Soalan (Dato Raja Nong Chik) : Kenapa umat islam pada hari ini di dunia ini lebih berpecah belah. Saya lihat lebih banyak umat Islam yang bergaduh antara satu sama lain berbanding umat-umat yang lain, antaranya negeri China atau negeri yang besar populasinya mereka boleh bersatu. Tetapi umat Islam di dalam satu negara Islam pun mereka bergaduh antara satu sama lain. Apa sebab-sebabnya dan bagaimana cara mengatasinya.
Jawapan:
Bismillah,
Umar Al-Khatthab RA pernah menyebut,
إنا قوم أعزنا الله بالإسلام فلن نبتغي العز بغيره
“Sesungguhnya kami merupakan kaum yang Allah muliakan dengan Islam dan kami tidak memerlukan kemulian selain daripadanya (Islam).”
Pertama, ini adalah sunnatullah (ketentuan dan ketetapan Allah). Buktinya adalah sabda Nabi SAW,
وسَتَفْتَرِقُ أُمَّتِي عَلَى ثَلَاثٍ وَسَبْعِينَ فِرْقَةً كُلُّهَا فِي النَّارِ إِلَّا وَاحِدَةً قِيْلَ: مَنْ هِيَ يَا رَسُولَ اللَّهِ قَالَ :هُمُ الَّذِيْنَ عَلَي مِثْلِ مَا أَنَا عَلَيْهِ الْيَوْمَ وَأَصْحَابِي
“Akan berpecah umatku menjadi 73 kelompok. Semuanya di dalam neraka kecuali satu.” Sahabat bertanya, “Siapakah dia (satu kelompok yang terselamat) wahai Rasulullah?” Jawab Rasulullah, “Mereka adalah orang-orang yang semisal dengan apa yang aku dan sahabatku berada di atasnya pada hari ini.” (riwayat Abu Dawud no. 4596, Tirmidzi no. 2640, Ibnu Majah no. 3991, Ahmad 2/332)
Hadis ini menjelaskan kepada kita bahawa perpecahan merupakan sunnatullah yakni ketentuan Allah SWT. Mengapa Allah SWT mentakdirkan perpecahan ini, mengapa Allah SWT tidak menyatukan semua umat Islam? Firman Allah SWT,
الَّذِي خَلَقَ الْمَوْتَ وَالْحَيَاةَ لِيَبْلُوَكُمْ أَيُّكُمْ أَحْسَنُ عَمَلا وَهُوَ الْعَزِيزُ الْغَفُورُ
“(Dia) Yang menciptakan mati dan hidup, supaya Dia menguji kamu, siapa di antara kamu yang lebih baik amalnya. dan Dia Maha Perkasa lagi Maha Pengampun.” (surah Al-Mulk, 67 : 2)
إِنَّ الشَّيْطَانَ قَدْ أَيِسَ أَنْ يَعْبُدَهُ الْمُصَلُّونَ في جَزِيرَةِ الْعَرَبِ وَلَكِنْ في التَّحْرِيشِ بَيْنَهُمْ
“Sesungguhnya syaitan telah merasa bosan (putus asa) untuk menjadikan mereka disembah di Tanah Arab, tetapi syaitan akan memecah belahkan di antara mereka.” (riwayat Imam Muslim: 2812, at-Tirmidzi: 1937, Ahmad: 3/313, 354, Abu Ya’la: 2294, al-Baghowi dalam Syarh Sunnah: 3525, Ibnu Abi Ashim dalam as-Sunnah: 8, Ibnu Hibban: 64, 1836 dari jalur sahabat Jabir bin Abdillah RA)
Sabda Nabi SAW adalah benar dan pasti terjadi. Jadi kita lihat masyarakat arab pada hari ini benar-benar berpecah. Kalau mereka bersatu, kita akan memiliki upaya yang kuat, tetapi masyarakat di Timur Tengah pada hari ini masing-masing berpecah, kembali kepada puncanya seperti kata Umar Al-Khatthab “Kami adalah kaum yang Allah muliakan dengan Islam”, tetapi sekiranya ada kaum yang mencari kemuliaan selain daripada Islam maka pada ketika itu kita akan berhadapan dengan bencana, perpecahan dan fitnah.
