23/12/2011

Perspektif @tunfaisal Dalam Utusan Memihak Pro-M?



Mahasiswa harus waspada ancaman budaya politik luar kampus.



Dipetik dari Ruangan Perspektif Utusan Malaysia m/s 12
22 Disember 2011
Utusan Online



Oleh TUN FAISAL ISMAIL AZIZ
PENULIS ialah Pengerusi Unit Media Baru Pergerakan Pemuda UMNO Pusat

SAYA masih ingat kira-kira seminggu selepas Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) dimansuhkan pada 15 September tahun ini, saya bersama beberapa rakan turun padang ke sebuah kampus di Pantai Timur untuk berdialog dengan mahasiswa.

Dalam program itu, saya ajukan pertanyaan adakah mereka mengikuti, membaca atau meneliti pembentangan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mengenai pemansuhan akta itu. Jawapan beberapa orang mahasiswa adalah tidak.

Saya bertanya lagi, adakah sesiapa 'browse' kenyataan itu di Internet, jawabnya tidak juga. Dan saya bertanyakan lagi, adakah sesiapa yang membaca akhbar keesokannya mengenai apa perancangan kerajaan ekoran pemansuhan itu. Semua mendiamkan diri.

Itu antara secebis pengalaman saya mengenai gambaran tentang bagaimana mahasiswa institut pengajian tinggi membentuk persepsi terhadap perubahan dasar yang dilakukan kerajaan. Ia mungkin bukan rumusan menyeluruh tentang sikap mahasiswa universiti keseluruhannya, namun ia adalah pola yang membimbangkan.

Kebanyakan mereka mendapat maklumat sekadar melalui bersembang di laman sosial facebook dan twitter. Dikhuatiri tanpa maklumat dan fakta tepat, pemikiran mahasiswa akan mudah dimanipulasikan oleh pihak-pihak yang tidak bertanggung jawab, terutama parti politik luar.

Budaya politik daripada luar kampus hakikatnya mengancam institusi kampus jika mahasiswa tidak berwaspada. Apatah lagi dengan keputusan kerajaan untuk meminda Seksyen 15 Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) bagi membolehkan mahasiswa pusat pengajian tinggi menyertai parti politik.

Maka dalam soal ini, tahap kewaspadaan perlu dipertingkatkan dalam diri agar mahasiswa tidak kecundang dalam persaingan akademik dan kebolehpasaran, selain mengungguli aspirasi tulen dan bukan aspirasi yang disuapkan kepada mereka.

Dalam hal ini, saya ingin menarik perhatian apabila sekumpulan anak muda menurunkan bendera Perdana Menteri di PWTC tempoh hari. Adakah itu nilai mahasiswa dalam berpolitik. Jika menurunkan bendera itu dianggap perlakuan yang maha hebat, maka tafsiran itu silap dan sempit kerana seorang pemimpin yang hebat, hebat kerana sikapnya yang bertanggungjawab, ada pemikiran sivil, bisa berunding dan bukannya bertindak ala samseng. Kalau tidak mampu untuk mengawal diri dan kumpulan, itu bukan suatu budaya politik baru sebaliknya hanya budaya politik usang dan jalanan.

Sebagai seorang yang pernah menjadi pemimpin mahasiswa di Universiti Sains Malaysia (USM) sekitar 1991 hingga 1996, saya dan rakan-rakan tidak pernah menganggap Seksyen 15 AUKU sebagai halangan. Malah bagi kami, bagus juga ada peruntukan ini agar mahasiswa dapat dipastikan bebas, tidak partisan dan benar-benar membawa aspirasi yang tulen.

Paling tidak dikehendaki menerusi pindaan AUKU nanti adalah jika mahasiswa membawa masuk kebejatan budaya politik luar ke dalam kampus sedangkan masyarakat mengharapkan agar mahasiswa menjadi pencetus kepada budaya politik baru.

Apabila mahasiswa menjadi kader parti-parti politik tertentu, dibimbangi mereka akan membawa acuan politik luar. Janganlah membawa aspirasi politik seperti mana seorang calon MPP yang diberitakan diculik, sedangkan itu taktik politik luaran yang disuapkan bagi menarik simpati demi memenangi kerusi di kampus.

Sepatutnya mahasiswa berjiwa besar dengan melontarkan politik merit dan bukannya politik 'copycat'. Politik merit ini berkisar misalnya memberi justifikasi kenapa 'saya patut menjadi pemimpin dan suara kepada mahasiswa Universiti Teknologi Mara (UiTM) yang mewakili lebih 170,000 mahasiswa', memperincikan apa yang hendak ditawarkan dan rasionalnya penawaran itu.

