29/02/2012

Fahami Konsep Berbai'ah Politik Dalam Islam - Penulis @harakah Perlu Peka!



POLITIK merupakan salah satu kegiatan yang penting dalam Islam kerana ia termasuk dalam aktiviti berkaitan dengan peranan khalifah Allah di muka bumi. Ia berkaitan dengan syariah Islam kerana perkara-perkara berkaitan dengan politik adalah membicarakan soal kepimpinan dan pentadbiran negara.
Politik boleh berubah dan bertukar berdasarkan kepada suasana dan konteks semasa. Ia tidak boleh disamakan dengan perkara yang berkaitan dengan akidah iaitu Rukun Islam dan Rukun Iman yang mana setiap perkara berkaitan dengan rukun-rukun tersebut tidak boleh diubah dan diingkari kerana ia boleh menggugurkan akidah individu Islam.

Kekuatan politik bergantung kepada bagaimana para pemimpin dan ahli-ahli politik menunjukkan sikap dan peranan mereka dalam masyarakat. Apabila membicarakan peranan khalifah Allah di muka bumi maka sikap dan sifat kepimpinan mesti berdasarkan kepada amanah, bertanggungjawab, dan tekun dalam mengendalikan soal keperluan asas rakyat dan pembentukan negara maju dan berwibawa.

Kegiatan begini memerlukan kepada kecekapan, kepintaran dan pengorbanan. Sebagai pemimpin ia tidak dapat mengelakkan diri daripada melakukan kesilapan. Oleh itu teguran dan nasihat amat diperlukan bagi memantapkan kedudukan dan peranannya sebagai khalifah.

Bai'ah bukan merupakan senjata terpenting untuk mengekalkan kekuatan parti. Bai'ah setia kepada parti tidak menyalahi prinsip berpolitik di mana pemimpin dan ahli-ahli politik yang ingkar kepada peraturan parti boleh disingkirkan daripada parti.

Bai'ah yang memaksa individu mentaati parti sehingga boleh mendatangkan kecelakaan dan laknat daripada Allah apabila tidak akur kepada parti adalah bersalahan dengan etika berpolitik dan bertentangan dengan ajaran Islam.

Politik bukan satu agama tetapi ia hanya satu aspek yang dibicarakan dalam agama Islam. Pemimpin dan ahli-ahli parti politik mempunyai hak untuk menentang dan keluar daripada parti politik. Ia tidak membabitkan pembalasan di akhirat sama ada dimasukkan ke dalam neraka atau disiksa.

Perkara yang membabitkan dosa dan pahala dalam berpolitik adalah berdasarkan kepada sikap dan sifat para pemimpin dan ahli-ahli politik. Jika mereka amanah, jujur, bertanggungjawab dan berkorban untuk masyarakat dan negara, mereka juga dimasukkan ke dalam syurga walaupun parti politik mereka tidak menggunakan slogan Islam.

Parti politik yang sering menakutkan ahli-ahli mereka dengan pembalasan di akhirat jika mereka keluar daripada parti mempunyai ciri-ciri neo-Kharijites (menganuti ideologi Khawarij yang menghukum orang Islam yang bukan kumpulan mereka sebagai kafir). Pergerakan neo-Kharijites ini adalah terdiri daripada kumpulan fanatik yang radikal.

Parti politik begini tidak akan dapat memberi keselesaan kepada para ahli yang menyertai mereka kerana terdapat unsur-unsur yang menghapuskan fitrah ciptaan manusia yang bebas membuat keputusan berdasarkan kepada bisikan hati dan pemikiran yang rasional.

Parti politik yang menganuti sistem demokrasi tidak akan mengaitkan keingkaran para ahli menyertai politik tersebut dengan pembalasan di hari akhirat kerana anggapan begini adalah sama dengan konsep menggunakan agama demi kepentingan politik. Apabila ciri-ciri begini dipertonjolkan kepada masyarakat maka jelas menunjukkan bahawa parti politik tersebut tidak mengamalkan konsep demokrasi seperti mana dituntut oleh agama.

