04/10/2012

Warkah Seorang Pelajar UIAM Tentang @NajibRazak Yang Tutup Mulut #ProMenipu




Tanggal 3 April 2009, tercatatlah satu peristiwa yang bersejarah dan bermakna untuk semua rakyat Malaysia. Pada tarikh inilah seorang insan yang dikenali sebagai Mohd. Najib Abdul Razak dipilih menjadi Perdana Menteri Malaysia yang ke-enam menggantikan mantan ketua beliau iaitu Abdullah Ahmad Badawi. Bak kata peribahasa, ‘ke mana tumpahnya kuah kalau tak ke nasi’ begitu sesuai jika hendak dikaitkan dengan pelantikan beliau sebagai Perdana Menteri kerana bakat dan kebolehan kepemimpinan yang seolah-olah diwarisi daripada allahyarham ayahanda beliau yang juga mantan Perdana Menteri Malaysia, Tun Abdul Razak .

Seperti mana yang biasa dilakukan mana-mana Perdana Menteri yang baru dilantik, iaitu memperkenalkan slogan-slogan baru untuk dijadikan satu falsafah atau hala tuju kepemimpinan masing-masing, Najib juga tidak ketinggalan dengan melancarkan satu falsafah gagasan 1Malaysia: Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan. Umumnya masyarakat agak sinis terhadap pendekatan baru yang dilancarkan beliau, ditambah pula dengan mainan api oleh pembangkang yang memperlekehkan falsafah yang cuba hendak dibawa dan diaplikasikan kepada masyarakat Malaysia.

Tanpa menoleh ke belakang lagi juga tanpa menghiraukan mainan yang cuba dimainkan ‘musuh-musuh’ politik beliau, Najib memperkenalkan Program Transformasi Kerajaan ataupun juga dikenali sebagai Government Transformation Programme(GTP). Melalui GTP ini, Bidang Keberhasilan Utama Negara ataupun National Key Result Area(NKRA) yang merangkumi tujuh perkara iaitu memerangi rasuah, mengurangkan kadar jenayah, meluaskan akses pendidikan yang berkualiti, memperkasa prasarana luar bandar, meningkatkan taraf hidup rakyat berpendapatan rendah serta memperbaiki dan menambah baik sistem pengangkutan awam serta yang terbaru memerangi kenaikan kos hidup rakyat di bandar. Untuk tiap-tiap NKRA ini, akan ada Menteri yang bertanggungjawab untuk memastikan pencapaian dan hasrat Perdana Menteri untuk membela rakyat melalui NKRA ini dicapai dan ia akan jadi satu Indeks Prestasi Utama(KPI) untuk setiap Menteri itu dianalisa prestasinya oleh Perdana Menteri.


Tidak cukup dengan itu, Najib memperkenalkan pula Program Transformasi Ekonomi ataupun Economic Transformation Programme(ETP) untuk membawa hala tuju baru dalam pertumbuhan ekonomi Negara bagi mencapai status Negara maju pada tahun 2020. ETP ini merangkumi 12 Bidang Ekonomi Utama Negara(NKEA) yang akan berfungsi sebagai penjana pertumbuhan ekonomi Negara kita. Antara 12 bidang itu ialah sektor minyak dan gas, pendidikan, pertanian, pelancongan, perkhidmatan kewangan, komunikasi, kesihatan, perladangan kelapa sawit, perkhidmatan perniagaan, Kuala Lumpur Raya, peruncitan, dan juga elektrik dan elektronik.

Najib tampak komited dan juga yakin dengan idea-idea barunya untuk memberi nafas baru kepada rakyat Malaysia yang inginkan perubahan dalam Negara kita ke arah yang lebih baik dan berdaya saing. Justeru, Najib melancarkan Model Baru Ekonomi(MBE) untuk membawa Malaysia menjadi sebuah Negara yang berpendapatan tinggi, inklusif dan juga kemampanan. Ini adalah tiga teras utama dalam MBE yang dilancarkan Najib untuk menjamin dan menyediakan kualiti hidup yang tinggi kepada rakyat Malaysia.

