06/03/2014

Antara Islamis Dan Anti Hadis - Di Mana Khilaf Kassim Ahmad? @DrNashrul


Bermula daripada ahli sosialis Parti Rakyat Malaya yang tegar dengan Karl Marx. Dia juga pernah melawat kubur Karl Marx di London. Berhijrah kepada Islamis, seakan terpengaruh dengan Rashad Khalifa yang membawa ilmiah Kod 19.

Kod 19 yang ini adalah tafsir ayat-ayat suci Al-Quran yang mana setiapnya dibahagi dengan ni 19. Fahaman ini yang memahami bahawa Islam perlu ditafsir dengan sains dan lojik. Mereka terima Al-Quran tetapi menolak hadis atas alasan hadis merupakan kata-kata daripada manusia.

Mereka berpendirian bahawa Al-Quran sahaja yang sempurna tanpa cacat celanya kerana ia diturunkan Allah. Gerakan yang tidak menolak nabi tetapi tidak menerima hadis. Keris tidaklah mampu huraikan panjang lebar namun Keris kongsikan artikel daripada seorang ahli akademik tersohor yang masih muda, Dr Nashrul Fazli.



Nama Dr Kassim Ahmad tiba-tiba muncul semula. Beliau dari segi akademiknya hebat. Bukan calang-calang anak Melayu boleh bertugas sebagai pensyarah di School of Oriental and African Studies, Universiti of London. Seorang yang kuat sosialisnya melalui kepimpinannya dalam Parti Sosialis Rakyat Malaysia (PSRM). Beliau mula dikenali sebagai seorang yang berani menyanggah status quo Hang Tuah sebagai protagonis dan Hang Jebat sebagai antagonis. Bukan mudah untuk seorang Melayu keluar dari paradigma tersebut.

Namun, ia tidak berakhir di situ. Kassim Ahmad mungkin menyedari bahawa sosialisme dan komunisme bakal dikapankan. Lalu, bertukar kapal untuk menjadi "Islamis" dalam kerangka beliau sendiri. Ianya dimanifestasikan sebagai buku: "Hadis-Satu Penilaian Semula", serangan terhadap Hadith sebagai sumber hukum Islam dimulakan oleh beliau. Pemikiran ini sebenarnya tidak asing bagi sesetengah pemikir yang berpaksikan lojik dan terpengaruh dengan dakyah Orientalis.


Keraguan yang dibina oleh mereka yang sefaham dengan Dr Kassim adalah hanya Al Quran yang sempurna dan tidak korup. Hadith-hadith hanyalah sabda-sabda Nabi. Manusia yang bisa berbuat salah. Dan keraguan yang paling acapkali digunakan adalah "sejarah" pengumpulan hadith yang "lewat". Hujah-hujah ini digunakan oleh golongan ini untuk menidakkan, menafikan dan adakalanya memperlekehkan hadith sebagai sumber hukum Islam. Malahan, beberapa tokoh-tokoh Ilmuwan Islam seperti Imam Syafi'i, Imam Bukhari dan Imam Muslim dinafikan kejujuran akademik mereka dan metodologi yang mereka gunakan sebagai ahli akademik.

Menghormati Ilmu dan Ulama-Ulama Hadith

Benar! Imam Syafi'i, Imam Bukhari dan Imam Muslim tidak ada PhD. Junjungan besar kita juga tiada PhD. Tetapi, golongan ini seharusnya juga harus menyedari bahawa Socrates, Plato dan Aristotle juga tiada PhD. Tetapi, Barat tidak pernah memperlekehkan tokoh-tokoh ini. Dr Kassim harus menyedari bahawa bukan Imam Syafi'i, Imam Muslim dan Imam Muslim yang mengasaskan ilmu-ilmu Hadith ini. Contoh mudah, Imam Malik sudah mengumpulkan hadith-hadith dalam kitabnya Al-Muwathha' sebelum Imam Syafi'i mencecah umur remaja. 

