Sejarah ini dinukil oleh seorang anak Felda yang menyentuh hati Keris. Memang tepat kena kepada Mazlan yang tak sedar diri dan seperti tak tahu asalnya yang membesar dengan baik di Felda.
Ikuti luahan rasa anak peneroka Felda ini :
Kerajaan turut mengeluarkan budget tambahan menjadikan jumlah keseluruhannya pembukaan tanah rancangan Felda di Jengka mencecah kira-kira rm 347 juta.Segalanya dilakukan semata-mata ingin membantu rakyat untuk keluar dari kepompong kemiskinan.Ketika itu siapa saja orang Melayu yang ingin merubah nasib dan berminat untuk tinggal di tanah rancangan ini akan dibawa masuk tanpa mengira siapapun mereka.
Kalaulah hati manusia boleh dicabut dan dilonggokkan di atas meja pasti ketika itu mereka tahu siapa yang datang untuk menjadi pengkhianat kepada bangsa mereka sendiri dan kalaulah boleh di Scan atau tertulis pada perut ibunya bahawa anak yang bakal dilahirkan oleh warga Felda itu bakal menjadi pengkhianat dan penghasut kepada bangsanya sendiri, adalah lebih baik anak tersebut dilahirkan di tempat lain tetapi Allah tidak menjadikan kita sebegitu kerana Allah kurniakan kita akal untuk berfikir dan untuk digunakan dengan sebaiknya.
Bukan kekayaan yang dikejar, bukan kemewahan yang diharapkan tetapi cukuplah sekadar hidup yang lebih terjamin dan disediakan rumah yang lebih selesa walau hanya satu bilik, itulah secebis harapan yang tertanam di dalam sanubari setiap dari mereka yang berhijrah ke bumi bertuah ini. Dalam ribuan yang mengharapkan sesuatu yang belum pasti menjanjikan kesenangan, terselit kelibat arwah abah bersama ibuku sebagai pasangan yang bakal bergelar warga Felda.Selain dari pakaian dan beberapa buah pinggan mangkuk ibuku hanya sempat membawa satu senduk yang diraut dari sepohon pokok dan senduk tersebut masih kami gunakan sehingga hari ini.Walau ada senduk yang lain dibeli silih berganti dan satu daripadanya aku beli di Sarawak tetapi bagi kami senduk tersebut mempunyai sentimental value buat kami sekeluarga terutamanya pada emak.
Kawasan rumah yang dipenuhi semak samun ditebas satu persatu hingga menjadikan persekitaran tempat tinggal kami mula bersih.Dalam serba kepayahan ibuku tetap sabar melayan kerenahku yang sentiasa mahu didukung sementara abah bertungkus lumus mengerah kudrat yang ada demi ingin melihat kami hidup selesa.Pokok buah-buahan ditanam disekeliling rumah untuk dimakan oleh kami sekeluarga serta dikongsi bersama jiran yang lain.Walau tiada bekalan elektrik, pelita minyak tanah sudah memadai untuk menerangi kegelapan malam dan seterusnya kami beralih pada lampu 'gasoline' yang lebih terang.
Apabila set 'generator' diperkenalkan barulah kami mengenali rupa sebuah televisyen meskipun tiada warna itupun hanya mereka yang mampu sahaja yang memilikinya.Bekalan utama air adalah dari perigi yang digali sendiri dibelakang rumah atau sumber dari air sungai yang terdekat. Mengangkut air dari perigi sejauh kira-kira 100 meter jaraknya dari rumah merupakan rutin biasa bagi kami ketika itu.Berkongsi mandi bersama jiran bukanlah sesuatu yang asing pada kami malah ia menambahkan lagi semangat kejiranan sesama kami.Namun lama kelamaan perigi ini semakin pupus dan lebih malang lagi semangat kejiranan juga semakin luntur bagaikan ikut sama tenggelam ke dalam perigi yang terkambus.
