01/01/2018

Apa DS Najib Cakap Pasal 2018? #KN



YAB PM NAJIB RAZAK:-
31 Dis 2017

Tajuk: Perutusan Tahun Baru 2018 Perdana Menteri

1. Tahun 2017 ini, kita menyambut 60 tahun sejak laungan “Merdeka!” bergema di Kuala Lumpur. Meskipun hari ini kita hidup di dunia yang jauh berbeza, serta mengharungi cabaran yang juga berbeza, saya percaya Bapa-bapa Kemerdekaan kita akan berbangga melihat apa yang telah rakyat Malaysia kecapi di dekad-dekad sejak kemerdekaan.

2. Bagi Malaysia, 2017 adalah tahun yang banyak membawa pencapaian.

3. Ekonomi kita melangkaui segala jangkaan, tahun ini Bank Dunia menyemak semula anggarannya untuk pertumbuhan kita bukan sekali, bukan dua kali, tetapi tiga kali - kepada 5.8 peratus. Bank Dunia, Tabung Kewangan Antarabangsa, dan banyak institusi global yang dihormati telah memuji pengurusan ekonomi berhemat oleh Kerajaan, selain mengakui bahawa daya tahan dan daya saing ekonomi telah dikuatkan, demi kebaikan rakyat Malaysia. Sentimen ini diperkukuhkan lagi dengan keyakinan yang ditunjukkan masyarakat antarabangsa kepada Malaysia sepanjang tahun lalu.

4. Pada bulan Februari misalnya, Saudi Aramco mengumumkan pelaburan AS$7 bilion di Kompleks Bersepadu Penapisan Minyak dan Petrokimia (RAPID) di Johor – menjadikan ianya pelaburan hiliran terbesar Aramco di luar Arab Saudi. HSBC melaburkan lebih RM1 bilion bagi membina ibu pejabat serantau baharu di Tun Razak Exchange. Dan banyak lagi syarikat multinasional turut ikut serta melabur dan membina nama mereka di Malaysia.

5. Kenapa? Seperti yang dinyatakan oleh pengasas Alibaba, Jack Ma, beliau memilih Malaysia untuk melancarkan Zon Perdagangan Bebas Digital pertama di luar China pada tahun 2017 kerana persekitaran cekap dan mesra perniagaan yang telah diwujudkan Kerajaan.

6. Pelaburan-pelaburan ini, bangunan, perniagaan dan projek infrastruktur baharu – daripada Lebuhraya Pan Borneo hinggalah kepada pengangkutan awam seperti MRT di Lembah Kelang – telah dan akan membawa perubahan yang nyata buat rakyat Malaysia. Lebih 2,000 Perusahaan Kecil dan Sederhana bakal mendapat akses lebih mudah ke pasaran global, terutamanya pasaran China melalui DFTZ; manakala, dua fasa pertama laluan MRT Sungai Buloh-Kajang telah mencipta 130,000 pekerjaan baru – 70,000 daripadanya adalah pekerjaan langsung.

7. Lebih membanggakan lagi, projek ini siap lebih awal daripada jadual, dan menjimatkan RM2 bilion daripada kos yang diperuntukkan – menunjukkan bahawa Malaysia mempunyai keupayaan mengendalikan projek berskala besar di masa hadapan, seperti Laluan Rel Pantai Timur yang akan membawa begitu banyak manfaat kepada penduduk di Pahang, Terengganu dan Kelantan selain meningkatkan ekonomi tempatan mereka.

8. Saya sedar ada di antara kita masih menghadapi cabaran dan kesusahan, tetapi langkah-langkah yang telah dan akan terus kita ambil bagi memastikan pertumbuhan negara kita mampan dan inklusif, meluas serta memanfaatkan setiap segmen masyarakat.

9. Ini adalah kerana saya ingin semua mendapat nikmat dari kemajuan negara yang sedang kita bina, dan agar tiada seorang pun rakyat Malaysia yang ketinggalan.

10. Inilah sebabnya dalam bajet baru-baru ini, saya telah mengumumkan pengurangan cukai, peruntukan untuk petani, nelayan, pekebun kecil dan penoreh getah, diskaun pembiayaan pengajian buat para pelajar, waktu kerja lebih mudah bagi wanita mengandung dalam perkhidmatan awam, dan banyak lagi langkah-langkah lain untuk membantu meringankan beban rakyat dan memudahkan penyertaan penuh mereka ke dalam masyarakat.

