04/02/2013

Dimana Kedudukan Orang Melayu Di Singapura Sekarang?




Nota tentang kedudukan Melayu di Singapura

Selepas menamatkan penulisan bab mengenai Tok Talib 19 Februari 2011 penulis terlihat satu perbincangan menarik di Internet. Seorang kenalan dari Singapura, penyanyi dan penggubah lagu-lagu kerakyatan (folk songs), saudara Art Fazil yang biasa berulang-alik ke Kuala Lumpur malah sering juga berkarya di London telah membangkitkan satu bahagian perlembagaan Singapura yang selama ini mungkin ramai terlepas pandang. Sebelum itu biar diberitahu. Rasanya umum sedar orang Melayu di Singapura adalah minoriti dalam sebuah pulau yang hampir seratus-peratus dikuasai bangsa Cina hasil polisi Inggeris meminggirkan pribumi sejak sekian lama.

Kepada pembaca yang tidak tahu biar diingatkan inilah realiti sebenar di mana walaupun ia sudah mencapai tahap negara maju hakikatnya Singapura takut dengan bayang-bayang kerana dikelilingi jiran-jiran seperti Malaysia dan Indonesia yang majoritinya Melayu Islam. Atas sebab ini orang Melayu Singapura tidak dapat memegang kedudukan tinggi terutama dalam bidang ketenteraan. Ditakuti jika berlaku peperangan orang Melayu situ akan menyokong saudara-mara di luar, bukan kerajaan Singapura yang pro-Cina.

Walaupun ada orang Melayu Singapura cuba menafikan keadaan ini dengan menyebut taraf kehidupan mereka lebih tinggi berbanding saudara sebangsa seagamanya di Malaysia tanpa memerlukan subsidi dan lain-lain keistimewaan Bumiputra, hakikatnya mereka cuma dianggap sebagai satu minoriti kecil yang pandangannya tidak perlu diambil berat oleh pemerintah. Ini boleh dilihat dengan kenyataan terbaru Menteri Mentor Lee Kuan Yew, dahulunya Perdana Menteri Singapura selama beberapa dekad. Tanpa mempedulikan sensitiviti kaum, beliau telah meminta orang Melayu agar ‘meringankan’ amalan mereka dalam beragama agar dapat bergaul lebih baik dengan bangsa-bangsa lain, satu kenyataan yang mengguris perasaan banyak pihak.

Kenyataan beliau ini seperti menggambarkan orang Melayu adalah kolot dan ketinggalan zaman kerana berpegang teguh pada Islam. Apakah dengan ‘meringankan’ amalan seperti sudi duduk semeja ketika orang lain makan babi atau sedia minum arak dikira formula terbaik untuk meningkatkan interaksi antara kaum? Lupakah Lee akan perlembagaan Singapura yang harus mempertahankan hak orang Melayu? Dengan ini biar dipaparkan isi perlembagaan yang berkaitan.

Perhatikan Artikel 152 bahagian (2) yang menyebut “The Government shall exercise its functions in such manner as to recognise the special position of the Malays, who are the indigenous people of Singapore, and accordingly it shall be the responsibility of the Government to protect, safeguard, foster and promote their political, education, religious, economic, social and cultural interest and the Malay language.” 

Terjemahan penulis: “Kerajaan akan menjalankan fungsi-fungsinya dengan cara yang sepatutnya untuk mengiktiraf kedudukan istimewa orang Melayu, yang merupakan penduduk asal Singapura, maka dengan itu adalah menjadi tanggungjawab Kerajaan untuk melindungi, menjaga keselamatan, menggalakkan dan mempromosi kepentingan politik, pendidikan, keagamaan, ekonomi, sosial dan kebudayaan mereka dan bahasa Melayu.” Perhatikan juga Artikel 153 bahagian (2) yang menyebut “The national language shall be the Malay language and shall be in the Roman script.” Walaupun bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris turut diiktiraf sebagai antara empat bahasa rasmi di Singapura, bukankah ini cukup untuk menunjukkan keutamaan Bahasa Melayu sebagai Bahasa Kebangsaan walaupun cuma dipakai dalam tulisan Rumi, bukannya Jawi?