Pendapatan peneroka ketika itu tidak semewah sepertimana yang peneroka perolehi hari ini.Kantin atau kedai koperasi yang disediakan sedikit membantu apabila mereka menyediakan segala barang keperluan yang boleh diambil dahulu sebelum gaji peneroka ditolak kemudiannya.Setelah dihitung dan ditolak hutang tersebut baki yang tinggal ada kalanya hanya rm 10 tetapi kami masih mampu bertahan.Aku sebagai anak walau masih kecil tapi sudah memahami kesusahan serta keperitan hidup ketika itu.Kerana itu tiada istilah memilih pakaian berjenama atau makanan yang sedap-sedap kerana bagi kami apa saja yang ada, itulah yang kami pakai dan itulah yang kami makan walau hanya nasi bersama kuah.
Itu hanya secebis kisah dari perjalanan hidup seorang yang bergelar anak kepada peneroka Felda walau aku tidak lagi tinggal di sana.Kini warga Felda sudah jauh berubah.Rumah yang dulunya kayu yang semakin reput kini berganti dinding batu yang kukuh bersama beberapa buah bilik malah ada juga yang sudah bergelar jutawan.Jika dulu ramai yang malu untuk mengaku sebagai anak Felda tapi kini status sebagai anak Felda tidak lagi dianggap sesuatu yang memalukan.Felda bukan lagi dianggap 'low class' tetapi telah menjelma menjadi sasaran dan impian manusia yang tamak untuk merebutnya, manusia yang tidak pernah melalui detik-detik kepayahan sebagaimana yang pernah kami lalui.
Jika dahulu tiada siapa yang peduli walau duit gaji hanya berbaki rm10 tetapi ramai yang mula iri hati setelah gaji yang diperolehi kini berbaki rm3 ribu hinggah rm5 ribu.Jika dahulu tiada siapa yang ingin berjuang dan membantu kami dalam menempuh kepayahan dan keperitan hidup, kini mereka tampil kononnya untuk menjadi pejuang...berjuang atau ingin merebut peluang?.Lebih malang lagi apabila ramai yang sudah lupa untuk mengucapkan syukur Alhamdulillah walau sentiasa berjubah dan berkopiah. Beringatlah...Jangan sampai hikayat lebai malang kembali berulang...jangan sampai menang sorak tanah Jengka tergadai.
Di zaman kanak-kanak kami semua bersatu sebagai sebuah masyarakat yang hidup bantu membantu serta bertegur sapa antara satu sama lain tapi kini setelah racun dan api kebencian mula meresap, warga Felda semakin berpecah.Tidak perlu dinafikan bahawa ramai anak-anak peneroka Felda yang berjaya dalam kehidupan mereka.Carilah di mana-mana syarikat gergasi ataupun bertaraf antarabangsa pasti kita akan terjumpa anak peneroka felda terselit di sana dengan menjawat jawatan yang tinggi atau cari saja dikalangan peniaga yang berjaya pasti ada diantara mereka yang bergelar anak peneroka Felda.
Malangnya ramai antara mereka yang bukan hanya menanam serta menyemai api kebencian malah meniup api tersebut ke seluruh pelusuk tanah Felda demi kepentingan mereka sendiri.Mereka lupa pada asal usul mereka dan mereka lupa pada orang yang pernah membantu ibu dan ayah mereka suatu ketika dahulu.Tidak dinafikan juga bahawa pasti ada segelintir pegawai yang bertugas di dalam institusi Felda yang menyeleweng dan tidak amanah dalam menjalankan tugas dan mereka ini memang patut dihukum tetapi adalah tidak wajar hanya kerana mereka seluruh warga Felda ingin dimusnahkan.
Biar apapun niat dan tujuan kita, walau apapun fahaman kita dan walau apa saja hasrat kita, selagi kita bergelar anak peneroka Felda aku ingin mengucapkan Selamat Menyambut Hari Peneroka walau kita tidak lagi bergelar seorang peneroka tetapi kita tetap generasi peneroka Felda.Ingatlah pada keringat ibu dan ayah yang bukan sedikit tumpah di bumi bertuah ini sebelum kita mencapai apa yang kita perolehi hari ini dan jangan biarkan mereka yang tidak pernah merasai kesejukan air perigi di tanah Felda dan tidak pernah terpijak duri semalu di bumi Felda merampasnya dengan mudah hanya dengan percikan air liur.
K7L : Haaa.terasa ye Mazlan?
0 ulasan:
Post a Comment