25/05/2015

Ancaman Tarekat Baru? - Mohon @JakimOfficial Siasat!


 

Aduhai. Masih ada lagi yang boleh ikut benda-benda sebegini? Semua ini berlaku bukan apa, sebab dah banyak buat dosa maka ada segelintir yang cuba cari jalan singkat dengan nawaitu 'mensucikan dosa'.

Yang peliknya, mintak cuci dosa dengan manusia, bukan dengan Allah. Ada juga yag terpesong atau 'terusik' akidahnya hanya kerana untuk 'mencukupkan ilmu' walhal dia tersalah pilih ilmu.

Sebab itu benar kata orang dulu-dulu, jangan berguru dengan buku, bimbang lain jadinya. Jika berguru dengan manusia, selagi dia tidak mengaku yang bukan-bukan, boleh belajar dengan syarat ilmu yang dipelajari tidak menyekutukan Allah serta amar makruf nahi mungkar.

Apapun ada baiknya kita biar pihak yang lebih arif dan bertanggungjawab perihal ini untuk menyiasat ancaman yang mungkin akan menular jika tidak dibendung. Kena faham apa itu ajaran sesat.

Ajaran sesat bermaksud sebarang ajaran yang didukung oleh orang Islam atau bukan Islam dengan dakwaan bahawa ajaran tersebut berdasarkan ajaran Islam. Sedangkan pada hakikatnya ajaran tersebut bertentangan dengan al-Quran dan al-Sunnah serta bercanggah dengan pegangan Ahli Sunnah Wal Jamaah dari sudut akidah, syariat dan akhlak. 

Munculnya ajaran sesat di negara ini disebabkan oleh beberapa faktor. Antaranya adalah disebabkan wujudnya golongan musuh-musuh Islam yang ingin meruntuhkan ajaran Islam dengan mengubah, menyeleweng dan merosakkan ajaran Islam. 

Mereka tidak akan duduk diam malah sentiasa berusaha menghapuskan Islam. Namun, Allah SWT sentiasa menjaga agama yang diridai-Nya.

Firman Allah SWT dalam surah al-Saf ayat 8:

"Mereka sentiasa berusaha hendak memadamkan cahaya Allah (agama Islam) dengan mulut mereka, sedang Allah tetap menyempurnakan cahaya-Nya, sekalipun orang-orang kafir tidak suka yang demikian itu".

Selain itu, ada juga ajaran sesat yang wujud kerana memenuhi kepentingan individu-individu tertentu untuk mendapatkan kedudukan, pengaruh, pangkat, harta, dan sebagainya.

Ada pun ciri-ciri ajaran sesat secara umum adalah seperti berikut :

1. Mencemar kesucian al-Quran.

Antara bentuk pencemaran terhadap kesucian al-Quran ialah sikap atau tindakan biadab mempertikai kebenaran al-Quran, mengubah kedudukan dan struktur ayat-ayat al-Quran, membuat penafsiran menyeleweng tanpa merujuk tafsiran ulama-ulama muktabar di kalangan Ahli Sunnah Wal Jamaah. Selain itu, mendakwa wujudnya kitab suci lain selain al-Quran atau mendakwa bahawa al-Quran yang sedia ada tidak lengkap atau mempunyai kekurangan sepertimana yang didakwa oleh ajaran Bahai bahawa kitab suci mereka iaitu al-Bayan memansukhkan semua kitab samawi.

2. Mencemar kesucian al-Sunnah

Antara bentuk pencemaran terhadap kesucian al-Sunnah ialah mempertikai kedudukan hadis-hadis yang sepakat diterima oleh imam-imam hadis Ahli Sunnah Wal Jamaah terutamanya hadis-hadis mutawatir dan sahih. Mereka juga menolak al-Sunnah atau al-Hadis secara umum sebagai sumber perundangan hukum Islam. Contohnya ajaran golongan anti hadis yang menolak kedudukan hadis sebagai sumber perundangan hukum.

3. Mencemar kesucian Islam

Antara bentuk pencemaran terhadap kesucian Islam ialah mendakwa bahawa semua agama adalah sama. Atau mendakwa penyatuan semua agama termasuk Islam ke dalam satu agama baru. Contohnya ajaran Pluralisme Agama yang mendakwa tiada satu pun agama tunggal dan eksklusif yang boleh disifatkan sebagai agama yang benar atau setidak-tidaknya terdapat kebenaran dan nilai yang benar dalam agama-agama lain.

4. Mencemar kesucian syariat Islam

Antara bentuk pencemaran terhadap kesucian syariat Islam ialah mempertikai hukum-hakam Islam, mengubah, menambah serta meringankan syariat dan pengamalan dalam Islam atau mendakwa wujudnya syariat yang baru. Contohnya ajaran Qiadiani yang menghapuskan pensyariatan hukum jihad dan ajaran-ajaran lain yang mendakwa bahawa solat, puasa atau ibadah-ibadah lain cukup hanya dengan niat, menghalalkan nikah batin dan nikah mut'ah.