Malah, untuk memastikan hadith tersebut adalah sahih, jalur periwayatannya yakni siapakah periwayatnya, peribadinya dan memorinya dikaji begitu teliti seorang demi seorang sehinggalah sampai kepada Nabi SAW. Maka, tidak wujud isu Imam Syafi'e yang 150 Hijrah lahir selepas zaman Rasulullah SAW yang mencipta ilmu hadith kerana sanad atau salasilah periwayat hadith yang merupakan ulama' hadith adalah berterusan sehingga kepada Nabi Muhammad.

Oleh itu, ilmu ini sudah mempunyai asas dan metodologinya yang lengkap, dan jika sesiapa yang tidak bersetuju dengan mana-mana hadith perlulah menggunakan metodologi yang sama untuk mengatakan bahawa hadith tersebut palsu ataupun daif. Inilah juga perkara yang sama dilaksanakan oleh ilmuwan Barat dalam bidang-bidang sains dan sains sosial. Sebarang kaedah "alternatif" akan ditolak mentah-mentah kerana tidak mengikuti tatacara yang benar seperti digariskan secara konsesus oleh pakar-pakar mereka dalam bidang masing-masing.

Aurat Wanita

Mereka yang seideologi dengan Dr Kassim juga selalu memperlekehkan hukum aurat. Kononnya mereka amat menyanjungi Al-Quran tetapi di dalam hukum aurat mereka tidak merujuk kepada Al-Quran. Bukankah di dalam ayat 31, Surah An Nur ada menyebutkan:
"Dan katakanlah kepada perempuan-perempuan yang beriman supaya menyekat pandangan mereka (daripada memandang yang haram), dan memelihara kehormatan mereka dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka kecuali yang zahir daripadanya dan hendaklah mereka menutup belahan leher bajunya dengan tudung kepala mereka dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka."

Hukum di dalam ayat ini amat jelas. Tidak ada alasan lain yang boleh diberikan dalam hal menutup aurat, kerana jelas tertulis bahawa wanita wajblah menutup kepala mereka sesuai dengan ayat Al-Quran di atas. Penulis kadang-kadang berasa aneh kerana bagi golongan ini, menutup aurat seolah-olah membantutkan kemajuan umat. Tidak ada bukti saintifik yang mengatakan seorang wanita menutup aurat kebolehannya menyelesaikan masalah kalkulus ataupun algebra tiba-tiba meningkat apabila mereka membuka aurat. Mungkin kita sepatutnya menggantikan pensyarah-pensyarah matematik, sains dan kejuruteraan di IPTA yang menutup aurat dengan wanita-wanita kelab malam untuk meningkatkan kemampuan dan kemajuan negara kita dan negara Islam lainnya dalam bidang berkenaan.

Islam Yang Kalah Datang Ke Tanah Melayu?


Menurut Dr Kassim, "Harus diingat bahawa Islam yang datang ke dunia Melayu pada abad ke-15 dan 16, Islam pasca kejatuhan Baghdad, yakni Islam yang telah kalah." Kenyataan ini adalah merupakan kenyataan yang terlalu simplistik. Benar! Abad berkenaan menyaksikan juga kejatuhan Granada di Sepanyol dan juga kekalahan beberapa kerajaan Islam di India dan Nusantara (termasuklah Filipina, Ternate dan Melaka) di tangan Sepanyol dan Portugis. Tetapi, di masa yang sama, abad-abad berkenaan merupakan kebangkitan semula Empayar Islam di bawah Kesultanan Uthmaniyyah (Ottoman) dan juga Moghul di India. Abad ke 15 menyaksikan kejatuhan kota Constantinople ke tangan Muhammad Al Fatih yang diakui oleh pakar-pakar ketenteraan Amerika sebagai saksi keberkesanan penggunaan meriam yang pertama dalam ekspedisi ketenteraan menawan kota-kota tradisional. Abad ke-16 sehingga kini masih diingati oleh rakyat Turki sebagai "Muhtesem Yuzyil" iaitu Abad yang Gemilang dan Sulaiman The Magnificent atau Al Qanuni dikenali sebagai Muhtesem Sultan Sulaiman. Tidak ada kuasa ketenteraan di darat dan di laut yang boleh menandingi kekuatan tentera Ottoman untuk abad-abad tersebut. Oleh itu, bagaimanakah boleh disimpulkan bahawa Islam yang datang ke Tanah Melayu adalah Islam yang kalah?