Realiti dan fakta sejarah berkaitan dengan politik umat Islam perlu dikaji supaya sikap dan tindak tanduk dalam berpolitik tidak mengundang perpecahan dan perselisihan umat yang keterlaluan sehingga menghancurkan sebuah negara Islam. Rakyat dan masyarakat bebas memilih setiap parti politik yang boleh memberi manfaat kepada diri mereka, agama dan negara.

Dalam pertengahan abad ke-tujuh Masihi, Saidina Ali yang merupakan pemimpin parti politik memberi kebebasan kepada ahli-ahli politiknya keluar dari parti politiknya apabila mereka tidak bersetuju dengan prinsip berpolitik yang dianuti oleh beliau. Beliau tidak bersetuju dengan sekumpulan kecil penyokongnya yang terlalu ghairah menyalah gunakan ayat-ayat al-Quran menghukum Muawiyah (khalifah wilayah umat Islam ketika itu) sebagai kafir. Kumpulan tersebut keluar daripada parti Ali dan menubuhkan pergerakan sendiri yang mana dikenali sebagai Khawarij.

Saidina Ali mempunyai prinsip yang kukuh dalam berpolitik dan mamahami konsep berpolitik dalam Islam. Beliau menentang kumpulan Khawarij apabila mereka menyalahgunakan ayat-ayat al-Quran. Beliau secara tegas mengatakan bahawa penentangan beliau terhadap Muawiyah hanyalah berkaitan dengan hal ehwal pentadbiran dalam negara bukan berkaitan dengan akidah Muawiyah.

Sikap dan pendirian Saidina Ali berkaitan dengan politk sepatutnya dijadikan panduan kepada umat Islam jika parti politik mereka tidak menerajui kepimpinan negara. Prinsip dan objektif perjuangan menentukan hala tuju perjuangan politik. Jika prinsip dan matlamat perjuangan hanya untuk mendapat kuasa maka pelbagai bentuk bai'ah yang menggerunkan digunakan kerana ditakuti kehilangan para ahli.

Jika prinsip dan objektif perjuangan berdasarkan kepada keredaan Ilahi dan kefahaman yang mendalam terhadap kepentingan agama dan masyarakat maka parti politik yang memperjuangkan syariah Islam tidak gentar mempunyai bilangan ahli yang sedikit kerana kekuatan parti bergantung kepada ketaatan dan kesetiaan secara sukarela bukan paksaan.

Perjuangan politik yang memperjuangkan Islam mempunyai pendirian yang mantap dan memahami kekuatan dan kelemahan parti politiknya. Kegigihan memperbaiki parti dan pemantauan terhadap kegiatan para pemimpin ahli politik dalam melaksanakan tugas dijadikan satu agenda terpenting untuk mendapat sokongan rakyat bukan berkompromi dengan musuh Islam sehingga mengorbankan prinsip dan objektif perjuangan suci.

Lantaran kuasa menjadi matlamat perjuangan maka kedudukan parti politik berslogan Islam terumbang-ambing dalam pergolakan pakatan parti politik yang tidak mempunyai haluan perjuangan Islam. Akhirnya, perjuangan selama berpuluh tahun terkandas dan prinsip perjuangan asal terkubur lantaran terlalu ghairah dengan kemenangan tanpa mengkaji risiko dan kesannya terhadap umat Islam.

Oleh itu, masyarakat Islam sepatutnya meneliti dan mengkaji sejauh manakah parti politik umat Islam memperjuangkan Islam sebelum membuat pilihan parti memerintah supaya mereka tidak terjerumus dalam peristiwa pisang berbuah dua kali.

Oleh Saodah Abd. Rahman
Prof. Madya Dr. Saodah Abd. Rahman, Jabatan Usuluddin dan Perbandingan Agama, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia

K7L : Tolong tanya pada pemimpin PAS..kedudukan yang manakah mereka letakkan ancala keIslaman dalam perjuangan?

0 ulasan:

Post a Comment

Nak Pesan Awal-Awal

Keris 7 Lok kata :
korang sume nak komen apapon..aku tak kisah..tapi kalau komen tu boleh didakwa di mahkamah..aku akan bekerjasama dengan pihak berkuasa dan tidak akan bertanggung jawab ke atas komen yang korang buat..anda tulis..anda dapat...

Arkib Keris 7 Lok

busuk