Terus terang Keris tertarik dan tersentuh dengan tulisan oleh seorang Mahasiswa UTM. Keris petik artikel ini daripada sebuah portal University News Capital :
Muhammad Firdaus Dullah, 15. Remaja OKU yang ditemui dalam keadaan kurus kering dan tidak bermaya di sebuat flat di sekitar Nilai. Tiba-tiba isu ini meletup diseluruh Malaysia. Syukur Alhamdulillah, Allah masih memberikannya peluang untuk hidup di muka bumi ini supaya ia membuka mata orang ramai. Setiap hari dari hari pertama dia dijumpai, tak lekang dari mulut masyarakat membicarakan tentang isu ini. Ada yang menyalahkan ibunya kerana tidak sayangkan anak dan tidak kurang juga ada yang menyalahkan kerajaan kononnya tiada bantuan seperti di luar negara untuk golongan Orang Kelainan Upaya.
Namun, penulisan ini bukanlah untuk membincangkan tentang siapa salah dan siapa yang benar tetapi penulisan ini adalah untuk memberikan serba sedikit gambaran sebenar yang sedang masyarakat kita hadapi ketika ini. Peribahasa ada menyebut jaga tepi kain orang yang membawa maksud sikap suka menyibuk atau kepoh dalam bahasa modennya. Mungkin terkesan dengan peribahasa ini, hari ini wujudnya masyarakat yang tidak mahu mengambil tahu tentang apa yang berlaku disekeliling mereka. Masyarakat pada hari ini lebih selesa hidup sendiri. Keluar awal pagi untuk bekerja, balik kerumah waktu petang kemudiannya duduk terperap di dalam rumah tanpa mengambil kisah jiran tetangga.
Balik kepada isu adik Firdaus,tertanya-tanya di dalam hati kecil ini, dimana jiran tetangga remaja OKU tersebut sepanjang mereka menetap di situ sehingga mereka tidak tahu remaja OKU ini dikurung dan dibiarkan tidak bermaya dan kurus kering. Atau mungkin dia tinggal di kawasan yang tidak mempunyai jiran, bangunan kosong barangkali. Jika masyarakat kita prihatin, mustahil perkara ini berlaku. Bukan bermaksud untuk menjaga tepi kain orang tetapi lebih kepada peka dengan keadaan sekeliling.
Masyarakat kita bukan lagi masyarakat yang saling mengambil berat seperti masyarakat dahulu. Sering mengambil berat tentang jiran tetangga, anak jiran dianggap seperti anak sendiri dan sebagainya. Tetapi masyarakat pada hari seperti katak yang hanya membiarkan dirinya berada di bawah tempurung. Sebelum ini juga kita dikejutkan dengan kes kanak-kanak yang hilang semasa di taman permainan, dalam perjalanan ke kedai dan sebagainya. Persoalannya Cuma satu, dimana mata masyarakat ketika perkara ini terjadi. Renungkan sejenak, apakah perkara ini akan berlaku jika kita menganggap kanak-kanak tersebut seperti anak kita sendiri? Adakah penjenayah tersebut berani melakukan perkara itu jika ada mata yang sentiasa memerhati?
Hal kemasyarakatan ini bertambah runcing dari hari ke hari. Dari isu ayah curi susu untuk anak sehinggalah ke isu kanak-kanak digunakan oleh sindiket meminta sedekah. Tidak terlepas juga isu buang bayi, ibu gunakan anak sebagai sumber minta sedekah dan pelbagai lagi permasalahan yang berlaku dalam masyarakat kita pada hari ini.Percayalah, bahawa perkara ini tidak mungkin akan berlaku sekiranya masyarakat kita prihatin antara satu sama lain. Perkara ini mustahil akan berlaku sekiranya masyarakat kita bertanggungjawab ke atas satu sama lain. Kemasyarakatan bukan didefinisikan dalam bentuk gotong royong semata-mata tetapi bagaimana kita menjadikan sesebuah komuniti masyarakat itu sebagai ahli keluarga kita sendiri.
Teringat kisah jenaka yang pernah saya baca tentang kes rompakan sebuah rumah. Ketika perompak mengisi barang ke dalam lori, jiran yang lalu di depan rumah bertanya “hai,nak pindah ke”. Sedangkan ketika itu tuan rumah pulang bercuti ke kampong. Perkara seperti ini tidak mustahil akan berlaku sekiranya masyarakat kita yang ada pada hari ini masih bersikap mementingkan diri sendiri.
Berhentilah menunding jari kerana satu jari ditunding ke orang lain, empat jari menghala kepada kita. Bukan maksud penulis menyokong tindakan merayu-rayu dan sekadar meminta bantuan tanpa usaha golongan-golongan ini. Bukan juga menyokong kerajaan menjatuhkan hukuman kepada kesalahan-kesalahan mereka yang adakalanya hanya sebotol susu. Cuma ingin melihat masyarakat yang ada pada hari ini saling prihatin antara satu sama lain. Tiada apa yang rugi jika kita menjaga kain orang lain ditempat yang betul. Bukan kepoh tapi sayang
Perlu diingat, undang-undang dan dasar yang ada pada hari ini hanya entity yang dicipta manusia. Segala permasalahan tidak semestinya diselesaikan dengan hukuman. Setiap peraturan itu ada maksud tersiratnya, bukan menghukum semata-mata. Marilah kita sama-sama berusaha wujudkan masyarakat yang prihatin dan saling bergantung antara satu sama lain. Hablumminannas.
”Barang siapa beriman kepada Allah dan hari akhirat, maka janganlah dia menyakiti tetangganya; dan barang siapa beriman kepada Allah dan hari akhirat, maka hendaklah memuliakan tamunya, dan barang siapa beriman kepada Allah dan hari akhirat, maka hendaklah dia berkata yang baik atau diam” (HR ; Bukhari dan Muslim)
Saudara Nor Mohd Afif Bin Osman merupakan pelajar Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Skudai. Beliau kini sedang mengambil Ijazah Sarjana (Master) dalam jurusan Perancangan Bandar dan Wilayah. Beliau merupakan Mantan Presiden Majlis Perwakilan Mahasiswa UTM. Beliau juga merupakan antara penerima Anugerah Nadi Negara pada tahun 2014.
K7L : Ulat Beluncas...
0 ulasan:
Post a Comment