20/05/2015

Kisah Rohingya Yang Menyayat Hati - Bersyukurlah Hidup Di Malaysia!


 

KEJAM!! ZALIM!! Itulah antara ungkapan yang mampu saya ungkapkan sewaktu membaca artikel tentang penindasan yang telah dilakukan oleh Junta Tentera Myanmar terhadap umat Islam Rohingya di Myanmar.  

Mereka dihalau dari tanah air mereka sendiri dengan cara yang sangat kejam. Jikalau mereka enggan keluar, mereka di ancam. Mereka di tangkap dan dibunuh tanpa perbicaraan, tanah-tanah dan binatang ternakan mereka dirampas sesuka hati, banyak masjid dimusnahkan dan generasi muda di halang hak pendidikan mereka.

Kesemua ini dilakukan bagi menekan etnik ini seterusnya melakukan pembersihan etnik dari tanah air mereka sendiri. Menurut sejarah, orang Rohingya kebanyakannya adalah satu kumpulan etnik beragama Islam di utara Negeri Rakhine yang terletak di Barat Burma.

Kebanyakan populasi Rohingya tertumpu di dua buah bandar utara Negeri Rakhine (yang dahulunya dikenali sebagai Arakan) manakala sebahagian kecil menetap di bandar Akyab, Rathedaung dan Kyauktaw. 

Masalah etnik Rohingya bermula apabila kerajaan junta tentera Myanmar berasa kurang senang dengan mereka. Mereka menganggap etnik ini tiada hak untuk menetap di Myanmar kerana agama dan asal usul mereka. 

Kemuncak kepada episod duka ini berlaku apabila kerajaan junta melancarkan genosid (penghapusan etnik) secara meluas dan terbuka kepada etnik malang ini. Genosid bermula pada tahun 1962 ekoran episod rampasan kuasa oleh General Nay Win di Myanmar. 

Pada November 1948 sehinggalah awal 1992, sebanyak 19 kempen ketenteraan telah dilakukan bagi menghalau etnik Rohingya dari tanah air mereka. Antara operasi yang paling kejam ialah Operasi Burma Territorial Force (BTF) pada tahun 1949-1950, Operasi Nagamin pada Februari 1978-1979 dan Operasi Na-Sa-Ka (Pasukan Keselamatan Sempadan) yang bermula pada tahun 1992 hingga kini. 

Menurut Amnesty International, orang Rohingya terus menerus menderita akibat pencabulan hak kemanusiaan oleh junta tentera Myanmar sejak tahun 1978, dan akibatnya ramai yang telah melarikan diri ke negara jiran seperti Bangladesh. 

"Gerakan pembebasan orang Rohingya disekat dengan keras dan pada hakikatnya sebahagian besar mereka telah dinafikan kewarganegaraan Myanmar mereka. Mereka juga tertakluk pada pelbagai bentuk pemerasan dan pencukaian sembarangan; penyitaan tanah; pengusiran paksa dan pemusnahan rumah; dan sekatan kewangan ke atas perkahwinan. Orang Rohingya terus menerus dipaksa menjadi buruh dalam pembinaan jalan raya dan di kem-kem tentera walaupun jumlah buruh paksa di utara Negeri Rakhine telah menurun sejak sedekad yang lalu." 

Apa yang dikesali disini adalah kekurangan kesedaran umat Islam pada nasib saudara seagama mereka ini. Meskipun kes mereka tidaklah sepopular penindasan umat Islam di Palestin dan China, namun apa yang telah berlaku pada mereka tidak banyak beza. 

Mereka ditindas dan dihalau daripada tanah air mereka. Hak mereka dinafi dan di cabuli sesuka hati. Tambah menyedihkan apabila Negara umat Islam sendiri tidak membela nasib mereka. Nasib etnik ini tidak dibela sewajarnya. 

Mungkin kes kemanusiaan yang berlaku pada pelarian Etnik Rohingya ini tidak dipandang secara serius seperti mana kita memandang isu yang berlaku pada saudara kita di Palestin. Namun apa yang pasti, mereka merupakan saudara seagama kita. Kita seharusnya peka dengan situasi mereka sekarang. 

Jika isu Palestin mampu mendapat liputan meluas dan kutipan tabung amal secara besar-besaran, mengapa tidak kita lakukan perkara yang sama untuk etnik Rohingya ini? Krisis yang berlaku pada mereka seharusnya dipandang secara serius. Kita sepatutnya bersama-sama memikirkan penyelesaian yang tepat bagaimana hendak membela nasib mereka sebaik mungkin. 

Namun apa yang berlaku adalah sebaliknya. Isu kekejaman ini semakin membarah dari hari kehari pada umat Islam di Arakan ini. Ingatlah!! Allah SWT telah menyatakan dengan jelas mengenai konsep persaudaraan ini melalui surah al-Hujurat ayat 10 yang bermaksud: ’Sesungguhnya orang mukmin itu adalah bersaudara, maka damaikanlah antara saudara-saudaramu dan bertakwalah kepada Allah agar kamu mendapat rahmat’. 

Manakala dalam hadis nabi saw pula, Rasulullah bersabda yang bermaksud: ’Perumpamaan orang mukmin dalam berkasih sayang, cinta mencintai, dan kasih mengasihi ibarat satu tubuh, iaitu apabila terdapat salah satu anggota badan yang sakit, maka seluruh tubuh turut berasa sakit dengan tidak boleh tidur dan demam’. (Hadis Riwayat Imam Muslim).

 Akhirnya, saya berharap semoga kita, sebagai umat Islam tidak memandang secara sebelah mata terhadap isu umat Islam Rohingya ini. Mereka adalah saudara seIslam kita juga. Mekanisme penyelesaian isu ini seharusnya difikirkan bersama dan dilaksanakan dengan secara bersama dan konsisten. 

Adakah kita berharap musuh-musuh Islam akan membantu kita? Oh! Tidak mungkin. Sejarah sendiri menunjukkan siapakah sebenar musuh-musuh Islam. Dengan kesedaran yang ada, marilah kita bersama-sama berganding bahu dan tenaga bagi menyelesaikan masalah umat Islam di Arakan ini. Semoga hak dan nasib mereka di bela sewajarnya. Insyallah.. 

*Sumber di ambil dari Majalah Milenia bil.87 1430 Zulkaedah - Zulhijjah

0 ulasan:

Post a Comment

Nak Pesan Awal-Awal

Keris 7 Lok kata :
korang sume nak komen apapon..aku tak kisah..tapi kalau komen tu boleh didakwa di mahkamah..aku akan bekerjasama dengan pihak berkuasa dan tidak akan bertanggung jawab ke atas komen yang korang buat..anda tulis..anda dapat...

Arkib Keris 7 Lok

busuk