11. Di samping kemajuan yang kita kecapi di peringkat tempatan, kita juga terus mengambil pendirian berprinsip di peringkat global, meningkatkan lagi kedudukan Malaysia di peringkat antarabangsa.

12. Usaha kita membela nasib masyarakat Rohingya telah berjaya mengubah pandangan global. Antaranya, para pegawai kanan Amerika kini mengambil pendirian yang lebih tegas selepas saya mengutarakan perkara ini semasa lawatan ke White House pada bulan September. Kita tidak boleh berdiam diri dan tidak gentar untuk menegaskan bahawa dasar konsensus ASEAN tidak boleh diterima dalam menangani malapetaka yang berlaku ini, dan hasil daripadanya kita dapat lihat pada sidang kemuncak pada bulan November apabila Myanmar membuat komitmen baharu untuk menyelesaikan krisis ini.

13. Kita juga terus bertegas di peringkat antarabangsa bahawa Jerusalem tidak boleh diiktiraf sebagai ibu negara Israel. Solidariti Kerajaan Malaysia dengan rakyat Palestin diketahui di seluruh dunia, dan tiada apa yang dapat menghalang kita daripada menyuarakannya dan menggesa keadilan buat mereka.

14. Status kita sebagai negara majoriti Muslim sederhana yang berpandangan jauh telah diiktiraf apabila Penjaga Dua Masjid Suci memilih Malaysia sebagai tempat untuk menubuhkan Pusat Keamanan Antarabangsa Raja Salman yang akan menjadi institusi penting bagi memerangi ekstremisme dan mempromosikan Islam sebenar, di mana Malaysia adalah contoh yang baik.

15. Kepimpinan Malaysia juga diiktiraf di Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, apabila resolusi Gerakan Kesederhanaan Global kita untuk memerangi pelampau dan radikalisasi telah diterima melalui undian di Perhimpunan Agung. Selain itu, sambutan cukup baik yang diberikan kepada delegasi Kerajaan Malaysia pada tahun 2017, dari Washington DC ke London, dari Riyadh ke New Delhi, menunjukkan betapa Malaysia dipandang tinggi oleh semua.

16. Mengimbau kembali pencapaian kita di bumi Malaysia, tiada cara yang lebih baik untuk kita meraikan ulang tahun ke-60 Merdeka, iaitu dengan kejayaan kita memenangi Sukan SEA dengan prestasi terbaik dalam sejarah negara. Hati kita begitu teruja melihat atlet Malaysia merangkul 145 pingat emas, 92 pingat perak dan 86 pingat gangsa, tahap kecemerlangan tinggi yang juga menjadi tanda pencapaian golongan muda Malaysia yang banyak menyumbang buat negara.

17. Pada masa sama, 2017 juga mencatat cabaran dan tragedi yang tidak mudah untuk kita lupakan.

18. Seramai 23 pelajar dan guru telah kehilangan nyawa dalam kebakaran di sekolah tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah pada bulan September. Banjir kilat dan tanah runtuh di Pulau Pinang. Pembunuhan Kim Jong Nam di bumi Malaysia pada bulan Februari. Kemangkatan Almarhum Sultan Kedah, Sultan Abdul Halim Mu'adzam Shah, yang mencatat sejarah sebagai Yang di-Pertuan Agong sebanyak dua kali dalam hidup Baginda, dan pemergian Tan Sri Haji Adenan bin Satem, Ketua Menteri Sarawak. Kedua-duanya mempunyai tempat yang sangat istimewa di hati rakyat, dan kita begitu merasai kehilangan mereka.

19. Tahun 2017 juga menandakan pencapaian berbeza, kerana ia adalah tahun di mana kita telah menggandakan usaha untuk memastikan tadbir urus yang baik dalam semua sektor - termasuk tidak membenarkan kesilapan masa lampau berlalu pergi begitu sahaja. Beberapa ahli politik seperti Lim Kit Siang telah lama menuntut ditubuhkan Suruhanjaya Siasatan Diraja bagi menyiasat kerugian mata wang asing antara tahun 1992 dan 1994. Tahun lepas kita memenuhi permintaan itu dengan menubuhkan panel yang dianggotai ahli berwibawa untuk membuat siasatan. Mereka mendapati bahawa Bank Negara telah mengalami kerugian sebanyak RM31.5 bilion ketika itu, yang mereka katakan, mempunyai "kesan negatif signifikan terhadap ekonomi negara, telah merosakkan peluang pembangunan negara."