Apa yang sudah dinyatakan sebelum ini hanyalah picisan pembaharuan dan inisiatif penting dan utama yang dilakukan Najib, ini tidak termasuk dengan program-program lain yang beliau telah dan ingin lakukan seperti program tranformasi politik(PTP), penubuhan Unit Peneraju Agenda Bumiputera(TERAJU), pemansuhan undang-undang yang ‘drakonian’ yang sudah kurang relevan dengan suasana kini dan pelbagai lagi pendekatan dan tindakan yang diambil Najib bagi memenuhi dan menyempurnakan kehendak dan suara rakyat.

Rakyat mulai Nampak yang Najib begitu serius ingin membawa Malaysia ke arah yang positif dan sedikit demi sedikit keyakinan rakyat terutama generasi muda yang celik dalam zaman siber dan mudah mendapatkan maklumat di mana-mana sahaja naik mendadak. Golongan cerdik pandai melihat pendekatan Najib dalam kepemimpinannya berorientasikan idea, dan juga angka. Najib begitu menekankan pencapaian dan pertumbuhan pesat ekonomi Malaysia dan dengan itu beliau bekerja keras untuk membuktikan kepada rakyat hasilnya melalui fakta dan juga angka-angka pencapaian ekonomi.

Inilah pendekatan dan juga model kepemimpinan yang diidamkan generasi muda yang mana politik diamalkan adalah politik yang mempunyai nilai-nilai yang baik. Politik yang dibawa adalah politik berasaskan musyawarah, idea, hujah dan fakta, dan juga bersandarkan semangat dan prinsip-prinsip ilmiah dan akhlak yang mulia. Pendekatan sederhana Najib dalam berpolitik menyebabkan orang muda Melayu dan bukan Melayu berasa selesa dengan beliau. Ini dapat dilihat melalui sambutan golongan belia yang begitu positif di Hari Belia Negara 2011 yang mana generasi belia ini bersedia menyahut aspirasi Kerajaan pimpinan beliau untuk sama-sama benganding bahu tanpa mengira ras, agama, budaya, dan fahaman politik untuk menbawa Malaysia ke persada yang lebih kompetitif.

Umum mengetahui bahawa generasi muda bakal menjadi pemimpin masa hadapan dan mereka jugalah golongan pengundi yang akan menentukan kepemimpinan Negara untuk masa akan datang. Najib berusaha untuk merapatkan jurang antara kepemimpinan Negara dengan rakyat terutama golongan belia dengan menyediakan program dan inisiatif untuk membantu golongan muda dalam menjalani kehidupan seharian seperti kemudahan pinjaman perniagaan, bantuan kemudahan perumahan, aktiviti-aktiviti intelektual di IPT seluruh Negara dan pelbagai lagi yang dilakukan Najib.

Inilah yang dinamakan iltizam politik seorang pemimpin yang dinanti-nanti rakyat di Negara ini. Seorang pemimpin yang sanggup mengambil langkah berani walaupun hingga ke tahap mempertaruhkan kerjaya politiknya, tapi ia tidak mampu menggugat Najib untuk melaksanakan apa yang patut beliau lakukan demi rakyat walaupun popularitinya sebagai ahli politik bakal terjerumus. Mungkin pada beliau, biarlah kurang popular dan pengaruh,tapi hasil kerja dan keputusannya nampak dan dapat dimanfaatkan semua.

Politik sebegini adalah politik zaman kini. Jika mana-mana pemimpin masih lagi mengamalkan orde lama dalam berpolitik iaitu politik dendam, benci-membenci, cantas-mencantas dan kuat mengampu, sedarlah saat kejatuhan sedang menimpa. Kita perlukan pemimpin politik yang konsisten, berpandangan jauh, berprinsip dan yang meletakkan kepentingan Negara atas segalanya sebagai pemimpin baru untuk Malaysia yang baru. Ciri-ciri inilah yang Najib sedang atau mungkin harus dipraktikkan untuk survival politik beliau.

