08/02/2012

Sahabat Pena K7L : Ustaz Fathul Bari - Media Sosial @abuaqifstudio


Berikut adalah kiriman emel daripada sahabat Keris, Ustaz Fathul Bari yang ingin berkata sesuatu tentang 'Media Sosial'. Mari kita hayati dan fahami apa yang boleh dimanfaatkan serta disebarkan kepada rakan-rakan yang lain.


Oleh: Ustaz Fathul Bari
Media Sosial

Boleh dikatakan hampir setiap jam kebanyakan dari kita semua menggunakan Media Sosial seperti Facebook dan Twitter untuk berhubungan dengan rakan-rakan atau kenalan. Tahukah anda, sudah hampir setahun peristiwa Medan Tahrir di Mesir di mana kita telah melihat penggunaan Media Sosial Facebook telah mengundang kepada kebangkitan rakyat untuk berkumpul berdemonstrasi bagi menjatuhkan Presiden Mesir Husni Mubarak. Ini merupakan satu kesan negatif yang diletakkan pada Media Sosial. Begitu juga sekarang ini ramai di kalangan pelajar-pelajar universiti mahupun majikan-majikan dan juga para usahawan menjadikan Media Sosial sebagai tempat untuk meraih ilmu, berkongsi maklumat bahkan meraih pendapatan dengan menggunakan Media Sosial. Bukankah ini satu perkara yang positif?

Media Sosial dalam Kaca Mata Islam

Melihat kepada situasi sebegini, kita perlu tahu apakah tuntutan Islam dalam berhadapan dengan teknologi seperti Media Sosial yang sangat berkuasa dalam menyebarkan berita, cerita dan berbagai informasi. Media Sosial dari kaca mata Islam tidak lain adalah sebagai salah satu medium untuk penyebaran dakwah dan mesej-mesej Islam kepada semua golongan masyarakat.

Allah SWT telah mengisyaratkan mengenai penyebaran informasi di dalam al-Quran, di dalam surah an-Nisaa` ayat 83 maksudnya, “Dan apabila datang kepada mereka suatu berita tentang keamanan ataupun ketakutan, mereka terus menyiarkannya. Dan kalau mereka menyerahkannya kepada Rasul dan Ulil Amri di antara mereka, tentulah orang-orang yang ingin mengetahui kebenarannya (akan dapat) mengetahuinya dari mereka (Rasul dan Ulil Amri). Jika bukan kerana kurnia dan rahmat Allah kepada kamu, tentulah kamu mengikut syaitan, kecuali sebahagian kecil saja (di antaramu).”

Nabi SAW juga telah mengiktiraf apa sahaja bentuk teknologi termasuk Media Soaial di mana beliau telah bersabda yang bermaksud, “Kamu lebih mengetahui urusan dunia kamu.” (Hadis riwayat Muslim). Islam sama sekali tidak menyalahkan dan menolak teknologi Media Sosial, Islam cuma mengawal penganutnya untuk mengambil langkah bijak dan memaksimumkan Media Sosial untuk mendapat manfaat.

Pantang Larang Media Sosial

Perhatikan fenomena yang terjadi pada hari ini, kebanyakan generasi muda menjadikan Facebook contohnya untuk dijadikan tempat bagi meluahkan perasaan dan berbicara perkara-perkara yang membuang masa. Umpatan dan kejian merupakan tatapan harian mungkin sebahagian daripada kita apabila membuka Facebook. Inilah relaliti yang terjadi sehinggakan keadaan yang paling parah adalah mesej-mesej untuk memberontak dan provokasi juga disalurkan melalui Media Sosial Facebook.

Sewajarnya seorang Muslim melihat kepada apa yang diperkatakannya ketika menulis dan membuat status di Facebook kerana sabda baginda SAW, “Barangsiapa yang beriman kepada Allah dan Hari Akhirat hendaklah dia berkata baik atau dia berdiam diri.” (riwayat Ahmad). Isi kandungan mesej yang disampaikan akan menjadi tatapan umum sesiapa sahaja yang menjadi rakan kita dan ini bakal memberikan pengaruh kepada minda dan tindakan mereka. Jadi yang terbaik adalah kita menyebarkan nasihat-nasihat ketika menulis status di dalam Media Sosial sebagai tanda bahawa kita beriman kepada Allah dan Hari Akhirat.

Selain cercaan, umpatan dan tindakan negatif yang lain, Media Sosial juga digunakan oleh mereka yang tidak bertanggungjawab untuk menyebarkan keaiban orang. Ingatlah bahawa Nabi SAW telah bersabda yang bermaksud, “Barangsiapa yang menutup aib seseorang Muslim maka Allah akan tutup keaibannya di Akhirat kelak”. (riwayat Muslim).

Setiap manusia mempunyai hak peribadi yang tidak perlu untuk dipamerkan kepada khalayak ramai. Apabila hak peribadinya dibicarakan atau disiarkan dikhalayak ramai lalu masyarakat saling berkata dan berbicara mengenainya, maka ia menimbulkan pula pada dosa yang lain iaitu mengumpat. Nabi SAW bersada yang bermaksud, “Mengumpat adalah engkau berkata mengenai saudara kamu sesuatu yang dia tidak sukai.” (Riwayat Abu Daud). Hukuman bagi mereka ini adalah seperti firman Allah, “...Dan janganlah mengumpat satu sama lain. Adakah seorang diantara kamu yang suka memakan daging saudaranya yang sudah mati? Maka tentulah kamu merasa jijik kepadanya. Dan bertakwalah kepada Allah. Sesungguhnya Allah Maha Penerima Taubat lagi Maha Penyayang.?” (al-Hujrat ayat 12)

Media Sosial juga bukannya tempat untuk meluahkan perasaan sedih dan kecewa. Ia juga bukan untuk menyiarkan kepada orang masalah yang sedang kita hadapi. Tetapi, untuk meminta nasihat kepada teman dan kenalan itu yang sepatutnya.

Panduan Media Sosial

Nasihat saya pertama sekali adalah menggunakan Media Sosial dengan ikhlas bukan dengan tujuan yang lain. Kedua adalah menjauhi pantang larang yang telah diutarakan tadi. Ketiga sebagaimana sabda Nabi SAW, “Bertaqwalah kepada Allah di mana sahaja kamu berada, ikutilah perbuatan buruk dengan perbuatan yang baik nescaya ia akan menghapuskannya dan bercampurlah dengan manusia dengan akhlak yang baik. Bertaqwa dengan menjaga adab, pantang larang, pandangan mata, perkataan dan tulisan. Lakukanlah kebaikan dengan sebanyak-banyaknya supaya ia dapat menghapuskan keburukan yang pernah kita lakukan. Akhlak yang baik dipraktikkan dengan berkawan dan berteman dalam keadaan menjaga kehormatan hak orang lain, dan tidak menyakiti mereka. Manfaatkan Media Sosial dengan adab dan etika seperti ini. Wallahu a’lam.

p/s: Keris ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada Ustaz Fathul Bari dan rakan-rakannya kerana mempercayai Keris dalam penyiaran artikel ini. Semoga apa yang disampaikan melalui blog ini diredhai dan diberkati Allah

K7L : Bukan berkhutbah..namun Keris cuba betuli diri juga..

0 ulasan:

Post a Comment

Nak Pesan Awal-Awal

Keris 7 Lok kata :
korang sume nak komen apapon..aku tak kisah..tapi kalau komen tu boleh didakwa di mahkamah..aku akan bekerjasama dengan pihak berkuasa dan tidak akan bertanggung jawab ke atas komen yang korang buat..anda tulis..anda dapat...

Arkib Keris 7 Lok

busuk