23/10/2012

Antara 13 Mei,Lim Kit Siang Dan Tunku Abdul Rahman




Cantik garapan MyMassa tentang isu ini. Siapa yang tahu tentang insiden 13 Mei 1969?


Pada tahun 2009, telah diusahakan sebuah buku baru mengenai Insiden 13 Mei 1969, oleh seorang bekas tentera yang terlibat secara langsung dengan peristiwa tersebut. Buku tersebut belum lagi diterbitkan. Ianya berlainan daripada buku-buku 13 Mei yang lain kerana Buku baru ini ditulis sendiri dari persepktif seorang anggota tentera. 

Ianya akan menjawab Penafian Lim Kit Siang ini. http://www.malaysiakini.com/news/205480 . Kami rasa sudah sampai masanya buku itu diterbitkan segera sesuai dengan isu Lim Kit Siang menafikannya. Apakah LKS lebih bercakap benar daripada seorang tentera yang merakamkan peristiwa itu?

Pandangan Tunku Abd. Rahman Putra Al-Haj

Buat pertama kali saya baru sahaja selesai membaca buku ’13 Mei Sebelum Dan Selepas’ yang dikarang oleh Tunku Abdul Rahman, Perdana Menteri kita yang pertama walaupun buku tersebut telah lama ada dalam koleksi saya. Bagi saya, setiap tahun bulan Mei pasti bertandang dan saya yakin rakyat Malaysia terutamanya yang lahir sekitar tahun 1957-1962 tentu tidak dapat melupakan satu kisah hitam yang melanda negara pada 13 Mei 1969. Satu tarikh kepada episod hitam yang sentiasa segar dalam ingatan kita. Inilah buku yang menyatakan pandangan Tunku Abdul Rahman terhadap apa yang berlaku.

Buku ini ditulis oleh Tunku berasaskan pengalamannya yang lama sebelum dan semasa menjadi Perdana Menteri serta bersandarkan sumber sahih yang telah diberikan oleh Polis Diraja Malaysia. Keadaan ini berbeza dengan buku yang diterbitkan sebelum ini yang menyandarkan penulisannya semata-mata kepada sumber diplomat dan wartawan asing yang kesahihan sumbernya adalah diragui. 


Mei 13 Sa-Belum Dan Sa-Lepas

Dalam bab pertama Tunku menekankan bahawa buku ini merupakan ikhtiar beliau untuk membuka mata ‘pendudok2 negeri ini (Malaysia) kapada hakikat2 yang sa-benar, dan membuka segala kepalsuan dan perbuatan2 tipu helah, supaya dengan itu timbullah kesedaran bagaimana kita semua dapat memainkan peranan masing2 dengan sa-baik2nya untok masa hadapan negara kita’. Buku ini ditulis hasil renungan Tunku ‘sa-lama sa-puloh hari dan sa-puloh malam’ sewaktu menerima rawatan dan pembedahan mata di Hospital Universiti, Kuala Lumpur yang bermula 6hb Jun 1969.

Menarik sekali untuk difikirkan apabila Tunku memulakan buku ini dengan satu puisi oleh John Donne yang berjudul For Whom the Bell Tolls. Terjemahannya lebih kurang seperti berikut:
Tiada manusia ibarat pulau, terpencil sendirian; Sa-tiap orang sa-chebis dari Benua, sa-bahagian dari keselurohan. Kematian sesiapa pun memperkechil harga diriku, kerana aku sa-bahagian dari kemanusiaan; dan kerana itu janganlah bertanya untok siapa locheng kematian berbunyi; locheng kematian itu berbunyi untok-mu.

Buku ini adalah hasil renungan Tunku tentang peristiwa 13 Mei. Beliau terpanggil untuk menulis buku ini bagi menjelaskan ‘hal-hal sebenar yang telah berlaku menurut pandangan saya, sekalipun ia amat dahsyat’.


Dalam penelitiannya, Tunku merumuskan bahawa rusuhan kaum pada 13 Mei 1969 itu adalah angkara golongan pelampau dan golongan komunis. Kedua-dua golongan ini, tegas Tunku, sejak sebelum merdeka lagi berusaha untuk mencetuskan kekacauan dalam negara. Golongan ini telah terlibat dalam mencetuskan ketegangan dalam peristiwa hartal (1967), hukuman gantung (1968) dan pemulauan pilihan raya (1969), perarakan mayat pada 9 Mei dan perarakan kemenangan oleh parti-parti pembangkang pada 12 Mei 1969. Akibat provokasi golongan ini ketegangan kaum terjadi dan rusuhan kaum berlaku.