Dr Kassim Ahmad berniat ikhlas dan kecewa dengan kemunduran umat dan menganggap bahawa satu-satunya cara untuk membetulkan umat adalah melalui membetulkan sumber dan tafsiran hukum bagi umat Islam. Malang sekali, niat ikhlas tersebut tidak disertai dengan metodologi yang tepat. Satu ibarat yang penulis boleh berikan ialah, jika seseorang kecewa akan satu penyakit yang gagal diubati, adakah patut dia membakulsampahkan, menghina dan menganggap dirinya lebih bijak dan pandai dari doktor, pakar perubatan dan profesor-profesor ilmu perubatan? Jika kita tidak yakin dengan prosedur ataupun output pendidikan atau sistem kesihatan, maka sewajarlah ia dikaji dengan tatacara yang betul. Berapa banyakkah masalah kesihatan yang benar-benar diselesaikan oleh doktor-doktor jadian? Akhirnya, apabila sudah samai ke tahap kritikal, barulah doktor yang dicari.

Maka, dalam kes Dr Kassim Ahmad, sewajarlah sains ilmu Islam dihormati, dipelajari dan difahami sebelum kritikan dilemparkan.Fahamilah aqidah yang dipegang oleh para sahabat dan tabi'in serta ittaba' tabi'in yang berjaya mengalahkan Rom dan Parsi, suatu perkara yang tidak pernah diimpikan oleh penganut Tauhid sebelum ini. Dari segi akademik, dengan sekurang-kurangnya menunjukkan apresiasi kita kepada sains pengajian ilmu Islam, kita akan menghargai kesusahan imam-imam dan ilmuwan Islam dari kalangan salafussoleh untuk menjaga dan menyimpan ilmu Islam sehinggalah sampai ke tangan kita pada hari ini.
Nashrul Fazli Mohd Nasir(PhD.)

K7L : Satu sahaja Keris setuju dengan Kassim Ahmad..Jebat itu hero!..Sebab Jebat bukan Yes Man!..

1 ulasan:

  1. jangan ubah ayat allah. tafsir secara sempurna bahasa arab ke melayu dan anda akan dapati tafsiran saudara silap. baca quran mestilah dengan kefahaman. kalau tak faham apa faedahnya dengan hanya mengikut apa orang lain cakap. kalau akal logik tak boleh pakai, buat apa allah bagi akal? buat apa allah sebutkan berkali2 dalam byak surah quran pakailah akal, kenapa tidak berfikir? adakah kita tak gunakan akal? kalau tak baca quran lagi baik baca dulu dan jgn pertikai org yang dah baca. allah bg quran bukan suruh buat lagu, buat perhiasan kat rak rumah, buat tunjuk2 kat org lain. allah suruh fahamkn undang2 dia sbb frimannya kita akan ditanya. yg dok fahamkn sangat kitab kuning tu dulu nape? kalau tak faham arab belajar le.bukan susah sangat. yg takut sangat nk pakai akal baca quran ni nape? rasa2 allah tu jauh sangat ke dari kita. jangan tambah ayat allah, itu juga firman Nya. tak caye? cuba tafsir betul2 bahasa kita ni .. kat azanpun dah tak betul. allahuakhbar bukan allah maha besar, tapi terjemahannya allah maha hebat.
    ... hanya pandangan peribadi. sbb allah yg akn adili sya, bukan manusia, bukan saudara, bukan kassim ahmad dan juga bukan jabatan agama islam. wallahualam. tk

    ReplyDelete

Nak Pesan Awal-Awal

Keris 7 Lok kata :
korang sume nak komen apapon..aku tak kisah..tapi kalau komen tu boleh didakwa di mahkamah..aku akan bekerjasama dengan pihak berkuasa dan tidak akan bertanggung jawab ke atas komen yang korang buat..anda tulis..anda dapat...

Arkib Keris 7 Lok

busuk