Memang sudah lumrah ahli Melayu dalam DAP dipinggirkan daripada sebarang jawatan penting dalam parti itu, kata Ketua Kluster Politik, Keselamatan dan Hal Ehwal Antarabangsa Majlis Profesor Negara, Prof Datuk Dr Mohamed Mustafa Ishak.
Menurut Mustafa, jika ada pun pemimpin Melayu yang diberi jawatan dalam parti itu, mereka tidak boleh "bersuara lantang" membicarakan sesuatu isu.
"Kalau ada yang dilantik, mereka hanya berada di jawatan yang tiada kuasa. Mereka hanya jadi hiasan politik sahaja," kata Mustafa kepada Sinar Harian Online hari ini.
Pada pemilihan parti semasa kongres kebangsaannya Sabtu lepas, tiada seorang pun daripada lapan calon Melayu terpilih dalam jawatankuasa eksekutif pusatnya (CEC), bagaimanapun dua orang - Senator Ariffin S.M Omar dan Zairil Khir Johari - dilantik anggota CEC kemudian.
Kelmarin, Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng menegaskan, DAP bukan parti anti-Melayu hanya kerana tiada calon Melayu yang dipilih menganggotai jawatankuasa tertinggi parti itu.
Katanya, DAP adalah sebuah parti yang terbuka kepada semua bangsa.
"Kami tidak mengawal siapa yang dipilih para perwakilan. Kami menerima keputusan (pemilihan itu). Ini adalah demokrasi," Guan Eng.
Sementara itu, penganalisis politik dari Universiti Utara Malaysia, Dr Mohd Azizuddin Mohd Sani berkata, ahli Melayu dalam DAP memang tidak kuat.
Oleh itu katanya, tidak hairan apabila Pengerusi DAP, Karpal Singh menyifatkan bahawa 'Pas sekutu penting' untuk merealisasikan impian pembangkang menuju ke Putrajaya meskipun parti itu sendiri tidak mengiktiraf masyarakat Melayu dalam parti itu.
"Nak tak nak, orang Melayu pun bukan sepenuhnya menerima DAP, itu sebab mereka memerlukan Pas.
"DAP cuba menjuarai hak semua kaum tetapi orang Melayu tidak dapat terima. Jadi apa yang boleh mereka buat?" ujar beliau.
Tiga pemimpin kanan DAP pusat termasuk Karpal memenangi pemilihan CEC parti itu dengan menduduki tiga tangga teratas.
Penasihat DAP, Lim Kit Siang mengekalkan populariti dengan memperoleh undi terbanyak iaitu 1,607 dan disusuli Guan Eng, yang juga Setiausaha Agung, (1,576) manakala Karpal pula menerima 1,411 undi.
Seorang penganalisis politik berpendapat jaminan yang diberikan oleh DAP untuk meletakkan calon Melayu pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13) akan menghadapi cabaran besar dalam usaha untuk "menjaga hati" rakan Pakatan Rakyat (PR).
Sementara itu, Timbalan Dekan Pusat Pengajian Sains dan Kemasyarakatan Universiti Sains Malaysia, Profesor Madya Dr Sivamurugan Pandian berkata, tindakan DAP memberi jaminan untuk menampilkan calon Melayu itu adalah usaha "menjaga hati" PKR dan Pas.
Menurutnya, pemilihan calon Melayu untuk PRU13 oleh DAP adalah satu cabaran yang besar memandangkan dalam pertandingan merebut jawatan anggota CEC kesemua lapan pemimpin DAP Melayu gagal meraih kemenangan.
Beliau berkata calon Melayu DAP yang dipilih berkemungkinan akan ditempatkan di kawasan yang terdiri daripada pelbagai kaum termasuk negeri Pulau Pinang, Selangor atau Perak.
"DAP berbuat demikian kerana mahu menjaga hati rakan pembangkangnya.
"DAP juga akan menghadapi cabaran yang besar untuk meletakkan calon yang sudah kalah dalam CEC baru-baru ini.
"Kalau DAP nak tempatkan pun di kawasan bercampur atau di negeri Selangor, Pulau Pinang atau Perak," katanya.
Mengulas lanjut, Siva berkata, bagi meraih sokongan orang Melayu pada PRU13, DAP perlu memperbaiki tahap kepercayaan orang Melayu kepada parti majoriti kaum Cina itu semula.
Beliau juga berkata, ratanya orang Melayu akan lebih memilih parti yang dikuasai oleh kaumnya, begitu juga kaum lain.
K7L : Jadi mana tempat Dyana?
No comments:
Post a Comment