13 Mei Sebelum Dan Selepas

Pada bulan April 1969, seorang petugas pilihanraya UMNO, Encik Kassim Bin Omar telah dibunuh dengan kejam oleh pemuda-pemuda Parti Buruh. Mayatnya diconteng dengan cat merah dan ditulis ‘Jangan Mengundi Dalam Pilihanraya’. Hal ini menunjukkan pengaruh komunis dan sikap mengagung-agungkan Mao Tze Tung. Namun disebabkan takutkan tindak balas orang Melayu, gangguan PRU dan rusuhan kaum berlaku, berita pembunuhan yang kejam ini telah ditutup selepas kerajaan telah meminta pihak keluarga dan pemimpin Melayu bersabar.

Rupanya, bukan sekarang sahaja orang Melayu terpaksa bersabar atas tindakan orang lain, tetapi sejak dari dahulu lagi. Itulah jasa dan pengorbanan orang-orang lama terhadap negara. Berkorban hingga terkorban.

Pada 4 Mei 1969, ketika tiga orang mata-mata telah melakukan rondaan di Kepong, pinggir bandar Kuala Lumpur, mereka mendapati terdapat sekumpulan pemuda Cina yang menconteng jalan dengan cat-cat merah.

Kumpulan mata-mata tersebut telah dicabar dan dibaling dengan kayu api, ketul-ketul besi dan besi-besi tajam. Kemudian pemuda-pemuda Cina tersebut telah melarikan ke sebuah pasar lama. Rupa-rupanya kumpulan pemuda-pemuda Cina tersebut telah bersedia dengan segala kemungkinan. Satu pergaduhan telah berlaku, ekoran daripada itu satu tembakan telah dilepaskan oleh seorang mata-mata untuk mempertahankan dirinya. Akibatnya seorang pemuda Cina yang berumur 24 tahun bernama Lim Soo Seng telah cedera dan dikejarkan ke hospital, namun kemudiannya mati selepas itu.


Tunku Abdul Rahman

Lebih memburukkan lagi keadaan ialah apabila mereka yang ingin mengambil kesempatan telah mendesak pihak polis agar satu perarakkan mayat diadakan pada 10 Mei 1969, iaitu pada tarikh hari pengundian. Namun mereka hanya dibenarkan berarak pada 9 Mei 1969, mengikut jalan yang telah ditetapkan dengan seramai 1000 orang sahaja. Akibat campur tangan anasir-anasir jahat daripada komunis dan Parti Buruh, perarakkan itu telah melibatkan seramai lebih kurang 10,000 orang. Mengikut pegawai-pegawai polis yang hadir, keranda mayat telah diisikan dengan senjata dan mayat lelaki tersebut telah diletakkan di luar. Sambil berarak mereka telah menghina kerajaan, orang Melayu dan memuji Mao Tze Tung. Inilah detik-detik yang dapat saya ringkaskan sebelum negara dibakar.

Tunku Abdul Rahman telah menerima cabaran yang hebat, bukan senang hendak menjadi pemimpin. Seperti kata Tunku, “Memang mudah menabur janji yang kosong daripada menunaikannya.” Kisah Tunku Abdul Rahman difitnah bahawa beliau bukan Islam sebaliknya Siam banyak melukakan hati beliau. Bahkan atas jasa beliaulah lahirnya Tilawah Antarabangsa, Masjid Negara, Persidangan Islam Antarabangsa yang pertama kalinya menyatukan negara Islam di seluruh dunia dan lain-lain lagi.


Antara korban tragedi 13 Mei 1969

Kemuncak peristiwa 13 Mei berdasarkan statistik diberikan Tunku dalam buku ini selepas tiga bulan dua hari dari tarikh 13 Mei ialah 184 orang telah terbunuh, 356 orang luka, 753 kejadian membakar bangunan dan 211 kenderaan dibakar. Kita berdoa agar peristiwa hitam sebegini tidak akan lagi berulang di negara kita. Hanya 14 tahun selepas merdeka, negara Malaysia dilanda krisis perkauman maha hebat yang pernah disaksikan.

Buku ‘13 Mei Sebelum Dan Selepas’ ini wajar dibaca oleh generasi sekarang.George Santanaya kata sejarah akan berulang jika kita lupa sejarah


K7L : Kita harmoni dengan berbilang kaum..namun siapa yang sehingga kini masih mahu mencetus peristiwa yang sama dengan 13 Mei?..

0 ulasan:

Post a Comment

Nak Pesan Awal-Awal

Keris 7 Lok kata :
korang sume nak komen apapon..aku tak kisah..tapi kalau komen tu boleh didakwa di mahkamah..aku akan bekerjasama dengan pihak berkuasa dan tidak akan bertanggung jawab ke atas komen yang korang buat..anda tulis..anda dapat...

Arkib Keris 7 Lok

busuk