5. Mendewa-dewakan para pemimpin

Antaranya ialah tanggapan bahawa pemimpin bersifat maksum dan tidak berdosa, sebagai Imam Mahdi, sebagai nabi, sebagai jelmaan tuhan atau sebagai tuhan dan dakwaan pemimpin atau guru ajaran mereka memegang kunci pintu syurga serta dapat menentukan siapa yang dijamin masuk syurga. Begitu juga pemimpin atau guru tersebut boleh menebus dosa dengan wang atau dengan penyerahan diri secara zahir dan batin.

6. Berinteraksi dengan makhluk alam ghaib

Dakwaan bahawa mengetahui perkara-perkara akan datang atau mampu berinteraksi dengan jin, syaitan, roh, para wali, para nabi dan para malaikat sebagaimana yang dilakukan oleh bomoh atau dukun yang mengamalkan ilmu hitam.

Ajaran sesat memberi kesan yang amat buruk terhadap diri kita kerana ianya akan merosakkan akidah, menyebabkan minda seseorang akan tertutup, menimbulkan sikap fanatik dan bertindak secara tidak rasional. Kesemuanya ini akan mengakibatkan keruntuhan institusi keluarga, masyarakat dan negara.

Sebagai seorang muslim kita mestilah berhati-hati dengan ajaran yang jelas menyalahi dan menyeleweng daripada ajaran Islam yang sebenarnya. Ajaran-ajaran yang telah diwarta sesat oleh pihak berkuasa agama tempatan mestilah selalu dipantau dan diawasi agar tiada individu lain lagi yang akan terjerumus dan terbabit dengannya. Selain itu, para ulama dan pihak berkuasa agama seperti Ahli Jawatankuasa Fatwa mestilah selalu dirujuk untuk membendung dan mengenalpasti sebarang ajaran-jaran baru yang disyaki mempunyai ciri-ciri kesesatan. Ingatlah, sesungguhnya Islam adalah agama yang jelas kebenarannya dan jelas juga batas-batas kekufurannya.

Sabda Rasulullah s.a.w yang bermaksud;

"Sesungguhnya aku telah tingggalkan bagimu agama yang jelas nyata dari sebarang kesamaran. Jelasnya diibaratkan gelap malam gelita seperti siang harinya. Sesiapa pun tidak akan tergelincir darinya selepasku melainkan mereka yang ditakdirkan binasa. Sesiapa yang hidup selepas itu akan melihat kekeliruan yang banyak sekali. Maka hendaklah kamu berpegang dengan apa yang telah kamu ketahui dari sunnahku dan sunnah khulafa' al-rasyidin yang terpimpin. Peganglah kepercayaan dan keyakinan itu dengan teguh". (Riwayat Ibnu Majah)

Hikmah dan pengajaran yang dapat dirumuskan ialah:

Pertama : Ajaran sesat muncul disebabkan musuh-musuh Islam yang ingin merosakkan agama Islam dan juga wujudnya individu-individu yang mencari kedudukan, pengaruh, pangkat, harta, dan sebagainya.

Kedua : Ciri-ciri ajaran sesat dapat dikesan apabila kedudukan al-Quran dan al-Hadis dipertikai. Adanya perubahan pada kefahaman serta syariat islam yang diamal dan ketahui umum. Selain itu, pemimpin serta guru-guru mereka diberikan kedudukan yang melebihi kedudukan para nabi sehingga ada yang dipertuhankan.

Ketiga : Al-Quran dan al-Sunnah merupakan penunjuk kepada keselamatan dan juga kesesatan. Selain itu, para ulama dan pihak berkuasa agama seperti majlis fatwa mestilah selalu dijadikan rujukan agar tiada individu lain yang terjerumus ke dalam ajaran yang menyeleweng dan sesat.

Keempat : Akibat kejahilan dalam bidang agama yang menyebabkan penyelewengan kepercayaan dan amalan. Justeru marilah kita mendalami ilmu agama yang sahih untuk memastikan anutan kita benar lagi sahih.

"Katakanlah (wahai Muhammad): "Sesungguhnya aku dilarang menyembah mereka yang kamu sembah yang lain dari Allah". Katakanlah lagi: "Aku tidak akan menurut hawa nafsu kamu, kerana kalau aku turut, sesungguhnya sesatlah aku, dan tiadalah aku dari orang-orang yang mendapat hidayah petunjuk".

(Al-An'am : 56)
K7L : Hati-hati dalam menuntut ilmu..

0 ulasan:

Post a Comment

Nak Pesan Awal-Awal

Keris 7 Lok kata :
korang sume nak komen apapon..aku tak kisah..tapi kalau komen tu boleh didakwa di mahkamah..aku akan bekerjasama dengan pihak berkuasa dan tidak akan bertanggung jawab ke atas komen yang korang buat..anda tulis..anda dapat...

Arkib Keris 7 Lok

busuk