20. Adalah wajar dan menjadi hak rakyat Malaysia untuk mengetahui apa yang telah berlaku, sepertimana wajar untuk SPRM menunjukkan bahawa mereka yang bersalah akan dikenakan tindakan, dan saya telah mengumumkan pada Julai lalu bahawa Kerajaan sedang menghapuskan budaya kapitalisme kroni yang diwujudkan pada masa seorang bekas pemimpin. Rakyat Malaysia telah membayar harga yang tinggi hanya supaya beberapa orang rakan bekas pemimpin itu boleh mengaut keuntungan, tanpa memikirkan kesan buruknya kepada rakyat.

21. Kita bertegas menyatakan bahawa amalan ini perlu berakhir. Kelemahan tadbir urus, sama ada dalam sektor swasta atau sektor awam, tidak boleh diterima. Ia mesti disiasat dan diperbetulkan - bukan hanya kerana ia perlu dilakukan untuk Malaysia terus melangkah menjadi negara berpendapatan tinggi, tetapi kerana ia adalah tuntutan akyat.

22. Rakyat Malaysia juga berhak menerima yang lebih baik daripada ahli politik mereka. Parti pembangkang mempunyai peranan yang mulia untuk meneliti undang-undang dan memastikan Kerajaan melaksanakan tanggungjawab. Mereka boleh dan sepatutnya memainkan peranan dalam pembangunan negara dengan penuh tanggungjawab, berprinsip dan beretika.

23. Walau bagaimanapun, cubaan mensabotaj ekonomi Malaysia dengan membuat tuduhan liar dan palsu yang boleh menjejaskan kebajikan dan kehidupan rakyat adalah satu perbuatan yang hina dan amat tidak bertanggungjawab. Berbohong mengenai negara mereka sendiri untuk kepentingan politik peribadi adalah perbuatan terkutuk dan tidak bermoral - mereka ini mengkhianati Malaysia.

24. Selain itu, usaha seorang bekas pemimpin cuba menggulingkan Kerajaan yang dipilih secara demokratik untuk merealisasi cita-citanya untuk anaknya, tidak dapat diterima sama sekali. Dalam demokrasi, yang paling penting adalah keinginan dan kehendak rakyat teramai seperti yang tercatat dalam peti undi, bukan kehendak peribadi seseorang untuk mewujudkan dinasti.

25. Juga, amatlah tidak bertanggungjawab bagi ahli politik untuk menentang sesuatu semata-mata demi membangkang Kerajaan – meskipun secara peribadi mereka bersetuju bahawa langkah-langkah yang dilaksanakan oleh Kerajaan itu adalah tepat. Kita lihat ia berlaku berulang kali, sama ada dalam isu GST - yang dipuji hampir setiap ahli ekonomi terkemuka di seluruh dunia, dan satu dasar yang dilaksanakan oleh kebanyakan negara lain termasuk India dan Arab Saudi – mahupun mengenai 1Malaysia. Tokoh pembangkang mengakui secara senyap-senyap bahawa mereka menyokong konsep ini untuk menggalakkan perpaduan negara – sesuatu yang semua rakyat Malaysia bersifat patriotik perlu sokong - tetapi mereka menentangnya atas dasar kepentingan politik peribadi. Ini amat memalukan.

26. Kita boleh mempunyai perbezaan pendapat, tetapi kita masih perlu bersikap baik dan sopan. Ia tidak sepatutnya dianggap pelik, sebagai contoh, untuk melawat seteru lama di hospital untuk menyatakan simpati dan harapan melihat mereka segera pulih. Perkara sebegini harus diterima dan difahami dalam masyarakat yang bertamadun, kerana kita tidak percaya, dan juga tidak mahu kembali, kepada cara buruk yang diamalkan di bawah seorang bekas pemimpin.

