08/01/2018

Harga Barang Keperluan Asas Naik Mendadak?



ARKIB : 09/07/1998

Harga barang keperluan asas naik mendadak


KUALA LUMPUR 8 Julai - Hampir semua barangan keperluan asas, termasuk barang yang sepatutnya terkawal harganya seperti gula, susu dan tepung mengalami kenaikan secara mendadak sejak kebelakangan ini, berbanding keadaan tiga bulan lalu.

Tinjauan Utusan di pasar-pasar raya dan kedai runcit di seluruh negara hari ini dan semalam mendapati bukan sahaja harga barang keperluan yang diimport melambung tinggi, malah peningkatan turut melibatkan barangan keluaran tempatan.

Kebanyakan pengguna yang ditemui mengeluh kerana mereka terpaksa berbelanja lebih tetapi tidak ada pilihan lain memandangkan ia melibatkan barangan keperluan harian.

Di sekitar ibu kota dan Klang, wartawan Utusan Marhaini Kamaruddin dan Radzuan Hassan melaporkan para pengguna mula resah apabila lonjakan harga barang berlaku pada kadar yang jauh lebih tinggi berbanding sebelum kegawatan ekonomi, malah turut melibatkan barang kawalan seperti gula dan tepung.

Dalam tinjauan di beberapa pasar raya dan kedai runcit didapati, harga sekilogram gula pasir yang sepatutnya terkawal harganya kini RM1.50 berbanding RM1.45, manakala tepung gandum pula naik sebanyak 40 sen menjadikannya RM1.60 sekilogram.

Selain itu, para peniaga juga didapati meletakkan harga sewenang-wenang apabila seguni tepung gandum seberat 25 kilogram dijual dengan kadar yang pelbagai ia itu antara RM29.50 dan RM32.

Turut meningkat ialah harga susu pekat pelbagai jenama yang kini dijual RM2 hingga RM2.30 setin 397 gram berbanding RM1.75 dan RM1.60 yang ditetapkan oleh kerajaan berkuatkuasa 1 Februari lalu.

Harga minyak masak pula naik daripada RM2.40 kepada RM2.60 sekilogram, manakala harga setin susu tepung seberat dua kilogram didapati meningkat dengan ketara sekali iaitu sebanyak RM3 daripada RM26 kepada RM29.

Selain itu, beras seberat 10 kilogram pula berharga RM26 hingga RM29 berbanding harganya yang kurang RM2 hingga RM3 sebelum ini.

Seorang pengguna, Derus Ibrahim, 45, berkata, dengan keadaan harga barang keperluan harian seperti susu, gula dan bawang yang mahal menyebabkan beliau terpaksa berbelanja antara RM200 hingga RM300 sebulan untuk mendapatkan bahan-bahan keperluan itu.

Seorang lagi pengguna, Mazlan Adimin, 53, pula menyifatkan kenaikan harga barang-barang itu menyusahkan golongan yang berpendapatan kecil sepertinya.

Di Kota Bharu, tinjauan oleh Hapizah Aziz mendapati kenaikan harga paling ketara ialah bagi produk Nestle seperti Milo dan Nescafe di samping beberapa jenama sabun dan minyak yang meningkat harganya dibandingkan sebelum ini.

Harga biskut beraneka jenis juga meningkat antara 10 hingga 20 sen sekilogram, kini dijual dengan harga RM7.25 bagi pek seberat 1 kilogram, kandungan seberat 500 gram dan 550 gram pula berharga antara RM1.70 hingga RM2.

Minyak masak pula berharga RM13.35 sen berbanding sebelum ini RM12.90 bagi kandungan seberat 5 kilogram dan RM6.25 untuk bekas seberat dua kilogram berbanding RM5.80 sebelum ini.

Seorang suri rumah Suriani Yahya berkata, beliau mendapati harga sesetengah barangan meningkat menyebabkan beliau terpaksa berhati-hati memilih barang-barang yang diperlukan.

Tetapi, katanya, beliau tidak mempunyai pilihan dan terpaksa membelinya kerana ia adalah untuk keperluan harian.

Siti Ramlah Abdullah, 44, berkata, beliau sekarang terpaksa membuat tinjauan harga barang yang diperlukan terlebih dahulu sebelum membelinya.

Katanya, kadang-kadang sesetengah kedai runcit atau pasar malam menawarkan harga lebih murah kerana mendapat harga borong yang rendah.

Di Pulau Pinang, wartawan kita Zainul Azhar Ashari mendapati kenaikan harga beberapa barang bukan kawalan adalah berpunca daripada keadaan semasa di negara pengeskport seperti India dan Indonesia.

Tinjauan di beberapa kedai runcit mendapati harga ubi kentang dan bawang besar yang diimport dari kedua-dua negara itu melambung tinggi sejak bulan lalu.

Harga borong ubi kentang mencapai RM38 seguni berbanding RM18 sebelum ini manakala bawang besar pula mencatat RM28 hingga RM30 seguni berbeza harga dahulu RM20.

Seorang pekedai yang enggan namanya dikenali, memberitahu, kenaikan harga tersebut mendorongnya untuk menaikkan harga barangan yang sedia ada sekalipun menerima bantahan daripada pengguna.

''Kenaikan harga memaksa saya menjual ubi kentang RM1.70 sekilogram berbanding harga dahulu RM1.10 manakala harga bawang besar yang dahulunya hanya RM1.20, kini mencapai RM2.

Bagaimanapun, jelas beliau, beberapa lagi barangan keluaran negara ini termasuk minyak masak kekal dengan harga semasa RM48 bagi tin besar manakala tepung pula RM30 seguni.

Di Johor Bahru, tinjauan rambang Ishak Salleh yang dilakukan hari ini mendapati hampir kesemua barangan kering yang terdapat di pasar raya mengalami peningkatan harga antara 10 hingga 30 peratus.

Bagaimanapun terdapat sesetengah barang dari jenama yang sama mengalami peningkatan dan harga baru itu pula berbeza dari satu pasar raya dengan pasar raya yang lain.

Beberapa bulan lalu, harga setin Milo seberat satu kilogram ialah RM11.70 dan meningkat kepada RM14.50.

Bagaimanapun, harga barangan itu sekarang ialah antara RM15.29 hingga RM16.50. Harga bagi sabun basuh serbuk kotak besar berharga antara RM16.50, tetapi kini ia berharga antara RM16.90 hingga RM19.50 bergantung kepada jenama barang.

Di Alor Setar, pemberita kita, Sholina Osman mendapati harga barangan pengguna seperti beras, minyak masak, sabun, bawang besar dan bawang merah meningkat antara 10 sen hingga RM1.50 sen.

Beberapa pemilik kedai runcit menjelaskan kenaikan harga sesuatu barangan itu bergantung kepada stok setiap peruncit. - 
© Utusan Melayu (M) Bhd

Ini merupakan keratan artikel tahun 1998 yang mana ketika itu Perdana Menterinya masih lagi Mahathir Mohamed. Yang semua orang kata Najib punya zaman banyak harga barang naik, tahukah anda semua tahun 1998 harga barang naik mendadak?

K7L : Terlalu terdesak nak menang sampai jual perjuangan ke PKR? AMANAH? 

0 ulasan:

Post a Comment

Nak Pesan Awal-Awal

Keris 7 Lok kata :
korang sume nak komen apapon..aku tak kisah..tapi kalau komen tu boleh didakwa di mahkamah..aku akan bekerjasama dengan pihak berkuasa dan tidak akan bertanggung jawab ke atas komen yang korang buat..anda tulis..anda dapat...

Arkib Keris 7 Lok

busuk