Cuba kita kembali ke 'demonstrasi aman' kumpulan mahasiswa propembangkang di PWTC berkenaan yang kononnya 'berjaya' menurunkan bendera Perdana Menteri. Cuba kita mencari-cari di manakah mahasiswa berbangsa Cina atau India dalam foto berkenaan. Saya mungkin silap, tetapi tidak kelihatan mahasiswa berbangsa lain selain Melayu berarak, berdemo menuju ke PWTC kononnya mahu menuntut kebebasan mahasiswa.

Saya mencari-cari jawapan tersebut, lalu saya menghubungi beberapa mahasiswa yang saya kenali. Jawapan mereka senada iaitu kerajaan tidak pernah menyekat mana-mana mahasiswa untuk bersuara, tetapi perlulah melalui landasan yang betul bukan di jalan raya. Saya juga bertanyakan kenapa tiada mahasiswa berbangsa lain selain Melayu. Adakah mahasiswa berbangsa lain sibuk menelaah manakala mahasiswa berbangsa Melayu sibuk berpolitik walhal dari segi CGPA mereka hanya cukup-cukup makan?

Jawapannya memang benar, bangsa lain sibuk bersaing sesama sendiri untuk mendapatkan keputusan yang baik kerana mereka sedar keputusan cemerlang mampu menempatkan diri mereka di kedudukan terbaik bila mereka menghabiskan pelajaran kelak. Lihat saja keputusan peperiksaan mahasiswa Universiti Tunku Abdul Rahman (UTAR) yang hanya mempunyai enrolmen 18,279 mahasiswa dengan mengeluarkan 6,834 graduan setahun dan yang mendapat kelas pertama antara Januari hingga Julai 2010 adalah 217 orang.

Bandingkan dengan UiTM yang mempunyai enrolmen 139,634 mahasiswa, mengeluarkan 35,038 graduan setahun dan hanya 381 graduan mendapat ijazah kelas pertama. Begitu juga dengan USM bertaraf APEX yang mempunyai 27,372 pendaftaran dengan mengeluarkan 7,261 graduan setahun tetapi hanya 97 mendapat kelas pertama. Ini belum lagi kita memperincikan tentang kebolehpasaran mereka.

Pemimpin mahasiswa yang hebat tidak dilahirkan hanya dengan membenarkan mereka menyertai parti politik. Pemimpin yang diperlukan bukan pula hanya untuk bidang politik, tetapi dalam pelbagai bidang yang lain termasuk bidang professional. Mempunyai kesedaran politik, berpolitik dan menyertai parti politik adalah tiga perkara yang berbeza.

Jangan disempitkan skop politik kepada hanya mengenai berpolitik dan menyertai parti politik. Jika hendak ada kemahiran berpolitik, tidak perlu menyertai parti politik. Di dalam pejabat pun kita berpolitik, di kalangan adik-beradik pun ada politiknya. Demikian juga di dalam NGO, ada politiknya.

Jika mahasiswa benar-benar mahu menyumbang kepada negara, mereka perlu jadi lebih bijak dan kreatif. Mahasiswa perlu lebih matang dari segi artikulasi dan substance. Mahasiswa tidak wajar sama sekali meniru kebejatan cara berpolitik ahli-ahli politik di luar kerana mereka adalah ibarat kain putih yang perlu dicorakkan dengan warna-warna yang murni.

Mereka perlu menghidupkan politik baru dan berpolitik secara yang bermaruah. Carilah sebanyak mungkin maklumat sebelum membentuk persepsi dan membuat keputusan. Jangan sampai begitu mudah diperdayakan dan diperalatkan.

Adakah para pemimpin mahasiswa atau mahasiswa sendiri sebelum AUKU dipinda, tidak hebat? Adakah kerana kita tidak masuk politik, kita tidak hebat?

Baca juga di SINI dan lihat pendapat Mahasiswa tentang tindakan biadap Adam Adli di SINI.



Islam Agamaku! Melayu Bangsaku! 

Dirgahayu Malaysia Tanahairku!

Keris 7 Lok kata: Apa yang ditulis dalam memorandum pro-aspirasi pada PM dan Saifuddin? Keris akan cuba siarkan secepat mungkin..dari semalam ada masalah teknikal..

0 ulasan:

Post a Comment

Nak Pesan Awal-Awal

Keris 7 Lok kata :
korang sume nak komen apapon..aku tak kisah..tapi kalau komen tu boleh didakwa di mahkamah..aku akan bekerjasama dengan pihak berkuasa dan tidak akan bertanggung jawab ke atas komen yang korang buat..anda tulis..anda dapat...

Arkib Keris 7 Lok

busuk