Tetapi, harus diingatkan juga kepada beliau tidak kira tinggi mana dan jauh mana hendak dibawa Malaysia ini kearah kemajuan dan kemakmuran, nilai dan asas Negara ini jangan dilupakan sehingga tercicir dalam perjalanan yang penuh liku dan cabaran kea rah destinasi Negara maju. Apakah nilai dan asas itu? Tak lain dan tak bukan iaitu Islam dan Melayu.


Jangan dilupa ajaran Islam supaya menjadi teras dan akar dalam membangun dan menjaga Negara ini kerana sebagai Khalifah dan juga hamba Allah SWT, Najib mesti tegas dalam melaksanakan tuntutan agama yang mesti beliau laksanakan sebagai pemimpin agar objektif mencapai sebuah Negara yang sering disebut cendiakawan-cendiakawan Islam sebagai ‘Baldatun Tayyibatun Wa Rabbun Ghafur’ yang maksudnya Negara yang aman makmur lagi dirahmati Tuhan dapat direalisasikan.

Keutuhan dan juga kewibawaan umat Melayu juga harus dipandang serius oleh Najib kerana sebagai penduduk asal dan majoriti di Malaysia ini, jika orang-orang Melayu dibiarkan ketinggalan dalam arus kemajuan dan kepesatan pertumbuhan ekonomi Negara, kita takut Negara ini bukannya maju kehadapan tetapi sebaliknya maju kebelakang kerana masih ada rakyat yang keciciran dalam arus kemodenan dan yang lebih menyedihkan lagi golongan rakyat itu ialah golongan majoriti di Negara tersebut. Kita tidak mahu seperti apa yang disebut dalam peribahasa Melayu ‘menang sorak kampong tergadai’ dan akhirnya orang-orang Melayu hanya mampu melopong melihat tanah airnya diratah ‘orang’ lain yang sentiasa mengintai untuk meratah tanah bertuah ini.

Kami generasi muda Malaysia ingin meminta diberikan tempat dalam hati pemimpin-pemimpin Negara dan harap suara kami didengari dalam membuat keputusan untuk kepentingan Negara kerana kami percaya kamilah yang akan diberi amanah oleh Tuhan untuk mewarisi kepemimpinan dan kemerdekaan tanah yang tercinta ini kelak. Kami harap Perdana Menteri kami, Najib Razak jangan sesekali terlepas pandang dalam membentuk dan membimbing kami ke jalan yang betul serta diredhai Tuhan kerana ada bijak pandai pernah mengatakan bahawa ‘nak tengok Negara masa depan bagaimana, tengoklah generasi muda kini’. Jika kata-kata inilah yang dijadikan kayu ukur pemimpin dan keadaan masa depan Negara, rasanya pemimpin-pemimpin kini patut berasa risau dengan keadaan remaja dan orang muda kini yang hanyut dengan arus dunia dan hidup tanpa hala tuju dan pengangan yang jelas untuk menongkah arus kehidupan yang makin mencabar hari demi hari.

Akhir kalam dari saya, kepada Perdana Menteri saya yang dikasihi, teruskan usaha anda untuk terajui Negara ini ke destinasi yang anda ingin capai dengan gigih dan jangan cepat berputus asa kerana Allah SWT pernah memberi pedoman kepada kita semua yang “Allah tak akan ubah nasib sesuatu kaum itu,sehingga mereka yang mengubahnya sendiri” (13:11) -  .
MyNashrulHaziq

Keris tertarik dengan tulisan ini. Warkah ini telah digarap pada tahun 2011 oleh seorang anak muda bernama Nashrul Haziq, pelajar Universiti Islam Antarabangsa Malaysia yang kini bakal menjadi graduan lulusan Bachelor of Business Administration. 

K7L : Masih ada anak muda UIAM yang sedar tentang kerajaan Malaysia..bukti bukan semua sokong pembangkang..

0 ulasan:

Post a Comment

Nak Pesan Awal-Awal

Keris 7 Lok kata :
korang sume nak komen apapon..aku tak kisah..tapi kalau komen tu boleh didakwa di mahkamah..aku akan bekerjasama dengan pihak berkuasa dan tidak akan bertanggung jawab ke atas komen yang korang buat..anda tulis..anda dapat...

Arkib Keris 7 Lok

busuk