31/03/2014

Bekas Presiden PAS Akui Syiah Menular Dalam PAS Sejak Dulu Lagi

 


Allahyarham Tan Sri Dato' Mohd Asri Haji Muda [Presiden PAS ke-3]

Pada suatu ketika selepas PAS menguasai Kelantan dan Terengganu, pernah dibangkitkan bahawa PAS sengaja mempermainkan isu kafir mengkafir untuk menarik pengundi dan sokongan rakyat khususnya umat Islam, sehingga pada suatu ketika suasana masyarakat begitu tegang di Kelantan. Banyak ulama tergugat, pengajian pondok sering diganggu. Kadang-kadang pengajaran tafsir juga menjadi suatu momok yang membimbangkan, terutamanya apabila pentafsiran mengenai ayat-ayat tertentu.

Sebenarnya sepanjang yang saya tahu, PAS sendiri tidak pernah mengambil sebarang ketetapan atau keputusan dalam mana-mana mesyuarat pun, baik peringkat pusat mahupun di peringkat cawangan. Badan yang berhak memutuskan dalam hal seperti ini ialah Dewan Ulama; sedangkan Dewan Ulama tidak pernah membuat keputusan sama ada dengan bertulis atau dengan lisan. Pada ingatan saya ada suatu ketika muncul cadangan tentang perkara yang tersebut untuk dibincangkan dalam suatu persidangan muktamar, akan tetapi cadangan itu tidak diterima untuk dihabaskan oleh Ketua Dewan Ulama. Jadi mengaitkan isu kafir-mengkafir dengan PAS pada masa dahulu tidaklah adil.

Cuma pada peringkat akhir kepimpinan saya dalam PAS sesudah tidak berada dalam Barisan Nasional lagi, mulailah timbul berbagai-bagai karenah. Pada suatu pagi, telah berkunjung ke rumah saya di Kuala Lumpur seorang pemimpin muda PAS. Waktu itu Dato' Seri Dr. Mahathir baru sahaja mengambil alih pimpinan UMNO. Surat khabar pada pagi itu telah memuatkan kenyataan pertama daripada pemimpin UMNO yang baru itu tentang arah langkah dan masa depan UMNO. Pokok utama yang ditimbulkan ialah penerapan nilai-nilai Islam dalam masyarakat dan negara demi untuk mencapai kesejahteraan masyarakat. Pemimpin muda PAS itu mendedahkan perasaan kebimbangannya tentang masa depan PAS, sehingga terluah segumpal ayat "Kalau begitu taktik Mahathir dengan UMNOnya, habislah PAS". Saya lantas bertanya : "Kenapa PAS boleh habis? Katanya "Rakyat akan berpaling daripada PAS, sebab yang diperjuangkan oleh Mahathir hampir sama dengan PAS."

Saya terpaksa mengambil masa yang agak lama untuk menjelaskan kepadanya ; bahawa kewajipan memperjuang dan menegakkan Islam itu ialah kewajipan semua umat Islam baik daripada PAS mahupun daripada UMNO dan daripada golongan mana sahaja. Kalau UMNO melalui suara pemimpinnya mahu memberikan saham dalam perjuagan global ini, syukurlah kita. UMNO sebagai parti tulang belakang pemerintah negara tentu lebih berkemampuan untuk meneruskan jihad besar ini, kita harus mengucapkan terima kasih kepadanya.

Pemimpin muda PAS itu lantas menjawab bahawa dia tidak percaya kepada ucapan pemimpin UMNO itu. Bagi beliau ucapan itu adalah pemanis mulut sahaja, sekadar untuk mengatasi dan menghancurkan PAS, tidak bersungguh-sungguh dan tidak ikhlas. Saya katakan kepadanya, bahawa ikhlas atau tidak hanya bagi ALLAH yang menilainya. Adapun kita manusia biasa ini, sekadar berpegang kepada kata-kata dan ucapannya semata-mata sebab kepada kita sebagai manusia cukuplah berpegang kepada ikrar dan pengakuan, jangan sama sekali penerimaan ikrar dan pengakuan dirosakkan oleh syak wasangka dan kebimbangan yang melulu, sebelum kita menyaksikan lambai dan langkah serta haluannya yang menyeluruh.

Pemimpin muda itu juga membangkitkan, kalau demikian apa lagi yang dapat dilakukan oleh PAS, kalau UMNO mengambil alih perjuangan ini? Saya dengan senyum menjawabnya bahawa masih banyak ruang bagi kita untuk bergerak. Kita boleh sokong tetapi tetap bersedia memberikan pandangan demi untuk kelancaran cita-cita itu disamping teguran dan kritikan yang membina sesuai dengan peranan kita sebagai pembangkang yang sihat.

Akhirnya beliau beredar dari rumah saya dengan perasaan tidak puas hati, malah ternyata dalam pandangan saya, beliau begitu kecewa dengan sikap dan pendirian saya yang mungkin begitu aneh baginya. 