27. Cara yang lebih baik telah ditunjukkan oleh PAS di bawah kepimpinan Tuan Guru Dato' Seri Haji Abdul Hadi bin Awang. Meskipun kami berada di pihak yang berlainan, tetapi kami menolak ke tepi segala perbezaan apabila ia berkaitan kepentingan bersama, seperti dalam isu Rohingya dan Palestin.

28. Inilah politik lebih matang yang membina negara kita, bukan cuba merobohkannya; ia membantu menyatukan kita, bukan memecahkan kita; dan ia menumpukan kepada apa yang kita ada bersama, dan bukannya menjadikan kepelbagaian kita sebaga suatu kelemahan – bagi Kerajaan, kepelbagaian kita adalah kekuatan kita, dan kita tidak akan berhenti mempertahankannya.

29. Ini adalah pilihan yang dihadapi rakyat Malaysia pada tahun 2018, sebuah Kerajaan yang akan berterusan bekerja demi kebaikan rakyat, dengan halatuju dan polisi jelas untuk membawa Malaysia ke hadapan bagi jangka masa pendek, sederhana dan panjang – atau parti yang hanya berkempen secara negatif, dengan harapan untuk menyebabkan kemarahan dan ketidakpuasan hati masyarakat untuk memenangi undi, kerana mereka tidak mempunyai apa-apa untuk ditawarkan kepada rakyat Malaysia kecuali angan-angan populis yang hanya akan merosakkan negara.

30. Memilih Kerajaan adalah perkara yang serius, dan kita yakin dengan kebijaksanaan rakyat. Kita yakin bahawa mereka akan dapat melihat janji-janji palsu pihak-pihak tertentu, dan mengetahui siapa yang bekerja untuk kepentingan sebenar semua rakyat Malaysia, selain mengiktiraf siapa yang sebenarnya mempunyai rekod prestasi terbukti dan yang telah ‘deliver’ dan terus ‘deliver’.

31. Untuk tahun 2018, tatkala kita mula memandang ke pertengahan abad ini melalui program Transformasi Nasional 2050 serta Malaysia di masa hadapan, terdapat banyak perkara untuk kita terus kekal optimistik.

32. Bank Dunia melaporkan bahawa “Ekonomi Malaysia berkembang dari kedudukan kukuh”, dan kita menjangkakan pertumbuhan sihat tahun hadapan dan lebih banyak pengurangan defisit apabila kita terus mengambil segala langkah yang perlu untuk membangunkan negara dan memastikan keselamatan, kebajikan dan kebahagiaan rakyat Malaysia.

33. Kita berharap semua akan memberikan sokongan teguh dalam usaha melaksanakan tugasan hebat ini. Ianya satu tugasan yang dimulakan oleh nenek moyang kita, yang diteruskan oleh Allahyarham Ayahanda saya, dan tugasan yang saya - secara peribadi - berasa bertanggungjawab untuk laksanakan.

34. Kita telah dapat lihat semangat yang diimpikan Bapa-bapa Malaysia semasa seluruh negara bersama-sama bersatu hati menyambut kejayaan Sukan SEA. Inilah Malaysia yang sedang dan akan terus Kerajaan perjuangkan. Malaysia yang terdiri daripada pelbagai kepercayaan dan etnik, yang kaya dengan pelbagai adat, bahasa dan makanan, tetapi Malaysia yang bersama di bawah lembayung 1Malaysia dan dipandang seluruh dunia sebagai model keharmonian dan kepelbagaian, sebagai contoh bukan sahaja kepada negara-negara membangun, malah juga buat negara-negara maju.

35. Inilah Malaysia yang patut kita banggakan, dan dengan itu saya menjemput semua rakyat Malaysia bersama-sama, mengalu-alukan ketibaan 2018 dengan kegembiraan dan semangat perpaduan di dalam hati kita.

36. Selamat tahun baru buat semua.


K7L : Kredit pada NajibRazak.com

0 ulasan:

Post a Comment

Nak Pesan Awal-Awal

Keris 7 Lok kata :
korang sume nak komen apapon..aku tak kisah..tapi kalau komen tu boleh didakwa di mahkamah..aku akan bekerjasama dengan pihak berkuasa dan tidak akan bertanggung jawab ke atas komen yang korang buat..anda tulis..anda dapat...

Arkib Keris 7 Lok

busuk