Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mahu penggiat seni dan golongan yang terlibat dalam bidang kreatif untuk bekerjasama dengan kerajaan dalam menerapkan nilai kemanusiaan dalam karya mereka ke arah membentuk masyarakat Transformasi Nasional 2050 (TN50).
Mengakui terdapat kelompangan dalam masyarakat Malaysia hari ini dalam soal jati diri dan bangsa, beliau berkata kekosongan itu menjadikan proses pembinaan negara bangsa belum lagi kukuh dan utuh.
“Kita ada masalah sosial. Sehari dua ini kita mendengar masalah gangsterisme dan buli yang menjadi perhatian umum dalam masyarakat.
“Justeru, saya berharap tuan-tuan dan puan-puan dapat memainkan peranan masing-masing untuk menanamkan nilai kemanusiaan yang lebih mulia dalam kalangan masyarakat,” katanya pada majlis berbuka puasa di Seri Perdana, malam tadi.
Lebih 2,000 tetamu terdiri daripada sasterawan, budayawan, penulis, kartunis dan artis hadir pada majlis berbuka puasa yang julung kali diadakan bersama perdana menteri.
Sebanyak 60 persatuan seni turut terlibat antaranya Gabungan Persatuan Penulis Nasional (Gapena), Persatuan Penulis Nasional (Pena), Persatuan Penyiar Kebangsaan Malaysia, Persatuan Seniman Malaysia (Seniman), Persatuan Penerbit Filem Malaysia (PFM) dan Persatuan Wartawan dan Penulis Hiburan Malaysia (Karyawan).
Sementara itu, Perdana Menteri mengumumkan pemberian pakej penajaan menunaikan umrah kepada 25 individu yang terpilih dalam kalangan karyawan, seniman, penggiat seni dan kreatif, budayawan dan penyiar.
Najib berkata penajaan itu akan diberi keutamaan kepada mereka yang belum pernah mengerjakan umrah dan mereka yang kurang berkemampuan.
“Ini sebagai tanda prihatin serta bukti kerajaan mengambil berat kebajikan dan nasib golongan seni dan kreatif ini,” katanya.
Beliau memaklumkan mereka yang dipilih untuk menunaikan umrah akan dilaksanakan selepas selesai musim haji tahun ini.
Dalam pada itu, beliau juga sedia mempertimbangkan permintaan agar Perumahan Rakyat 1Malaysia (PR1MA) diperuntukkan kepada golongan penggiat seni.
“Ini salah satu usaha proaktif kerajaan untuk membantu mereka dalam golongan ini yang memerlukan, selain menghargai jasa dan bakti serta pengorbanan mereka selama ini kepada masyarakat, agama dan tanah air tercinta,” katanya.
Hasil daripada wacana TN50 pada 17 Mei lepas, Najib berkata kerajaan melalui Kementerian Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan juga telah bersetuju mewujudkan kuota khas buat penggiat seni untuk mendapatkan kemudahan rumah melalui Program Perumahan Rakyat (PPR) di Simpang Dua dan Kepong, Selangor.
No comments:
Post a Comment