18/02/2012

Sejarah @datosahol Dengan UiTM - Pelajar UiTM Juga Dia Ini!



Pelantikan Prof Dr Sahol juga boleh diibaratkan sebagai sirih pulang ke gagang memandangkan beliau telah berkhidmat lebih 30 tahun di universiti itu dalam pelbagai kapasiti antaranya ketua Jabatan Kejuruteraan Awam, Dekan dan Ketua Kampus UiTM Pulau Pinang. Jawatan terakhir beliau di UiTM ialah sebagai timbalan naib canselor (akademik) sebelum dipinjamkan ke Kementerian Pengajian Tinggi Malaysia pada tahun 2008.

Malah Prof Dr Sahol merupakan anak kelahiran UiTM sendiri. Beliau adalah graduan kejuruteraan awam UiTM, menyertai universiti itu pada tahun 1971 sehinggalah tamat pengajian diploma lanjutan kejuruteraan awam pada tahun 1976.

Beliau terus kekal di UiTM sebagai tenaga pengajar di Sekolah/Fakulti Kejuruteraan.

Pada tahun 1980, Prof Dr Sahol berjaya memperolehi dua ijazah sarjana sains serentak - satu dalam bidang kejuruteraan awam dan satu lagi dalam bidang ekonomi daripada Colorado State University, Amerika Syarikat.

Dan pada tahun 1992, beliau memperolehi ijazah sarjana kedoktoran dalam kejuruteraan awam daripada University of Sussex, United Kingdom.

Dengan kelayakannya itu, beliau telah diterima sebagai seorang jurutera profesional oleh Lembaga Jurutera Malaysia.

Beliau juga diterima sebagai Fellow di Institution of Engineers, Malaysia (1999) dan Fellow di Academy of Science, Malaysia (2003).

Pada masa yang sama beliau juga merupakan segelintir daripada tenaga pengajar dari Malaysia yang dilantik sebagai profesor di universiti antarabangsa.

Setiap tahun sejak tahun 2000, Prof Dr Sahol mengajar beberapa kursus pada peringkat ijazah lanjutan dan mengawalselia program penyelidikan Phd di Universiti Stuttgart, Jerman.

Di atas sumbangannya itu, beliau akan menerima ijazah doktor kehormat daripada Universiti Stuttgart pada November depan.

Sebagai tenaga staf akademik UiTM pula, Prof Dr Sahol bertanggungjawab dalam merancang, menyelia dan melaksanakan pembinaan 9 bangunan utama dan kampus termasuklah menara kembar 20 tingkat Kompleks Kejuruteraan UiTM, Masjid UiTM dan Hotel UiTM.

Beliau juga bertanggungjawab merancang, menyelia dan membina kampus Pahang, Melaka, Terengganu, Sarawak, Perlis dan Pulau Pinang.

Ketika beliau dilantik untuk mengetuai kampus Pulau Pinang, Prof Dr Sahol telah memperkenalkan program mendekatkan kampus dengan masyarakat melalui program tuisyen kepada murid-murid sekitar yang dikendalikan oleh pelajar UiTM sendiri.

Program ini menjadi sangat terkenal sehinggakan ketika perasmian kampus Pulau Pinang oleh perdana menteri, lebih 12,000 orang telah membanjiri kampus berkenaan.

Dengan kepakaran yang beliau ada, Dr Sahol telah dilantik untuk mengetuai Pejabat Pengurusan Program Kementerian Pengajian Tinggi yang bertanggungjawab untuk mentransformasikan universiti awam negara.

Program Apex iaitu Program Pemacuan untuk Kecemerlangan atau Accelerated Program for Excellence yang mana Universiti Sains Malaysia (USM) telah terpilih sebagai universiti yang pertama untuk menerajui program ini adalah merupakan salah satu daripadanya.

Beliau juga bertanggungjawab merangka Pelaksanaan Pelan Strategik Pengajian Tinggi Negara (PSPTN) dan juga agenda kritikal pengajian tinggi yang merupakan antara komponen terpenting pelan tersebut.

Pada masa yang sama, Prof Dr Sahol juga bertanggungjawab memperkenalkan program ePMO iaitu satu sistem yang dapat menjejaki perkembangan pelan strategik pengajian tinggi yang dilaksanakan oleh semua universiti awam negara termasuk KPI Kementerian.

Sumber : UiTM.Edu


K7L : Inilah orang pertama sebagai orang Asia dan rakyat Malaysia pertama menerima ijazah kehormat kedoktoran dalam bidang kejuruteraan dari Universiti Stuttgart, Jerman.

0 ulasan:

Post a Comment

Nak Pesan Awal-Awal

Keris 7 Lok kata :
korang sume nak komen apapon..aku tak kisah..tapi kalau komen tu boleh didakwa di mahkamah..aku akan bekerjasama dengan pihak berkuasa dan tidak akan bertanggung jawab ke atas komen yang korang buat..anda tulis..anda dapat...

Arkib Keris 7 Lok

busuk