BANTING: Calon muda Parlimen Kuala Langat yang ditampilkan Barisan Nasional (BN) ternyata mengujakan penduduk sekitar.
Rata-rata pengundi yang ditemui berkata, Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) dianggap satu kelainan kerana PRU sebelum ini kebiasaannya dikuasai golongan berusia.
Penduduk, Rohati Ahmad, 50, berkata pencalonan calon BN, Shahril Sufian Hamdan, 32, dianggap sebagai 'fenomena baharu' kepada semua penduduk.
"Sebelum ini, kita selalu lihat calon yang sudah berusia tetapi kali ini calon muda yang bergaya.
"Walaupun muda, cara dia bercakap dan berjumpa penduduk menunjukkan dia matang," katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Medan, Sijangkang.
Terdahulu, Shahril melawat penduduk sekitar kampung itu yang kurang sihat dan kurang berkemampuan.
Seorang lagi penduduk, Fatimah Lobeh, 51, yang lumpuh separuh badan sejak empat tahun lalu berkata, beliau teruja dengan kehadiran anak muda itu di Parlimen Kuala Langat.
"Saya lebih semangat untuk turun mengundi. Walau apa pun cara, saya tetap akan pergi mengundi," katanya.
Pada sesi sama, Shahril turut bertemu bekas Ketua Penerangan Wanita UMNO, Datin Paduka Fatimah Suhaimi.
"Dia (Shahril) mengingatkan diri saya dahulu. Saya dahulu juga aktif politik pada usia 25 tahun dan menjadi calon DUN Banting ketika usia 35 tahun.
"Saya mahu ingatkan dia, jangan lupa pada yang tua, jadikan golongan muda sebagai rakan.
"Jangan burukkan pihak lawan. Utamakan misi dan visi selain solat hajat untuk diri sendiri," kata Fatimah yang menjadi ADUN Banting selama tiga penggal.
K7L : Muda. Segar. Berwawasan.
No comments:
Post a Comment