Kemudian daripada kejadian tersebut, hubungan pun mulailah renggang dan kemesraan yang diikat oleh ukhwah mulalilah terungkai sedikit demi sedikit. Di beberapa tempat di Terengganu dan Kelantan khususnya, telah muncul beraneka kejadian yang dimulai dengan kafir-mengkafir sesama sendiri mengakibatkan perpecahan masyarakat, bahkan perpecahan keluarga. Anak berpecah dengan bapa, suami isteri berkelahi dan jadilah masyarakat yang dibahagi-bahagikan oleh perbezaan politik yang menyebabkan berlakunya sembahyang dua imam dan lahirnya dua masjid semukim, lahirnya kubur berasingan. Kenduri kendara, mati relai dan sakit demam tidak lagi menjenguk silai. Pernag berlaku kenduri kahwin oleh satu pihak tidak dihadiri oleh pihak yang satu lagi sehingga sebahagian besar lauk pauk yang disediakan menjadi basi dan terpaksa dibuang ke parit. Sesungguhnya berbagai-bagailah cencela yang berlaku.

Sebahagian pemuda PAS mulai berkursus di luar negeri, malah telah ada anggota parti yang dijemput berkunjung ke Iran. Sebagai Yang Dipertua Agung, saya tidak pernah diberitahu. Apabila pada suatu hari saya bersungut kepada orang tertentu sama ada benar berlaku pengiriman orang-orang PAS ke Iran, tetapi semuanya malah menggeleng kepala, tidak tahu. Padahal seorang pemuda telah berjumpa dengan saya dan menceritakan bahawa beberapa orang lagi anggota PAS akan berangkat ke Iran sambil menunjukkan tiket-tiket penerbangan ke Iran yang baru diterima dari sebuah kedutaan asing.

Revolusi Iran baru mencapai kejayaan dan seluruh dunia gempar. Malaysia juga tidak ketinggalan. Betapa hebatnya sebuah revolusi atas nama Islam dapat mencapai kejayaan, sedangkan yang dihadapinya ialah suatu kekuatan yang didukung oleh Amerika sendiri. Pada suatu ketika semangat Iran membumbung tinggi, sebahagian anak muda begitu terpengaruh dengan kejayaan Iran. Pernah saya memberikan ulasan kepada akhbar bahawa kita semua memang bangga atas kejayaan Iran yang membebaskan negara daripada pengaruh Amerika dan berjaya menegakkan sebuah negara Islam. Sungguhpun begitu cara revolusi yang berlaku di Iran itu sama sekali tidak sesuai dengan iklim dan suasana negara kita. Selain faktor komposisi masyarakat yang sedemikian uniknya yang memerlukan kebijaksanaan serta strategi yang mampan, maka hasrat serta keupayaan yang dalam jangka panjangnya memang menuju kepada suatu matlamat yang kita cita-citakan.

Walaubagaimanapun sikap ekstrim yang dilahirkan oleh sesetengah kalangan, terutamanya di kalangan Dewan Pemuda yang telah mengadakan muktamar tahunannya secara berasingan di Bukit Mertajam, dan suara prorevolusi Iran telah berjalan dengan rancak sekali dan merebak dengan cepatnya ke dalam seluruh organisasi PAS sehingga tidak mampu dibendung lagi. Demikian pula suasana yang berlaku dalam muktamar tahunan PAS dengan menonjolnya nilai-nilai revolusi Iran yang dilaungkan dan dipamerkan. Inilah salah satu daripada sebab punca yang menjadikan saya berasa tidak mampu lagi memegang pimpinan, apatah lagi pendapat dan arahan saya tidak dipatuhi. Akhirnya saya terpaksa mengambil sikap mengundurkan diri daripada memegang teraju pimpinan.