Isi Artikel 152 dan 153 perlembagaan Singapura ini hampir membayangkan aspirasi yang termuat dalam Artikel atau Perkara 152 dan 153 perlembagaan Malaysia, mungkin akibat Singapura pernah berada di dalam Malaysia 1963-1965. Perbezaan besar cuma terletak pada kedudukan orang Melayu sebagai minoriti di Singapura berbanding saudara-mara mereka yang merupakan majoriti di Malaysia. Selain itu Melayu Singapura juga tidak memiliki satu institusi pelindung tertinggi seperti jabatan Yang dipertuan Agong dan Raja-raja Melayu yang kedudukan mereka turut diperuntukkan di dalam perlembagaan Malaysia sebagai memiliki hak penuh dalam menjaga hal-ehwal agama Islam dan adat-istiadat Melayu.

Namun isi perlembagaan Singapura itu cukup jelas. Orang Melayu di pulau itu sepatutnya turut mendapat keistimewaan serupa seperti di Malaysia. Menarik juga difikirkan apabila ada puak chauvinis berbangsa Cina di Malaysia sibuk cuba menjatuhkan kedudukan orang Melayu dengan menuduh kita sebagai pendatang konon, bukan penduduk asal Tanah Melayu. Walhal pada perlembagaan Singapura sendiri, sebuah negara yang sudah lama dipimpin puak chauvinis Cina terdapat kenyataan yang menyebut bahawa orang Melayu adalah penduduk asal pulau Singapura.

Apapun, itu cuma idealisma di atas kertas yang nampaknya baru kini cuba dibangkitkan penduduk Singapura akibat reaksi terhadap kenyataan Lee Kuan Yew yang menghiris perasaan orang Melayu dan Islam. Realitinya, pergerakan penduduk Melayu Islam yang membentuk kurang 15 peratus dari 4 juta lebih rakyat Singapura dipantau, disukat dan digugat. Difahamkan pada setiap kawasan rumah pangsa yang terdapat di Singapura ada diterapkan polisi sekurang-kurangnya 70 peratus penduduk mesti bukan Melayu. Alasannya adalah untuk menggalakkan interaksi antara kaum tapi hakikatnya agar orang Melayu tidak terlalu kuat bersatu.

Artikel 152 perlembagaan Singapura mungkin bercakap tentang melindungi hak orang Melayu. Tetapi hakikatnya mereka cuma satu minoriti dari pelbagai bangsa yang didominasi bangsa Cina. Keadaan orang Melayu di Singapura hampir sama dengan kaum Red Indian di Amerika Syarikat , kawasan tempat tinggal utama mereka dahulukala misalnya di Kampung Gelam dan sekitar Masjid Sultan dipertontonkan sebagai satu warisan untuk tarikan pelancong. Perlindungan apa jika bekas istana Sultan dijadikan muzium? Kenapa tidak dipertahankan sebagai satu pusat kepimpinan orang Melayu?

Mungkin pemerintah Singapura mahu mengambil contoh dari keadaan di seberang Tambak Johor di mana Istana Besar Johor yang mula dibina 1864 sebelum siap 1866 dijadikan Muzium Diraja Abu Bakar 1982. Tapi itu dengan perkenan Sultan Johor yang memiliki beberapa istana lain. Istana Kampung Gelam di Singapura yang kini menjadi muzium adalah satu-satunya warisan kepimpinan orang Melayu yang tinggal di pulau itu. Jika pusat kepimpinan yang merupakan istana milik Sultan Hussain Shah pada zaman kedatangan Raffles 1820an telah dijadikan bahan tontonan umum tanpa diberikan ganti serupa taraf yang dapat menyatukan orang Melayu, apakah yang dipraktikkan dari Artikel 152?


K7L : Beringatlah wahai anak bangsaku..

2 ulasan:

  1. bersatulah wahai kaum melayu .. bersama-sama kita mempertahankan hak kita sbg penduduk asal di di TANAH MELAYU . .

    ReplyDelete
  2. dlm kata lain islam mudah.contohnya kalau kita dengar ceremah pun dpt pahala

    ReplyDelete

Nak Pesan Awal-Awal

Keris 7 Lok kata :
korang sume nak komen apapon..aku tak kisah..tapi kalau komen tu boleh didakwa di mahkamah..aku akan bekerjasama dengan pihak berkuasa dan tidak akan bertanggung jawab ke atas komen yang korang buat..anda tulis..anda dapat...

Arkib Keris 7 Lok

busuk