SAW. Kerana itu mereka dan anak didik mereka berjaya membina tamadun. Aqidah mereka yang kuat kepada kebenaran yang turun dari Allah telah memacu mereka untuk mengamalkan perintah al-Quran. Dan disebabkan itulah kita diwajibkan untuk mencontohi mereka membudayakan al-Quran dengan jiwa dan raga.
Sementara itu, ilmu memainkan peranan yang penting dalam proses kebangkitan. Ketika Umar al-Khattab di masa pentadbirannya sebagai khalifah, beliau telah melantik para cerdik pandai untuk membantunya mengembangkan Islam dan memelihara maslahah (urusan kebaikan) manusia. Inilah proses yang sama yang perlu kita jalani bagi mengembalikan kegemilangan Islam. Hanya dengan wahyu semua masalah dapat diselesaikan. Bukan dengan telunjuk barat. Wallahu a’lam.
K7L : Sebarkan agar ramai faham dan tahu perkara ini..
0 ulasan:
Post a Comment