31/12/2011

Madrasah Salihiah Kanchut - Nantikan Apa Bakal Jadi Tengahhari Nanti!



Isu penentangan terhadap cadangan merobohkan Madrasah Salihiah, Kanchut, Alor Setar untuk memberi laluan kepada pembinaan sebuah kompleks beli-belah akan sampai ke kemuncaknya.

Ia berikutan satu himpunan yang turut diiringi dengan solat hajat akan diadakan oleh Badan Bertindak Selamatkan Madrasah Salihiah (BBSMS) bermula pukul 12 tengah hari hingga 5 petang.

Himpunan berkenaan bukanlah bertujuan untuk menentang apatah lagi membantah keputusan Majlsi Fatwa Kedah tetapi berusaha sedaya upaya memohon agar kerajaan Pas Kedah memikirkan kembali keputusan yang telah dibuat.

Majoriti umat Islam Kedah percaya bahawa keputusan merobohkan madrasah tersebut masih boleh diubah, jika Kerajaan Pas Kedah bersedia bertolak-ansur dan lembut hati.

Oleh kerana segala permintaan, rayuan dan desakan mereka seolah-olah tidak mahu didengari dan dipertimbangkan oleh kerajaan negeri, maka umat Islam yang menyokong madrasah berkenaan terus wujud tiada pilihan lain.

Sebab itulah mereka mengadakan himpunan esok dan seterusnya diikuti oleh solat hajat bagi memohon pertolongan Allah SWT agar madrasah berkenaan diselamatkan daripada sebarang tindakan atas nama pembangunan.

Sememangnya kita 'kagum' dengan ketegasan Dewan Pemuda Pas kawasan Alor Setar yang tampil membuat laporan polis bagi menghalang himpunan tersebut diadakan.

Tetapi kita juga ingin bertanya, apakah Dewan Pemuda Pas berkenaan sudah bertemu dengan penduduk di kawasan madrasah itu bagi mendapatkan pandangan mereka?

Tidak salah untuk Dewan Pemuda Pas menyokong keputusan Majlis Fatwa Kedah tetapi pernahkah mereka melahirkan cadangan kepada kerajaan negeri di bawah penguasaan pemimpin-pemimpin mereka untuk mengkaji semula cadangan merobohkan madrasah tersebut?

Sebagai anak Kedah penulis juga ingin bertanya, di manakah suara Dewan Pemuda Pas apabila terdapat masjid, surau dan madrasah di negeri itu dicemari oleh syarahan, kuliah dan khutbah berbaur politik?

Penulis bukan sahaja membaca berita mengenai perkara ini, malah mengalaminya sendiri apabila bersolat di sebuah masjid di kawasan Parlimen Merbok setiap kali pulang ke kampung.

Di salah sebuah masjid di kawasan berkenaan, boleh dikatakan setiap minggu mereka menjemput ustaz-ustaz atau penceramah yang menyelitkan unsur politik menyokong pembangkang dalam ceramah atau kuliah mereka. Soalnya, di mana suara Dewan Pemuda Pas dalam perkara ini?

Malahan penulis juga ingin tahu, bagaimana kalau Madrasah Salihiah ini jawatankuasanya terdiri daripada pemimpin dan penyokong Pas, apakah Dewan Pemuda Pas akan menyokong cadangan merobohkan premis tersebut.

Dan sekali lagi, penulis juga ingin bertanya apakah Dewan Pemuda Pas akan duduk diam kalau cadangan merobohkan madrasah berkenaan datang daripada kerajaan negeri atau kerajaan pusat di bawah kepimpinan Barisan Nasional (BN) dan UMNO.

Adakah ketika itu Dewan Pemuda Pas akan meminta semua pihak menghormati keputusan Majlis Fatwa Kedah?

Penulis percaya, Dewan Pemuda Pas begitu beria-ia dalam isu ini kerana merasakan cadangan merobohkan madrasah tersebut sudah mula memberi tamparan kepada kerajaan negeri pimpinan Pas.

Mereka faham jika isu ini tidak dikendali dengan betul, ia boleh mendatangkan bahaya kepada kerajaan Pas yang sememangnya dilihat semakin tidak bermaya di Kedah.

Justeru kita ingin berpesan kepada Dewan Pemuda Pas kawasan Alor Setar, janganlah hipokrit, kalau benar kalian adalah pejuang Islam dan begitu menghormati Majlis Fatwa Kedah maka bertindak adil dalam semua perkara termasuklah patuh kepada arahan agar masjid, surau dan madrasah tidak dipolitikkan.