Akhirnya tindakan tata tertib telah diambil atas diri saya bersama rakan-rakan saya, dan apa yang dinamakan 'Kumpulan 13'. Sebenarnya kumpulan 13 itu dikaitkan dengan kejadian 13 orang tokoh PAS Kelantan yang telah dikenakan tindakan tata tertib oleh pucuk pimpinan sebagai akibat daripada simpati dan berpihak kepada saya setelah meletakkan jawatan Yang Dipertua Agung pada 23Oktober 1982. Mereka itu ialah Allahyarham Dato' Haji Ishak Lotfi Omar, bekas Menteri Besar Kelantan, bekas Pesuruhjaya PAS Kelantan dan bekas Ketua Dewan Ulama PAS Kelantan; Dato' Nik Man Nik Mat, bekas Timbalan Menteri Besar Kelantan, bekas Timbalan Pesuruhjaya PAS Kelantan dan bekas Yang Dipertua PAS kawasan Pasir Mas; saya sendiri; Haji Wan Ismail Ibrahim, bekas Timbalan Menteri Besar Kelantan, bekas ahli Jawatankuasa Agung PAS dan bekas Timbalan Pesuruhjaya PAS Kelantan,; Haji Hassan Haji Muhammad, bekas Bendahari Agung PAS, bekas ahli Dewan Rakyat kawasan Rantau Panjang; Haji Azhari Awang, bekas ahli Jawatankuasa Agung PAS, bekas Naib Ketua Pemuda PAS pusat, bekas Yang Dipertua PAS Kuala Krai dan bekas Setiausaha Parlimen Kementerian Perumahan dan Kampung Baru; Haji Salahuddin Abdullah, bekas Exco Kerajaan Kelantan, bekas Setiausaha Perhubungan PAS Kelantan, dan bekas Yang Dipertua PAS kawasan Kota Bharu; Haji Abdul Hamid Salleh, bekas Exco Kerajaan Kelantan dan bekas Yang Dipertua PAS Kota Bharu dan Nilam Puri : Mohd Shaari Awang Ali, bekas Setiausaha PAS Rantau Panjang; Mohd Fakhruddin Haji Abdullah, bekas Jawatankuasa Agung PAS dan Pengarah Pilihanraya PAS Kelantan dan bekas ahli Parlimen Pasir Mas; Haji Mohd Zain Abdullah, bekas ahli jawatankuasa Agung PAS, bekas Yang Dipertua PAS Bachok dan bekas ahli Parlimen Bachok; Haji Wan Sulaiman Haji Ibrahim, bekas Yang Dipertua PAS Pasir Puteh, bekas Exco Negeri Kelantan dan bekas Ahli Parlimen Pasir Puteh dan Haji Wan Ibrahim Wan Abdullah bekas ahli Parlimen Pasir Mas.

Dalam surat yang dihantar kepada tiga belas ahli yang berkenaan yang telah ditandatangani oleh Setiausaha Agung PAS itu, tiada dinyatakan sebarang alasan yang diberikan atas tindakan tatatertib itu.

Beberapa orang tokoh PAS dari Kedah antaranya Dato' Haji Sudin Wahab, Allahyarham Haji Othman Alyunusi - bekas Pesuruhjaya PAS Kedah, dan Haji Mohd Ramli Abdullah, ahli Jawatankuasa Agung PAS dan Jawatankuasa Dewan Ulama PAS Pusat; telah mengambil inisiatif menjalankan usaha dan ikhtiar untuk Islah atau kebaikan, mereka telah mengadakan pertemuan dengan beberapa kumpulan tertentu di kalangan pucuk pimpinan PAS, namun usaha mereka gagal, atas sebab-sebab yang tidak perli dirakamkan disini. Hanya ALLAH jua yang maha mengetahui.

Berikutan dengan tindakan tatatertib ini, maka saya diberi arahan agar tidak membuat sebarang kenyataan baik di dalam Dewan Undangan Negeri atau sebagainya, dan dimaklumkan bahawa perlantikan saya sebagai Ketua Pembangkang di dalam dewan itu telah ditarik balik.

Setelah mengadakan perbincangan dan bertukar-tukar fikiran dengan sahabat handai dan rakan taulan, kami telah mengambil suatu keputusan membentuk sebuah badan politik sebagai platform memberitahu masyarakat tentang perkara yang sebenarnya berlaku. Maka dalam satu pertemuan di kediaman Dato' Haji Ishak Lotfi di Kota Bharu telah dicapai keputusan untuk menubuhkan sebuah organisasi politik baru yang dinamakan Hizbul Muslimin Malaysia atau sebutan ringkasnya HAMIM, mengambil sempena nama sebuah pertubuhan politik dibawah pimpinan Allahyarham Ustaz Abu Bakar al-Baqir. Pertubuhan itu telah diharamkan oleh pihak berkuasa Inggeris berikutan pengistiharan darurat tahun 1948

Artikel ini dipetik dari : Memoir Politik Asri : Menitis Arus yang diterbitkan oleh Penerbit Universiti Kebangsaan Malaysia pada tahun 1993


Sumber : Pena Minang 

K7L : Cantik..

3 ulasan:

  1. Bila semua diterima masuk, sudahnya yg rosak lebih menguasai.

    ReplyDelete
  2. Perbezaan pemimpin yg benar-benar mahukan Islam ,walau pun tidak berserban dan berjubah seperti Dato Asri dengan pemimpin Pas sekarang yg hanya mahukan kuasa walau pun penampilannya nampak Islamik berserban dan berjubah.

    ReplyDelete

Nak Pesan Awal-Awal

Keris 7 Lok kata :
korang sume nak komen apapon..aku tak kisah..tapi kalau komen tu boleh didakwa di mahkamah..aku akan bekerjasama dengan pihak berkuasa dan tidak akan bertanggung jawab ke atas komen yang korang buat..anda tulis..anda dapat...

Arkib Keris 7 Lok

busuk