Sebab itu kata Nabi di dalam hadis,
يُوشِكُ أَنْ تَدَاعَى عَلَيْكُمْ الْأُمَمُ مِنْ كُلِّ أُفُقٍ كَمَا تَدَاعَى الْأَكَلَةُ عَلَى قَصْعَتِهَا. قَالَ: قُلْنَا يَا رَسُولَ اللَّهِ أَمِنْ قِلَّةٍ بِنَا يَوْمَئِذٍ قَالَ: أَنْتُمْ يَوْمَئِذٍ كَثِيرٌ وَلَكِنْ تَكُونُونَ غُثَاءً كَغُثَاءِ السَّيْلِ يَنْتَزِعُ الْمَهَابَةَ مِنْ قُلُوبِ عَدُوِّكُمْ وَيَجْعَلُ فِي قُلُوبِكُمْ الْوَهْنَ قَالَ: قُلْنَا وَمَا الْوَهْنُ قَالَ: حُبُّ الْحَيَاةِ وَكَرَاهِيَةُ الْمَوْتِ
“Hampir sahaja umat ini (umat Islam) akan diserang oleh golongan kuffar yang membenci Islam sama seperti orang yang lapar menuju kepada pinggan yang dihidangi dengan makanan. Sahabat Nabi bertanya, ‘Adakah kami pada ketika itu berada dalam kelompok yang kecil sehingga kami diserang sedemikian rupa?’ Jawab Nabi SAW, ‘Tidak, bahkan kalian ramai jumlahnya tetapi kalian ibarat buih di lautan (tidak bermanfaat). Pada hari itu ALLAH tanggalkan dari hati musuh-musuh perasaan hormat kepada kalian dan ALLAH campakkan ke dalam hati kalian penyakit al-wahn.’ Sahabat bertanya, ‘Apakah itu al-wahn?’ Kata Nabi, ‘Cintakan dunia dan takut mati.’” (riwayat Abu Dawud)
Musuh yang benci pada Islam pada hari ini tidak lagi menghormati sensitiviti umat Islam, buktinya mereka tidak gerun untuk mengeluarkan filem-filem seperti Innocence of Muslim dan Fitna, mereka mengeluarkan tulisan-tulisan Irshad Manji, mereka menyebarkan perkataan-perkataan yang menyeru kepada liberal dan plural, mereka berani mengeluarkan tulisan Salman Rushdie dan sebagainya.
Mereka tidak merasa takut. Mereka mengeluarkan filem-filem dan tulisan yang menghina umat Islam dan akhirnya umat Islam yang dipersalahkan apabila bertindak balas melampaui batas. Allah cabutkan perasaan gerun dan hormat mereka terhadap umat Islam setelah umat Islam diserang penyakit cintakan dunia, dan takut kepada kematian. Ini adalah antara puncanya.
Kalau kita hendak bercakap punca perselisihan umat Islam pada hari ini; punca isu akidah, mazhab, perselisihan pendapat yang tidak ditangani dengan adaabul ikhtilaf(adab dalam berselisih), perbezaan politik, dan sebagainya.
Apabila melihat orang lain berbeza dengannya maka segelintir umat Islam terus mengatakan golongan itu sesat, kafir, dan bodoh. Ini masalahnya apabila manusia tidak menanganinya dengan adab dan kaedah yang betul.
Perselisihan politik pada hari ini sangat kronik sehingga sesetengah pihak menjadikan agama sebagai satu alat untuk mendapatkan sokongan, kuasa politik dan seumpamanya. Ini tidak boleh, sebaliknya kepentintingan agama perlu didahulukan melebihi kepentingan politik.
Perpecahan dari sudut akhlak dan sikap, sangat banyak untuk dihuraikan secara detil. Tapi itulah di antara faktor-faktor dan sebabnya; iaitu kelemahan umat Islam disebabkan mereka memilih sesuatu selain daripada Islam, dan mereka menginginkan kemuliaan selain daripada tunduk kepada agama mereka sendiri, serta cinta kepada dunia.
Akhir sekali saya bawakan kalam Allah di dalam Al-Quran,
هُوَ الَّذِي أَرْسَلَ رَسُولَهُ بِالْهُدَىٰ وَدِينِ الْحَقِّ لِيُظْهِرَهُ عَلَى الدِّينِ كُلِّهِ وَلَوْ كَرِهَ الْمُشْرِكُونَ
Ertinya: “Dia-lah yang telah mengutus Rasul-Nya dengan petunjuk dan agama yang benar bertujuan untuk menzahirkan (menonjolkan Islam) atas segala agama (yang lain), walaupun orang-orang musyrik membencinya.” (surah At-Taubah, 9: 33)
Maka tugas Rasul telah jelas iaitu untuk menzahirkan Islam, begitu juga kita bertanggungjawab untuk zahirkan Islam. Walaupun tidak melalui jubah dan serban, tetapi melalui etika yang sesuai dengan apa yang dituntut di dalam Islam.
Wallaahu A’lam.
K7L : Mestilah Dato RNC diam..sebab dia khusyuk dengar jawapan..
0 ulasan:
Post a Comment