Kepada umat Islam di Kedah, janganlah tergugat dengan tindakan Dewan Pemuda Pas tersebut, dalam sebuah negara demokrasi mereka berhak membuat laporan polis tetapi dalam amalan demokrasi juga rakyat berhak melahirkan pendapat mereka.

Tujuan perhimpunan itu bukan bertujuan membantah apatah lagi menentang Majlis Fatwa Kedah, semua umat Islam di negeri berkenaan sentiasa menghormati majlis tersebut.

Namun begitu kita juga yakin bahawa majlis itu pasti akan menimbang semula keputusannya jika ada usaha bersungguh-sungguh oleh Kerajaan Pas Kedah untuk mengubah cadangan merobohkan madrasah tersebut.

Tetapi malangnya, kita tidak nampak usaha itu, Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Azizan Abd. Razak tegas dengan pendirian beliau untuk meneruskan perancangan yang telah dibuat.

Sebab itulah, dalam melahirkan pendapat dan penentangan terhadap cadangan tersebut tidak ada siapa pun menyalahkan Majlis Fatwa Kedah, sebaliknya merayu kepada Kerajaan Pas Kedah yang pasti mempunyai kuasa menghalang Madrasah Salihiah menjadi 'debu' dan tinggal nama sahaja.

Atas sebab itulah, kepada umat Islam Kedah tanpa mengira apa juga fahaman politik mereka, ayuh! mari selamatkan Madrasah Salihiah. Jangan biarkan madrasah bersejarah tersebut menyembah bumi hanya disebabkan hasrat mewujudkan sebuah kompleks beli-belah.

Mereka perlu menunjukkan muafakat dan kesatuan dalam soal ini kerana cadangan merobohkan madrasah berkenaan masih boleh dielakkan.

Umat Islam perlu memberi isyarat kepada kerajaan negeri supaya jangan terlalu angkuh dengan kuasa yang ada sehingga tidak bersedia untuk menimbangkan bantahan yang semakin memuncak setiap hari.

Pembinaan hanya sebuah kompleks beli-belah tidak akan mampu memberi apa-apa pun signifikan pembangunan di Kedah. Apatah lagi di negeri berkenaan sememangnya sudah bersepah kompleks seumpama itu.

Pergi sahaja ke Sungai Petani yang merupakan bandar kedua terbesar di negeri jelapang padi tersebut, berlambak-lambak premis berkenaan diwujudkan bak kata orang Kedah, 'jenuh nak pi'.

Oleh itu, kenapa perlu lagi kompleks beli-belah hendak didirikan? Banyak sangatkah pelancong atau pengunjung pergi ke kompleks-kompleks beli-belah di negeri tersebut sehinggakan terpaksa merobohkan madrasah bagi 'memenuhi permintaan pelanggan'.

Mungkin umat Islam tidak akan membantah jika tapak madrasah itu mahu dibangunkan kompleks pusat Islam memandangkan Kedah diperintah oleh sebuah parti yang menguar-uarkan mereka memperjuangkan Islam.

Tetapi apa yang hendak dilakukan ialah robohkan madrasah, bina kompleks beli-belah! Apakah mungkin inikah contoh konsep negara berkebajikan yang akan mula menjadi dasar baru perjuangan Pas?

Sukar dipastikan, apa yang nyata umat Islam di Kedah tanpa mengira apa juga fahaman politik dan mempunyai kelapangan harus bersama-sama ke Madrasah Salihiah esok.

Marilah tunjukkan kesatuan, perpaduan dan bantahan kita agar Madrasah Salihiah Kanchut dapat diselamatkan daripada 'keghairahan' perancangan atas nama pembangunan. - Utusan Online


Nantikan laporan selanjutnya di KedahKeKL, Unit Media Kedah, Mat Kilau Penang, dan Cucu Tok Selampit.

Islam Agamaku! Melayu Bangsaku! 

Dirgahayu Malaysia Tanahairku!

Keris 7 Lok kata: "Melayu akan terusik jika kau ganggu dua perkara, Agamanya dan Isterinya''

1 ulasan:

  1. SELAMAT TINGGAL ! PAS BUAT SELAMA LAMANYA..TERIMA KASIH ATAS SEGALANYA.

    ReplyDelete

Nak Pesan Awal-Awal

Keris 7 Lok kata :
korang sume nak komen apapon..aku tak kisah..tapi kalau komen tu boleh didakwa di mahkamah..aku akan bekerjasama dengan pihak berkuasa dan tidak akan bertanggung jawab ke atas komen yang korang buat..anda tulis..anda dapat...

Arkib Keris 7 Lok

busuk